Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, Malaysia akan mengambil bahagian dalam semua acara dipertandingkan yang menawarkan 10 pingat emas keseluruhan, masing-masing lima dalam acara compound dan recurve.

"Kita akan adakan pemilihan berdasarkan prestasi semasa atlet di kejohanan tempatan dan antarabangsa.

"Kita akan buat pemilihan berdasarkan mata ranking dan prestasi mereka di kejohanan disertai. Kalau ada pernah meraih pingat pada kejohanan disertai, maka akan tambah mata kelayakan mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja memanah-Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata senarai akhir pemanah negara bakal beraksi di Filipina akan diketahui pada Ogos.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad memanah negara meraih tiga pingat emas dalam acara compound dan dua emas menerusi acara recurve.

Tiga emas compound diperoleh menerusi berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran manakala dua emas recurve hadir dalam saingan berpasukan lelaki dan wanita.

Lebih manis, dua rekod berjaya diperbaharui pemanah negara pada temasya itu menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh (compound wanita) serta satu daripada Khairul Anuar Mohamad dalam acara recurve (lelaki). - BERNAMA