Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini masih terdapat segelintir golongan dalam masyarakat yang bersikap misoginistik dan langsung tidak menghormati golongan wanita.

Katanya, selagi Malaysia mempunyai mentaliti sebegini, aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan menjadi lebih sukar untuk dicapai.

“Seperti apa yang berlaku kepada atlet wanita gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi, beliau memenangi tiga pingat emas di Sukan SEA 2015 di Singapura dua tahun lalu tetapi ramai komen pasal pakaian atletnya bukan pencapaiannya.

“Ini satu kritikan yang mengarut dan menunjukkan kita ini mempunyai masyarakat yang misoginistik sebab itu mentaliti ini perlu diubah, kalau tidak selagi itu kita tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel pada sesi ketiga Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik Kuala Lumpur (WIPKL 2017) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE