Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pembangkang tidak kisah apa akan berlaku pada masa hadapan demi mencapai matlamat mereka.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengambil langkah populis de­ngan memberikan apa yang ada pada hari ini tanpa memikirkan apa yang berlaku pada kemudian hari.

“Mansuh hutang, mansuh tol, mansuh cukai. Segala benda percuma tetapi orang waras tahu, tiada apa-apa yang percuma dalam hidup. Janji ‘diabetes’ mereka bakal dibayar satu hari nanti oleh anak cucu kita. Beban hutang akan meningkat, perbelanjaan untuk masa hadapan akan menguncup.

“Presiden pun boleh ambil langkah populis tetapi itu bukan pilihannya. Seorang ahli politik hanya akan memikirkan pilihan raya yang akan datang. Seorang negarawan melihat kepada ge­nerasi mendatang. Datuk Seri Presiden, anda seorang negarawan,” kata­nya ketika menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sekarang apa yang diperlukan ialah menampilkan UMNO sebagai parti masa hadapan bagi memastikannya terus segar diterima oleh rakyat.

Katanya, Najib telah berjaya membuktikan bahawa kerajaan pimpinannya adalah kerajaan masa hadapan dengan melaksa­nakan pelbagai program khususnya dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Nak jadi parti masa hadapan ini ada beberapa ramuan. Yang pertama, kita perlu ada satu mesej segar yang khas untuk orang muda sebab itu dalam penulisan Manifesto Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu ada tawaran yang menepati cita rasa dan ke­perluan anak muda Malaysia.

“Ramuan yang kedua adalah biarlah calon-calon yang kita kemukakan juga menepati cita rasa 2017. Sebab apa ini penting? Sebab kita tahu pengundi tidak lagi ha­nya pandang lambang. Zaman letak songkok, songkok menang sudah lama berlalu. Sekarang ini calon itu manifestasi kepada Presiden dan parti,” katanya.

Tambahnya, UMNO memerlukan kepelbagaian dalam calon supaya dilihat kontemporari, golo­ngan senior ditambah golongan muda atau tokoh yang mungkin tidak datang dari hierarki parti.