June Artisha Mohamad Nazari

Wakil Pergerakan Puteri UMNO, June Artisha Mohamad Nazari berkata, mata pelajaran berkenaan sewajarnya diperkenalkan sejak kanak-kanak berusia empat tahun kemudian diteruskan di peringkat prasekolah hingga ke sekolah rendah.

“Bagi mengukuhkan integrasi kaum, mata pelajaran Sivik dan Kemanusiaan wajar diwujudkan semula dengan diberi nafas baru seiring dengan perubahan arus pendidikan negara.

“Elemen adab dan persefahaman antara kaum merupakan perkara yang perlu diberi penekanan sejak kecil agar dapat melahirkan budaya hormat menghormati an­­tara satu sama lain,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Menurutnya, negara-negara lain seperti Korea dan Jepun yang masyarakatnya mempunyai nilai serta adab yang tinggi menerapkan elemen tersebut dalam kalangan rakyatnya sejak mereka kecil lagi.

“Kita memandang tinggi adab masyarakat Jepun dan Korea jadi jika kita mahu menjadi seperti mereka dengan mulakan langkah dari sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, June Artisha berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga disarankan untuk memperkenalkan pembiayaan kepada para pelajar yang menuntut di luar negara.

“Banyak pelajar terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana bimbang tidak mampu, jadi alangkah baik­nya jika PTPTN bantu pelajar ini dari segi pembiayaan,” katanya.