Ramai usahawan bijak mengambil peluang mengaut pendapatan lumayan melalui penjualan makanan. Apatah lagi, jika sajian tersebut enak dan popular, nyatakan di mana saja destinasi, penggemar makanan pasti akan mencarinya.

Terbaharu, pendekatan sajian makanan menerusi food truck atau trak makanan yang telah lama popular di Barat kini semakin mendapat tempat di negara ini.

Setiap hari, hasil pendapatan perniagaan makanan menerusi jualan kaedah trak makanan dianggarkan mencecah RM 25 bilion di seluruh dunia.

Menyedari potensi yang cukup besar, seorang usahawan trak makanan yang berasal dari Pulau Pinang, Mohamad Syaharini Abd. Ghani, meneroka peluang dengan menjual char kuey teow dan masakan panas serta minuman.

Sebelum ini, dia telah mengusahakan kedai makan char kuey teow sejak 2004 lagi selepas berhijrah ke Kuala Lumpur.

Pada mulanya, dia telah membeli sebuah lori karavan untuk mengangkut produk sos char kuey teow dan sos perisa Syah Flavors keluaran syarikatnya ES Fusion.

Selain menjual masakan panas, Mohamad Syaharini turut menempatkan produknya di trak makanan jika ada pelanggan mahu membeli dan bawa pulang.

“Setelah bertahun-tahun mengusahakan masakan panas seperti char kuey teow, saya telah menerima saranan serta sedikit bantuan geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membeli trak makanan pertama saya pada 2015.

“Alhamdulillah, saya lihat banyak manfaat dan pulangan apabila berniaga melalui medium seperti ini,” jelasnya.

Mohamad Syaharini nekad mengunjurkan modal antara RM50,000 hingga 200,000 sebagai permulaan.

Menurutnya, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan. Secara purata perniagaan melalui trak makanan boleh menjana pendapatan sehingga RM 20,000 sebulan.

Pengalaman berniaga masakan panas di kedai makan sebelum ini dijadikan sandaran untuk diaplikasikan ke medium food truck.

“Kelebihan perniagaan menerusi trak makanan amat mudah dikendalikan dengan beralih ke lokasi lebih strategik jika tiada pelanggan di lokasi tetap.

“Selain itu, peniaga tidak perlu bersusah payah mengangkut barangan perniagaan setiap hari.

“Pelanggan juga hanya perlu naik ke trak untuk mengambil pesanan seterusnya menikmati makanan tersebut selepas membelinya,” ujarnya lagi.

Selepas menerima sambutan yang cukup positif daripada pelanggan, dia berhasrat mahu mengembangkan perniagaan berasaskan trak makanan dengan menambah lagi seunit dengan konsep yang sama bulan ini.

Mohamad Syaharini turut menanam impian menempatkan trak makanan di setiap negeri dan mempelawa kepada sesiapa yang berminat untuk mengusahakan produk jenama Syah Flavors supaya bekerjasama dengannya.

Seorang lagi pengusaha makanan segera, Ikhsan Sirat turut mengakui perkara yang sama.

Sungguhpun memegang status orang kurang upaya (OKU), langsung tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang mencari rezeki seperti pengusaha makanan yang lain.

Malah, dia turut menyahut cabaran menjalankan perniagaan dengan menggunakan kaedah terkini melalui trak makanan.

Dia yang telah menjalankan perniagaan burger di pasar malam selama 30 tahun, mengakui menggunakan trak makanan lebih mudah, kemas dan cukup efisien.

“Bayangkan jika sebelum ini saya berniaga keluar masuk peralatan perniagaan daripada van ke tapak pasar malam. Sudahlah seharian menjaja, selepas pulang ke rumah badan jadi letih.

“Kini bila saya keluarkan modal sendiri dapatkan trak makanan, masa mengemas dan susun atur jadi lebih singkat,” jelas Ikhsan yang lebih mesra dengan sapaan Wak Ikhsan.

Mengikuti program skim bantuan galakan perniagaan OKU Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia, dia mengakui sambutan pelanggan terhadap kebab jualannya amat menggalakkan.

