Wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, portal seperti Malaysian Insight serta Malaysiakini begitu ghairah menyebarkan fitnah dan menghina pemimpin negara dan keadaan itu dijangka lebih buruk menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pembangkang guna medium ini untuk hina kita, apabila kita nak bercakap soal agenda lebih baik mereka terus membangkang dan pembangkang menggunakan medium sosial ini untuk menghebahkannya. Ingat apa terjadi pada 2013, rakyat Malaysia ditipu oleh sejarah 40,000 pengundi Bangladesh.

“Siapa yang buat? Medium yang melaporkan ini adalah Malaysiakini. Mereka yang tabur fitnah sehingga menjadi polemik teruk dalam masyarakat kita ketika itu,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, hari ini.

Terdahulu, wakil Pu­­lau Pinang, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah berkata, provokasi dalam media sosial adalah membimbangkan kerana ia terus menyerang kita dan parti walaupun pelbagai usa­ha kebaikan telah kita lakukan.

“Ini ditambah pula dengan penghinaan oleh portal-portal seperti Malaysian Insight. Kita hendak tahu mereka ini kepunyaan siapa dan siapa di belakang mereka,” katanya.

Mohd. Nashrol berkata, carian­nya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung Malaysian Insight mendapati portal itu didaftar­kan di bawah Insight Media Sdn. Bhd. dan tertera nama Faridah Begum.

“Kita perlu mencari sampai lu­bang cacing kerana mereka menghina pemimpin nombor satu negara kita,” katanya.