Banjir tersebut berlaku berikutan fenomena air pasang besar luar biasa yang menyebabkan paras air laut lebih tinggi daripada ban (benteng) sehingga air laut melimpah masuk ke kawasan perumahan dan pusat pengajian berdekatan.

Hal demikian menunjukkan bahawa perubahan iklim yang berlaku ketika ini mempengaruhi peningkatan aras air laut sehingga mendatangkan bencana kepada manusia.

Prihatin dengan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini komited memfokuskan kepada fenomena perubahan iklim terhadap peningkatan aras air laut dan juga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi menjamin kesejahteraan air dan juga manusia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, fokus itu antara yang termaktub dalam perjanjian perancangan masa depan JPS sehingga tahun 2030 yang telah ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Paris, Perancis sebelum ini.

Menurutnya, perubahan iklim yang berlaku menyebabkan jangkaan jumlah keamatan hujan di sesuatu tempat sukar dilakukan selain taburan hujan yang tidak lagi mengikut musim dan berlaku perubahan lokasi tumpuan hujan.

“Banjir yang sering berlaku ketika ini berpunca dari laut menyebabkan paras air meningkat terlalu tinggi sehingga melimpah ke luar akibat corak perubahan hujan yang berubah.

“Jadi, kajian perubahan iklim itu nanti akan melibatkan proses merekodkan corak perubahan taburan hujan yang menjurus kepada perubahan iklim dua tiga tahun lepas untuk disusun dan dikaji semula,” katanya kepada pemberita dalam temu bual khas sempena 100 Hari pentadbirannya sebagai Ketua Pengarah JPS, di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.

Md. Nasir yang sebelum ini menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1 (Sektor Bisnes). JPS merupakan agensi bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Bagi perancangan SDG pula, Md. Nasir menjelaskan, pihaknya kini dalam proses untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Negara yang akan dibentangkan di Parlimen akan datang bagi mewujudkan pengurusan sumber air yang bersepadu dan sistematik.

RUU itu nanti katanya, akan menambah baik enakmen sedia ada bagi mencapai keseragaman antara negeri dalam menguruskan lembangan sungai dengan lebih cekap.

Pengurusan lembangan sungai mengikut daerah ketika ini dilihat agak sukar terutama bagi lembangan sungai yang merentasi daerah atau negeri seperti Sungai Bernam yang dikongsi antara Perak dan Selangor serta Sungai Labu dan Sungai Langat antara Kuala Lumpur dengan Negeri Sembilan.

Oleh itu, RUU ini nanti akan memantapkan pengurusan air mengikut lembangan sungai yang dilihat akan menjadi lebih cekap. Ini kerana pengurusan dapat berada bawah satu kumpulan yang sama dan tidak terasing oleh daerah bagi membolehkan komunikasi dilakukan secara efektif bersama-sama.

Tidak terhad dengan itu, beliau juga berkata, RUU itu juga akan digunakan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan terhadap bekalan air sebagai salah satu usaha menangani gejala tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata,kerajaan memperuntuk RM200 juta kepada JPS untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan benteng di tebing sungai yang dibina dekat kawasan pesisir pantai di sembilan buah negeri bagi menangani bencana banjir kilat akibat fenomena air pasang besar.

Jelasnya, pihaknya kini sedang mengenal pasti benteng tersebut di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Katanya, projek yang akan memulakan kerja-kerja pembinaan tahun depan itu diharapkan dapat mengurangkan dan mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku saban tahun yang dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Program-program itu ketika ini sedang giat dijalankan di kawasan sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan seperti Gombak, Selayang, Kerayong dan Ulu Kelang.

Program kesedaran mengenai air

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi penekanan kepada program kesedaran melibatkan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran mengenai air.

Md. Nasir berkata, bagi menjamin sekuriti air dan memperkasa usaha pengurusan air secara mampan ini, pihaknya juga menjalankan program bersama masyarakat untuk memberi pendidikan kepada mereka mengenai air dan persekitarannya.

Menurutnya, kerosakan alam yang berlaku ketika ini adalah disebabkan oleh tangan manusia itu sendiri dan amat penting mereka diberi pendedahan bagi mengelakkan kerosakan terus berlaku.

Program mendekati orang awam itu melibatkan pelajar, penjaja dan juga pengusaha industri yang menyumbang kepada kualiti air di negara ini.

“Kita dekati mereka dan tunjukkan kepada mereka apa kesan aktivti harian mereka terhadap kualiti air.

“Paling utama adalah orang ramai kena ubah cara pemikiran masing-masing untuk memastikan tiada pencemaran yang dilakukan terhadap air,” ujarnya.

Berkongsi harapan dan matlamat, Md. Nasir berkata, beliau akan bergerak bersama-sama 9,000 kakitangannya di seluruh negara untuk memastikan sekuriti bekalan air di negara ini.

Menurutnya, pengurusan air lestari sangat penting bagi menjamin kesejahteraan kehidupan di muka bumi memandangkan badan manusia sendiri mengandungi 60 peratus air untuk berfungsi.

Menerusi pelan-pelan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan dan dibantu dengan kerjasama daripada orang ramai diharap dapat membantu meningkatkan tahap kualiti air untuk penggunaan domestik, industri.