Boleh dikatakan kesemua perkara di dunia kini telah dikawal oleh komputer dengan tujuan untuk memudahkan pekerjaan dan kehidupan seharian manusia.

Namun begitu, dunia digital yang tidak terkawal membolehkan mereka yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Sebagai contoh, ledakan maklumat yang tidak terkawal menyebabkan berlakunya penyebaran maklumat yang tidak tepat, seterusnya membawa kepada risiko melibatkan privasi dan keselamatan.

Kebergantungan tinggi terhadap teknologi bermula dari sistem pendidikan di sekolah, kesihatan, pertanian, pengurusan kewangan, telekomunikasi sehingga penggunaan untuk peribadi boleh meningkatkan kebarangkalian berlakunya isu keselamatan siber yang boleh membawa kepada peperangan siber sekiranya tidak dikawal.

Justeru bagi memupuk kesedaran berkenaan kepentingan pertahanan siber, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama CyberSecurity Malaysia (CSM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Standard Chartered Global Business Service (SCGBS) menjalinkan kerjasama menganjurkan Pertandingan Pertahanan Siber (Cyber Heroes) 2017.

Kejohanan yang julung kali diadakan ini telah menyaksikan kumpulan Generate Name dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) muncul sebagai juara apabila berjaya memungut mata tertinggi dalam pertandingan itu.

Lim Kien Seng, Amirul Anwar Md Zulkifli, Nazrul Affiq Ahmad Amimar dan Mokhdzani Faeq Mohamed Fuad berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan turut dilantik menjadi Duta Cyber Heroes.

Lebih membanggakan, keempat-empat mahasiswa tahun akhir itu juga bakal mendapat latihan teknikal secara percuma bersama CSM, sekali gus menjadi inspirasi kepada mahasiswa yang meminati bidang keselamatan siber.

Menurut Nazrul Affiq, dalam pertandingan tersebut, antara tugas yang perlu dilaksanakan adalah menyelesaikan senario seperti mempertahan aset kritikal daripada serangan siber.

“Kami perlu mengenal pasti dan mengambil langkah bagi mengurangkan serangan siber, memelihara bahan bukti, menganalisis kejadian serta mencadangkan tindakan pencegahan yang perlu diambil sebagai persediaan menghadapi ancaman siber pada masa hadapan.

“Dari segi cabaran, kami menerima persaingan yang sangat sengit selain tugasan yang diterima agak sukar kerana kami bukanlah pakar dalam bidang keselamatan siber. Namun begitu, banyak perkara baru yang telah kami belajar dan menerusi pertandingan ini, kami dapat meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu pengetahuan kami,” katanya.

Tambah mereka, pertandingan sebegini merupakan platform yang sangat diperlukan oleh pelajar kerana dapat belajar perkara-perkara baharu dalam industri.

“Kami juga berasa sangat bertuah kerana menerusi program mentor mentee yang diselitkan dalam pertandingan ini, kami dapat belajar dengan pakar sebenar dalam industri. Selain itu, kami juga didedahkan dengan ilmu keusahawanan yang diperlukan dalam industri sains komputer khususnya pertahanan siber,” jelasnya.

Mengumpul mata tertinggi sebanyak 157 mata, Uniten berjaya mendahului pasukan Ayam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menduduki tempat kedua dengan mata 147.8, manakala tempat ketiga mejadi milik pasukan Nighttrain dari Universiti Asia Pasifik (APU) dengan mata 116.3.

Cungkil bakat pelajar dalam pertahanan siber

Pertandingan Pertahanan Siber (Cyber Heroes) 2017 telah berlangsung selama dua hari, melibatkan pelajar-pelajar institusi pegajian tinggi tempatan.

Seramai 20 pasukan terdiri daripada 77 pelajar dari 11 universiti di seluruh negara menyertai pertandingan yang berlangsung di UKM itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab, pertandingan itu merupakan platform untuk menggalakkan pembudayaan keselamatan siber dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Kita mahu pelajar-pelajar ini menjadi warga digital yang bertanggungjawab terutama apabila berada di alam siber.

“Melalui pertandingan ini, kita dapat memupuk kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pertahanan siber terutama sewaktu berlakunya sesuatu serangan siber seperti penggodam.

“Selain itu, kita juga mahu menerapkan kefahaman kepada mereka bahawa pertahanan siber adalah lebih utama daripada aktiviti penggodaman,” katanya.

Selain mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda mengenai pertahanan siber, pertandingan ini juga memberi pendedahan dan menyemai pengetahuan 
mengenai bidang forensik agar para pelajar dapat bersiap siaga menghadapi ancaman serta krisis siber.

Uniknya juga, pertandingan ini turut membuka ruang kepada bakat-bakat muda dengan kemahiran keusahawanan apabila mereka turut diberi pendedahan mengenai kaedah transformasi kemahiran keselamatan siber kepada peluang perniagaan dalam industri keselamatan 
siber.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, pertandingan ini dilihat berupaya menyediakan lebih ramai mahasiswa untuk mempunyai pengalaman awal dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0.

“Menerusi program ini, ia mendedahkan pelajar kepada semua elemen digital dan secara tidak langsung mempromosikan budaya keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.

“Dalam masa yang sama, ia memberi inspirasi baru kepada mereka untuk meneroka bidang keselamatan siber dengan lebih mendalam menerusi program Sarjana Keselamatan Siber yang ditawarkan oleh UKM sejak 2013 di Pusat Keselamatan Siber,” katanya.