Penggunaan peralatan canggih untuk tujuan risikan dan pemantauan ketenteraan amat penting kerana bukan sahaja mampu memberikan maklumat tepat, malah dapat mengurangkan ri­siko kehilangan nyawa anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi.

Ini kerana pihak musuh juga tidak ketinggalan menggunakan peralatan daripada sentuhan tek­nologi terbaharu dalam usaha menggugat kedaulatan dan ke­amanan negara seteru mereka.

Justeru itu, sokongan teknologi yang sesuai dengan keperluan amat diperlukan agar negara sentiasa selamat daripada ancaman luar dan dalam masa sama ke­selamatan anggota turut menjadi perkara utama dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Menyedari kepentingan itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) lahir dengan idea dan konsep segar mencipta perisian Tactical Communications Operations Management System (TACCOMS) yang membolehkan pergerakan anggota di kawal serta dipantau dari jauh.

Perisian tersebut dihasilkan melalui penyelidikan selama enam tahun dengan kerjasama ARS Sejahtera Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembekal peralatan tentera yang berjaya memenangi Anugerah Ulung dan Anugerah Usahawan Penyelidik Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2017 dan membawa pulang trofi dan dana berjumlah RM230,000.

Menurut Prof. Madya Kapten Syed Nasir Alsagoff Syed Zakaria (Bersara) daripada Fakulti Sains Pertahanan dan Teknologi UPNM, ciptaan TACCOMS dilihat dapat membantu negara daripada ancaman musuh dan dalam masa sama perisian itu merupakan kaedah terbaharu membolehkan pemerhatian daripada pelbagai sudut berban­ding sebelum ini sekadar mendapat informasi daripada anggota di lapa­ngan melalui radio atau walkie talkie.

“Melalui TACCOMS, komander boleh melihat kedudukan anggota di lapangan dan dalam masa sama dapat menghantar pesanan sama ada secara video, gambar atau suara menggunakan telefon pintar yang lengkap dengan sistem android.

“Anggota di lapangan pula akan menerima arahan daripada komander yang memantau pergerakan mereka dari jauh. Anggota dapat menerima imej, suara atau video melalui telefon pintar yang diletakkan di badan anggota menggunakan body harness, wrist vailable dan smart glass ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Syed Nasir Alsagoff, produk ini memberi manfaat kepada kerajaan dalam memantau keselamatan negara daripada ancaman musuh.

“Ciptaan ini amat sesuai digunakan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan jabatan lain kerana ia turut membantu ketika operasi membanteras apa jua isu yang melanggar peraturan negara,” jelasnya.

Menurutnya, antara objektif utama produk tersebut dihasilkan adalah untuk meningkatkan keberkesanan anggota di lapa­ngan serta memudahkan me­nyampaikan informasi dan arahan secara pantas dan berkesan selain mengetahui situasi semasa.

“Kami yakin produk tersebut memiliki potensi besar dan bakal memperkenalkan produk ini kepada semua kementerian kerana ia memberi manfaat yang menyeluruh. Dalam masa sama, kami juga akan memasarkan (produk) ini ke luar negara seperti Thailand dan Indonesia yang memiliki potensi besar menggunakan perisian ini.

“Insyallah pada tahun depan, kita akan cuba memasuki pasaran United Kingdom dan Perancis pula, selain aktif menyertai pameran dan persidangan antarabangsa,” jelasnya.