Noor Hasnah ingin membetulkan tanggapan umum tentang kuasa nuklear sementara Sheriffah Noor Khamseah pula bertekad mencetus inspirasi agar lebih ramai wanita menyertai sektor tersebut.

Menggalakkan lebih ramai wanita membabitkan diri dalam industri nuklear akan meningkatkan lagi kedudukan mereka memandangkan kuasa nuklear boleh diaplikasikan dalam beberapa bidang utama yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

“Secara umumnya, apabila disebut nuklear, orang ramai mengaitkannya dengan senjata nuklear, keganasan, ancaman, peperangan, berisiko dan hanya sesuai untuk lelaki sahaja.

“Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa bidang nuklear ini terlalu luas, merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Sebenarnya, golongan wanita mempunyai ciri yang diperlukan untuk bekerja dalam sektor ini,” katanya yang juga Presiden Wanita Dalam Nuklear (Women in Nuclear atau WiN) Malaysia.

Noor Hasnah yang ditemui ketika Persidangan Tahunan Kuasa Nuklear Asia ke-8 di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, sifat wanita yang secara fitrahnya lebih teliti, cermat dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerja sebetulnya amat dituntut dalam bidang itu.

“Bidang ini sangat terkawal dan memerlukan penelitian, penghayatan dan penekanan aspek keselamatan yang tinggi. Justeru, penubuhan WiN Malaysia yang dianggotai wanita yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kerjaya dalam bidang nuklear amat penting untuk berkongsi kepakaran dengan masyarakat.

“Di samping mendidik dan menyampaikan maklumat tepat berkaitan nuklear, WiN Malaysia turut berperanan menepis persepsi negatif kebanyakan masyarakat melalui sesi penerangan pakar-pakar terlibat dalam program atau persidangan yang melibatkan penyertaan awam yang dianjurkan badan ini,” katanya.

Berpendapat stigma berkaitan nuklear perlu diperbetul, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini dalam masa sama berkata, pendedahan berhubung manfaat bidang itu perlu diperjelas pada setiap peringkat agar masyarakat tidak membuat ‘penolakan’ secara membuta-tuli.

Noor Hasnah mempunyai pengalaman selama hampir 37 tahun dalam bidang nuklear. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan sebagai atase sains di Vienna, Austria dan di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

Menurut beliau, sebahagian besar masyarakat ‘terlepas pandang’ faedah teknologi nuklear yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

“Contohnya, doktor di bahagian perubatan nuklear, doktor yang menjalankan x-ray, pakar radiologi dan mereka yang bekerja dalam industri menggunakan teknik surihan.

“Bahan radioaktif digabungkan dengan bahan radiofarmaseutikal atau disebut sebagai ‘label’ yang mengeluarkan sinaran yang kemudiannya dikesan menggunakan detector bagi menentukan lokasi penyakit di dalam tubuh badan.

“Teknik sinaran dalam industri pembasmi kuman pula sebagai contoh sarung tangan getah, gaun pakar bedah diletakkan di bawah sinaran gama untuk tujuan pensterilan. Semua teknik sinaran dan bahan radioaktif ini kita rangkumkan sebagai teknologi nuklear,” jelasnya.

Beliau menambah, dalam bidang pertanian teknologi nuklear antaranya digunakan untuk menjadikan padi lebih tahan lasak dan tahan serangan serangga perosak.

Pendokong Inovasi Nuklear, Sheriffah Noor Khamseah berkata, kejayaan saintis Marie Curie, perintis dalam bidang radiologi dan pemenang Hadiah Nobel sebanyak dua kali dalam bidang Fizik dan Kimia, wajar dijadikan contoh dan pembakar semangat untuk wanita terus menerokai bidang nuklear.

“Marie Curie dianggap salah seorang contoh teladan utama kerana sumbangan beliau menemukan elemen radioaktif polonium dan radium.

“Kejayaan beliau itu memberi harapan kepada wanita meskipun industri nuklear dikuasai lelaki. Sekiranya wanita dahulu boleh berjaya, insya-Allah jika kita gigih berusaha, kita juga pasti boleh,” katanya.

Sheriffah Noor Khamseah yang juga alumni Imperial College, University of London berkata, beliau secara peribadi tidak melihat bidang nuklear daripada perspektif gender.

Sebaliknya, tambah beliau, ia lebih kepada faktor minat individu terhadap subjek yang diambil ketika pada peringkat sekolah menengah seterusnya di universiti.

Turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi panel Persidangan Global Wanita dalam Nuklear 2016 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, beliau berkata, pembabitan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk isu keseimbangan dan kesaksamaan gender memang sudah banyak dibincangkan.

“Memang ada banyak perbincangan mengenai pembabitan wanita dalam sektor nuklear. Satu kajian di United Kingdom menunjukkan purata 20 peratus wanita adalah tenaga pekerja nuklear. Kajian Price Waterhouse (PwC ) melaporkan hanya lapan daripada 100 jawatan yang diberikan kepada wanita dalam lembaga pengarah bagi syarikat berkaitan nuklear kepada wanita.

“Kami tidak fikir wanita tidak layak. Secara peribadi saya berharap lebih banyak peluang diberi kepada wanita untuk turut sama menyumbang dan berganding bahu dengan lelaki dalam sektor nuklear ini, mungkin menggunakan pendekatan serta strategi yang berbeza,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, beliau mencadangkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) membuat tinjauan untuk mengenal pasti bilangan wanita dalam bidang nuklear.

“Ini untuk menentukan berapa ramai wanita dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), wanita dalam jawatankuasa menilai cadangan R&D, menilai program kerjasama teknikal Agensi Tenaga Atom Antarabnagsa (IAEA).

“Mereka juga perlu tahu berapa ramai wanita dalam pengurusan pertengahan serta kanan juga Lembaga Pengarah syarikat,” katanya.

Menurut beliau, hasil tinjauan itu dapat diguna bagi merumus dasar bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam industri nuklear.

Tambahnya, kerajaan juga boleh berkongsi perangkaan yang diperolehi dengan IAEA sebagai tinjauan perintis bagi negara anggotanya untuk menilai pembabitan wanita dalam sektor nuklear,” katanya.

Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga perlu bekerjasama untuk memupuk dan meningkatkan minat terhadap bidang nuklear sejak di bangku sekolah.

Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar perempuan khasnya perlu digalakkan mengikuti mata pelajaran STEM yang menjadi asas penting bagi menyertai bidang nuklear. Selain itu, pengajian undang-undang dan kewangan juga relevan bagi bidang nuklear.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai rancangan Malaysia untuk membangunkan program tenaga nuklear di samping beberapa isu yang menjadi kerisauan antaranya aspek pengurusan sisa radioaktif dan kesannya terhadap alam sekitar, Noor Hasnah berkata, WiN Malaysia amat menekankan aspek keselamatan sebagai perkara utama.

“WiN Malaysia berpegang kepada prinsip, kesemua penggunaan teknologi nuklear boleh diterima dengan syarat semua prosedur keselamatan mesti dikuatkuasakan dengan undang-undang dan meyakinkan seluruh masyarakat,” ujarnya. -BERNAMA

WiN Malaysia 
yang ditubuhkan 
pada 28 Mac 2014

Sehingga kini mempunyai 
hampir 100 keanggotaan 
yang terdiri daripada wanita 
dengan pelbagai latar belakang berkaitan nuklear seperti penyelidikan, perubatan, 
pertanian, industri, 
pendidikan, perundangan 
dan lain-lain.