Wakilnya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, analogi pertama, ‘bangau oh bangau, mulut ternganga masuk langau’ yang bermaksud tidak menyampaikan pesanan, hasrat dan permasalahan yang timbul dalam parti ke pe­ringkat yang sepatutnya sebalik­nya hanya menyimpannya sehingga membusuk.

Kumpulan kedua ujarnya, ‘landak oh landak, otak berfikir bijak bertindak’ iaitu tentang seekor harimau mahu mengunyah hem­pedu landak yang dikatakan jika memakannya boleh menjadi kuat, namun landak yang bijak tidak akan berdiam diri sebaliknya me­ngancam mangsa dengan mengeluarkan duri yang boleh membawa kepada kematian.

“Sikap seperti landak itu kita harap ada pada para pemimpin di atas pentas ini, yang mana apabila serangan datang, segera matikan hujah lawan dengan bijak dan bernas. Dan kumpulan terakhir ‘ke kanan kenyang, ke kiri tak lapar’ kumpulan ini mereka kenyang dua-dua, orang ini datang dia mengiyakan, orang yang itu datang pun dia mengiyakan.

“Janganlah pemimpin kita buat macam ini, kami mohon pertahankanlah ketua yang memayungi rakyat, pertahankanlah perkara-perkara yang merosakkan nama Presiden, begitu juga de­ngan perkara lain, pertahankan apa sahaja yang mendatang yang bertujuan merosakkan parti keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam hubungan itu, Zainal Abidin mengingatkan pejuang-pejuang siber UMNO supaya tidak terleka dan lalai dengan apa yang telah dilakarkan pada perhimpunan kali ini untuk diterjemahkan melalui serangan digital yang lebih mantap.

Beliau turut menggesa para perwakilan dan ahli UMNO agar bersatu untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang diketuai DAP yang jelas dan nyata tidak langsung memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam.