Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, mereka me­rupakan antara 177 atlet muda dari Program Bakat Pelapis Negeri yang telah mewakili negeri masing-ma­sing dalam temasya Sukan Malaysia di Sarawak dua tahun lalu.

“Atlet-atlet ini adalah hasil Program Bakat Negeri dan tidak pernah mewakili negeri masing-masing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Sirkit Remaja atau kejohanan remaja.

“Mereka diserap berdasarkan prestasi ketika Karnival Bakat Pelapis dan kaedah ini diguna pakai bagi memberi peluang kepada atlet baharu dari pusat latihan daerah dan negeri untuk merasai suasana pertandingan yang kompetetif di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Karnival Bakat Pelapis Ne­geri Siri 1/2018, di sini hari ini.

Karnival berkenaan mula diperkenalkan pada 2015 sebagai usaha membangunkan sukan di peringkat akar umbi selaras struktur baharu pembangunan sukan yang dilancarkan sempena Transformasi Sukan Negara.

Sebanyak sembilan jenis sukan diperkenalkan di bawah program berkenaan termasuk terjun, gimnastik, gimrama, silat, wusyu, boling padang, olahraga, menembak dan memanah.

Khairy berkata, sebanyak 1,789 atlet dan 306 jurulatih di peringkat negeri terlibat dalam siri pertama Program Bakat Negeri yang berlangsung di Kompleks Sukan Paroi, di sini.

“Siri kedua pada tahun ini akan berlangsung di Ipoh, Perak pada November akan datang.

“Kami akan mempertimbangkan untuk menambah siri Karnival mengikut keperluan dan persediaan Majlis Sukan Negeri dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat muda di peringkat akar umbi,” katanya.