Sebenarnya bukan hanya mereka, Allah juga boleh ‘jemput’ sesiapa sahaja pada bila-bila masa kerana syarat gugur bukan hanya tua. Yang muda pun boleh gugur dipukul ribut atau diragut sakit kronik. Oleh itu, sesiapa yang masih diberikan peluang menghela nafas sehingga akhir Ramadan wajib bersyukur kepada Allah.

Cara syukur terbaik adalah dengan memusatkan tumpuan pada ibadat. Elakkan diri daripada terjerumus atau bergelumang dengan aktiviti tidak berfaedah kerana Ramadan tahun hadapan belum tentu menjadi milik kita.

Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah berlalu, bahang panasnya masih membara. Saban hari ada sahaja isu panas pasca-PRU-14 dicetuskan dalam dunia nyata dan maya. Setiap isu dicanangkan dari pelbagai sudut pandang dan tanpa sedar dosa murahan media sosial keluar mencurah-curah tanpa henti.

Penyokong dan penentang isu yang dibincangkan galak membuka ‘tari silat jari-jemari’ dalam media sosial dengan jurus ejek, sindir, caci dan keji. Langsung saranan sabar oleh sabda Rasulullah SAW ini diabaikan:

“Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: Puasa itu adalah perisai (daripada api neraka). Maka janganlah dia berkelakuan keji (seperti bercakap lucah) dan bertindak jahil (bodoh seperti menjerit atau berkelakuan tanpa akhlak). Jika ada sesiapa mencaci atau mencelanya, maka ucapkanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali (sebagai penegasan berganda atau sekali pada lidah dan sekali lagi sebagai peringatan pada hati),” - Sahih Bukhari.


JAGA MATLAMAT PUASA


Seolah-olah matlamat puasa untuk melahirkan insan bertakwa turut hangus dalam arus perbincangan politik pasca-PRU-14. Ingatlah semua! Tujuan ibadah puasa diwajibkan adalah untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa,” (al-Baqarah 2:183).

Apa definisi mudah takwa? Para ulama memberikan banyak definisi, antaranya, ‘takut dan jaga’:

  • Iaitu takut kemurkaan Allah yang menyebabkan si hamba sentiasa menjaga diri agar tidak melanggar arahan-Nya.
  • Hamba Allah itu juga akan melakukan apa sahaja yang boleh mendatangkan cinta Allah dengan melaksanakan segala arahan-Nya.

Antara definisi yang cocok dengan makna takwa adalah definisi bekas Mufti Arab Saudi, Syeikh bin Baz: (al-Taqwa karangan Dr. Umar Sulayman al-Asyqar, halaman 9).

  • Takwa adalah beribadat kepada Allah dengan melakukan segala arahan dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  • Kerana takut azab Allah dan mengharapkan kurniaan-Nya.
  • Ibadat dilakukan kerana gentarkan kehebatan Allah, menjaga kehormatan-Nya dan sebagai bukti cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Hamba Allah yang menjiwai takwa bakal memperoleh banyak kelebihan rohani, antaranya:

KELEBIHAN ROHANI


1. Dianugerahkan kemampuan menilai yang baik dan buruk. Ketelitian mematuhi segala arahan dan larangan Allah menjadikan mereka hamba yang peka kepada Tuhan:

* “Wahai orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar,” (al-Anfal 8:29).

* Ia turut disebut dalam firman Allah yang lain:

“Sesungguhnya orang yang bertakwa, apabila mereka diganggu (bisikan) oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar),” (al-a’raf[7:201]).

2. Mendapat pahala berganda, cahaya iman dan pengampunan dosa:

* “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkan dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Hadid 57:28).


ELAK JADI MANUSIA MALANG

Setelah nampak jelas makna dan kelebihan takwa, sepatutnya mata kita terbeliak luas kagum dengan ‘peluang Ramadan’ yang Allah berikan kepada kita melalui latihan takwa puasa, perut, kemaluan, lidah, jari jemari daripada sebarang aktiviti dosa di alam nyata atau maya.

Sesungguhnya, apabila menjiwai takwa kita akan mengelak sedaya mampu sebarang aktiviti yang boleh merosakkannya.

Jika aktiviti perosak takwa tidak dijaga sepanjang Ramadan, kita hanya menjadi manusia lapar dan bukannya insan berpuasa yang mengejar takwa. Antara contoh manusia malang yang hanya lapar dalam bulan ini adalah:

1. Tidak peka dengan keistimewaan Ramadan. Mereka cuma berlapar sebagai rutin tahunan bersama orang lain. Lidah, tangan dan anggota tubuhnya tidak menghayati maksud puasa. Mereka adalah manusia malang yang disebut sebuah hadis:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap yang dusta dan kotor serta mengamalkannya, maka Allah langsung tidak berhajat (tidak memerlukan) (puasanya) yang meninggalkan makan serta minumnya,” - Sahih Bukhari

2Suka mencetus provokasi tak berfaedah khususnya dalam media sosial. Muslim yang berpuasa sepatutnya menahan diri daripada mencetus dosa senyap tanpa sedar dalam media sosial. Sebelum berkongsi atau menulis sesuatu, nilai dahulu kerana dibimbangkan ia bakal membuahkan dosa pada orang lain.

Sesetengah pihak yang bergiat aktif dalam media sosial mempertahan tindakan mereka atas panji ‘amar makruf dan cegah mungkar’. Benar! kedua-duanya adalah tiang agama yang wajib ditegakkan sepanjang zaman tanpa mengira bulan. Bahkan ia adalah punca kemuliaan umat Islam yang diiktiraf sebagai umat terbaik (Ali ‘Imran 3:110). Namun begitu, tegakkan arahan itu dalam akhlak yang tidak mengundang dosa lain seperti caci maki dan sindir ejek.

Ramadan cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi, gunakan peluang berbaki ini untuk meraih buah takwa bukannya cuma mendapat ‘potongan badan ideal’ hasil berlapar selama sebulan.

Jika kita tak kenal titik noktah dan rehat daripada segala senandung gaduh, tumbuk, sepak terajang hidup yang mengundang dosa, maka kita hanyalah sekadar ‘manusia lapar dalam Ramadan’!