Kedudukannya yang terletak di kawasan Batu Arang, Selangor tidak menghalang orang ramai untuk melawat kawasan tersebut.

Kini kawasan tersebut dijenamakan semula supaya mereka yang berminat dengan pertanian berpeluang melawatnya dengan cara 
lebih santai dan menyeronokkan.

Pelbagai kemudahan ditambah dan dinaik taraf tanpa mengubah landskap kawasan ladang itu yang kini dinamakan Selangor Fruits Valley (SFV) dan panorama sekitar lebih segar serta menggamit kedatangan pengunjung .

Antara kemudahan yang memberi nilai tambah kepada SFV adalah penggunaan trem yang 
memudahkan pengurusan 
ladang membawa pengunjung melawat sekitar kawasan berkeluasan hampir 1,000 hektar (ha) itu.

Trem tersebut disediakan sebagai kemudahan tambahan bagi pengunjung melihat sendiri kawasan pertanian yang jumlahnya agak ramai terutama pada setiap hujung minggu.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Thamby Omar Mohamed pihaknya mula memikirkan penggunaan trem pada hujung 2016 dan dalam masa dua bulan, dua set sudah siap mengandungi enam koc dengan setiap satu. Kosnya adalah RM220,000 satu set.

“Tapi kami puas hati kerana agak mudah dikendalikan dan kosnya berpatutan,” ujar beliau.

Trem berkenaan menggunakan enjin pada bahagian penarik gerak (tow mover) yang mampu memuatkan 34 orang dalam satu-satu masa.

Selepas menggunakannya, pihaknya mendapati pelancong sangat seronok kerana agak selesa dan bersih serta mesra pengguna selain mempunyai kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).

Setakat ini, pihaknya menerima pengunjung yang agak ramai dan mereka berpuas hati dengan trem berkenaan.

Cabaran ZDA bangunkan trem

Pengarah Urusan Zull Design Autotronic (ZDA) yang membangunkan trem berkenaan, Zulkifli Haron berkata, pihaknya gembira apabila menerima tempahan membangunkan trem itu daripada Selangor Fruits Valley (SFV).

“Kami bersemangat kerana ada dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi keyakinan besar kepada ZDA memandangkan pada kebiasaannya membeli trem ini menimbulkan banyak persoalan. Ini satu kebanggaan bagi saya dan kakitangan kerana ada syarikat besar yang berani dan nampak kredibiliti kami,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, bukan mudah untuk menyiapkan trem berkenaan kerana masa yang diberi hanya lebih dua bulan, dan pihaknya mesti menghasilkan kenderaan yang berkualiti denga 12 koc.

Katanya lagi, ZDA menggerakkan seramai 10 orang untuk menyiapkan trem tersebut. Cabaran tersebut amat besar dan mereka bersungguh-sungguh menyiapkannya mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan.

“Selepas siap hati saya terubat apabila melihat orang ramai berebut-rebut dan teruja menaiki trem berkenaan dan merakam gambar bersama kenderaan ini. Trem ini adalah yang termurah yang kita bina dan tidak mempunyai sebarang trek tetapi dilengkapi 48 tayar dan boleh digerakkan dengan menggunakan bateri atau pun minyak,’’ ujarnya.

Dari segi baik pulih ataupun perkhidmatan selepas jualan beliau berkata, ZDA menyediakan kursus dan latihan kepada staf ataupun kepada pengguna tersebut dengan cara yang sesuai 
sebagai persiapan jika berlaku sebarang masalah teknikal.

Zulkifli berkata, paling istimewa adalah trem tersebut boleh digunakan di mana-mana walaupun dalam kawasan kampung sekali pun kerana dilengkapi dengan teknologi stereng mekanikal berpandu automatik.