Wak Ikhsan turut mengakui kebanyakan penganjur acara melibatkan program kerajaan mahupun swasta, lebih berminat memilih peniaga-peniaga trak makanan untuk turut serta dalam program yang dilaksanakan kerana faktor lokasi, pengelolaan yang lebih teratur dan faktor kebersihan.

“Dalam tempoh setahun ada banyak acara yang dianjurkan, kebanyakannya acara-acara melibatkan jabatan kerajaan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) misalnya, memberi peluang yang lebih kepada kami.

“Secara purata pendapatan boleh mencecah RM antara 4,000 hingga RM7,000 ribu jika ada acara pada hujung minggu dan waktu cuti umum,” jelas Wak Ikhsan lagi.

Walau bagaimanapun kedua-dua pengusaha trak makanan ini tidak menafikan terdapat kekangan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap konsep jualan makanan bergerak.

Sungguhpun begitu pengusaha trak makanan masih menikmati hasil pendapatan lumayan menerusi jualan pada penganjuran acara atau komuniti setempat dengan caj bayaran yang munasabah. – Mohd. Nazirul Afiq Ismail


Pengusaha Jus Mangga dengan jenama Jus Mangga Botak Putrajaya, Mohd. Asrul Azwan Azim, mengakui trend jualan bergerak menjadi pilihan golongan muda sepertinya menerokai bidang keusahawanan.

“Saya terpaksa mengikut trend berniaga melalui karavan dan trak makanan kerana tarikan pengunjung lebih ke arah perniagaan seperti ini.

“Sejak umur 14 tahun saya sudah berniaga di bawah khemah dan merasai sendiri cabaran serta pahit getirnya.

“Misalnya, jika hujan lebat, terpaksa tutup khemah dan perlu mengalih barangan perniagaan ke tempat lebih selamat,

“Berbanding apabila ada karavan ini, hanya perlu tutup dan tunggu dalam lori sehingga teduh.” jelasnya .

Dari segi modal pula, permulaan perniagaan menggunakan konsep khemah lebih besar jika berbanding dengan menggunakan lori karavan.

Selain sewa tapak, kelengkapan perniagaan menggunakan khemah lebih besar dan lebih mahal.

Walau bagaimanapun Mohd. Asrul menyatakan jualan lori karavan turut membantu promosi kepada konsep perniagaan bawah khemah yang diusahakan lantaran kebanyakan penganjuran acara-acara besar menerima kunjungan orang ramai dari seluruh pelosok negara.

Bermula dengan berniaga secara sambilan untuk menambah pendapatan keluarga menjadikan Shanidah Kadir kemudian nekad fokus pada perniagaan lori karavan selepas melihat potensi yang cukup besar dalam perniagaan ini.

Menjual makanan ringan seperti ayam goreng gunting dan sosej, usahawan muda dari Melaka ini bersepakat dengan suaminya berhenti kerja dan membina jenama Nufail Fried Chicken.

“Kami memilih untuk menjual sajian popular seperti ayam goreng kerana saya dan suami merupakan peminat makanan ringan ini. Sepanjang dua tahun menjalankan perniagaan dari lori karavan ini, Alhamdulillah amat menggalakkan.

“Menerusi pendapatan jualan makanan ringan ini dapat menampung kehidupan keluarga kami, melunaskan bil utiliti dan komitmen lain seperti sewa rumah dan ansuran kenderaan,” jelasnya.

Menurut Shanidah yang turut menerima bantuan MyAgrosis, di bawah kelokaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), perniagaan melalui lori karavan memberi peluang kepadanya untuk menyusun jadualnya sendiri.

“Berniaga melalui kaedah ini memberi kebebasan kepada saya menguruskan masa tanpa terikat dengan majikan.

“Seperti perniagaan lain, perniagaan menggunakan lori karavan juga ada cabarannya seperti persaingan. Namun, penekanan terhadap kualiti makanan, kebersihan merupakan aspek penting yang perlu dijaga bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk yang ditawarkan,” jelasnya.