Makmal yang berpusat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, dijangka beroperasi pada awal tahun depan, dengan kewujudannya dilihat mampu menyelesaikan isu lambakan madu lebah kelulut tidak asli di pasaran yang menimbulkan keraguan pengguna dan menjejaskan industri ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, seramai 260 penternak lebah kelulut yang berdaftar boleh mendapatkan sijil pengesahan keaslian madu lebah kelulut di makmal berkenaan.

“Melalui sijil keaslian madu yang dikeluarkan oleh MKM pelanggan boleh membezakan antara madu asli atau sebaliknya.

“Di sini kita memiliki peralatan moden iaitu mesin High Performance Liquid Chroatograph (HPLC) untuk mengukur ketulenan produk secara saintifik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke makmal tersebut hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak.

Menurut Azman, industri madu kelulut yang semakin berkembang di negara ini terganggu dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ramai penternak yang hanya mementingkan keuntungan apabila menjual madu yang sudah dicampur dengan air gula.

“Saya difahamkan pihak UMT kerap menerima laporan mengenainya dan madu tidak asli itu sukar dikenal pasti melainkan dengan ujian di makmal.

“Menyedari permasalahan itu, kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk menyelesaikannya dengan menyediakan makmal ini di UMT yang bakal beroperasi sepenuhnya tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu, Azman mengajak penternak memanfaatkan penubuhan makmal itu di samping mendapatkan sijil pengesahan keaslian madu daripada MKM sebagai satu tanda piawaian.

“Semua produk berasaskan madu termasuk madu lebah kelulut keluaran penternak tempatan perlu mempunyai sijil keaslian daripada makmal ini sekali gus menanggani isu madu tidak asli di pasaran,” katanya. -UTUSAN ONLINE