Anugerah tahunan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) itu akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Berdasarkan kepada prestasi tahun lalu, jaguh keirin negara, Azizulhasni dan ratu terjun negara, Jun Hoong dilihat berpeluang cerah untuk diangkat sebagai pemenang namun tetap berdepan cabaran sengit daripada barisan atlet lain yang turut memiliki prestasi cemerlang di persada antarabangsa.

Gelaran juara dunia yang berada dalam genggaman Azizulhasni selepas muncul juara acara keirin pada siri Kejohanan Dunia di Hong Kong tahun lalu meletakkannya di posisi terbaik untuk menjadi calon terbaik merangkul anugerah itu namun ia bukan satu jaminan buat dirinya.

Jun Hoong pula yang meraih pingat emas acara terjun 10 meter platform pada Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Julai tahun lalu dilihat sebagai pilihan untuk anugerah Olahragawati Negara.

Bagaimanapun, dia perlu bersaing dengan Siti Safiyah dan Fatehah yang turut menggegar pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Calon-calon lain seperti Sie Yan, Sivasangari serta Emma Firyani juga tidak boleh diketepikan ekoran deretan kejayaan yang mereka cipta di arena antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Bagi majlis tahun ini, MSN te­lah menerima 83 senarai calon untuk 11 kategori yang ditawarkan pada kali ini.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding edisi sebelum ini dan ia membuktikan bahawa prestasi atlet negara kini semakin melonjak ke tahap yang agak meyakinkan.

Kali ini, ASN menawarkan sebelas kategori anugerah iaitu Olahragawan dan Olahragawati Negara, Olahragawan Para dan Olahragawati Para Negara, Pasukan Lelaki dan Wanita Negara, Jurulatih Lelaki dan Wanita Negara, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.