Buat masa ini, penyelidikan yang sudah menampakkan hasil adalah yang melibatkan sel-sel tulang dan kulit, kerana ia melibatkan sel manusia dewasa yang mudah didapati dan masih mempunyai kebolehan untuk membahagi dan membentuk sel-sel baharu.

Bagi menghasilkan sel-sel tulang atau kulit yang baharu ini, kaedah yang biasa digunakan adalah dengan meletak dan menyusun sel-sel tersebut dalam kerangka yang bersesuaian. Kerangka atau scaffold yang dimaksudkan adalah bersifat pepejal, bersaiz sekitar dua sentimeter (cm) panjang, dan mempunyai liang rongga kecil yang mampu menempat dan membiakkan sel-sel yang diletakkan di situ. Pertumbuhan sel selanjutnya boleh dikawal dengan meletakkan kerangka tersebut dalam persekitaran yang sesuai, dan dengan tambahan bahan biokimia yang mampu menggalakkan pertumbuhan sel dalam kadar yang bersesuaian.

Fungsi kerangka adalah penting bagi mengawal pertumbuhan sel dalam bentuk dan saiz yang dikehendaki, bagi menghasilkan tisu yang berguna, dan bukannya secara sembarangan dan menghasilkan longgokan sel yang tidak mempunyai apa-apa fungsi.

Selain liang yang sesuai untuk pembiakan sel, dua lagi sifat penting kerangka yang baik adalah lengai terhadap tubuh manusia. Dalam masa sama kerangka itu juga boleh diserap oleh tubuh setelah terhasilnya sel-sel yang dikehendaki di dalam kerangka yang digunakan.

Banyak jenis bahan, sama ada organik atau sintetik, telah digunakan oleh penyelidik bagi dibuat kajian mengenai kejuruteraan tisu sejak tahun 2000. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan organik daripada sumber tumbuh-tumbuhan masih belum meluas dijalankan.

Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) telah memulakan penyelidikan penghasilan kerangka menggunakan bahan-bahan organik berasaskan tumbuhan sejak tahun 2014.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik Unimap. Dr. Nashrul Fazli Mohd. Nasir, tumbuhan yang digunakan adalah daripada keluarga ubi, termasuklah ubi gadong, ubi badak dan ubi kemili.

“Kerangka merupakan komponen paling asas dan terpenting dalam apa jua penyelidikan kejuruteraan tisu.

“Kami ingin membuktikan produk pertanian tempatan sebenarnya berpotensi digunakan sebagai salah satu bahan komposit kerangka, setanding dengan bahan sintetik dan yang lebih tinggi nilainya yang banyak digunakan dalam penyelidikan di luar negara,” katanya yang juga ketua penyelidik.

Proses penghasilan kerangka itu melibatkan proses yang rumit, termasuklah proses pengeringan substrat ubi kepada bentuk serbuk dan penentuan kuantiti yang sesuai untuk digunakan.

Kerangka yang dihasilkan adalah bahan komposit yang terhasil dari gabungan polimer kanji ubi dan polimer hidroksiapatit (HA). Bahan HA adalah komponen penting yang perlu digunakan bagi menghasilkan sel tulang kerana mengandungi kalsium fosfat. Tanpanya, sel tulang yang dihasilkan tidak mempunyai sifat mekanikal tulang yang utama, iaitu kekuatan dan kerapuhan.

Menariknya, bahan komposit kanji ubi (HA) turut mempunyai sifat resapan air yang rendah, sesuatu yang diinginkan dalam pembangunan kerangka.

Kadar resapan molekul air yang rendah memungkinkan liang-liang kerangka yang terhasil akan dipenuhi sel-sel yang ingin dibiakkan dan bukannya molekul air.

Menurut analisis menggunakan mikroskop pengimbas elektron (SEM), kerangka yang dihasilkan ini juga mempunyai saiz dan jumlah liang yang amat sesuai bagi pertumbuhan sel yang diperlukan, iaitu sekitar di antara 200 hingga 500 mikrometer.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penyelidik dari kumpulan yang sama, Dr. Cheng Ee Meng, penyelidikan tersebut yang menerima dana penyelidikan dalaman Unimap sebanyak RM100,000 sejak 2014, masih dijalankan sehingga kini.

“Proses penambahbaikan dari segi kuantiti ubi yang diperlukan, selain dari analisis struktur dan kebolehresapan kerangka, dijalankan dengan bantuan beberapa pembantu penyelidik tempatan,” katanya.

Kesemua penemuan penyelidikan telah dibentangkan dalam beberapa persidangan, dan mendapat sambutan yang baik. Kumpulan penyelidik dari PKP Unimap itu sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk berkerjasama bagi pembangunan selanjutnya, termasuklah yang bersifat komersial.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui Dr. Nashrul Fazli Mohd Nasir di [email protected]