Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Melaka, Hamzah Mahadi berkata rampasan berkenaan dilakukan di sebuah pasaraya di Jasin, pasar mini di Pokok Mangga dan pasaraya di Jalan Kee Ann di sini dalam operasi bermula 11 pagi hingga 3 petang.

"Rampasan berkenaan dilakukan ekoran aduan diterima daripada pemilik Cap Dagangan Al Jannah Mahkota Dewa berhubung aktiviti tiruan produk mereka pada Selasa.

"Wakil syarikat tersebut turut serta dalam operasi itu bagi mengenal pasti antara produk asli dan tiruan berdasarkan ciri keselamatan dan kualiti minuman 3 dalam 1 itu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya pihaknya akan menghantar sampel serbuk minuman tiruan berkenaan ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti kandungan kopi kerana ia dikhuatiri mendatangkan masalah kesihatan kepada pengguna.

Hamzah berkata berdasarkan pemerhatian awal, serbuk kopi tiruan berkenaan lambat larut berbanding serbuk kopi sebenar yang menggunakan teknologi nano selain warna minuman tersebut lebih gelap dan berbuih.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap unit atau barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu dan kesalahan kedua denda tidak melebihi RM30,000 bagi pertubuhan.

Katanya bagi individu pula, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-BERNAMA