“Kami mengadaptasi teknologi RFID bagi tujuan keselamatan ini iaitu peranti dipasang pada pergelangan tangan ibu dan serta buku lali bayi dilengkapi teknologi yang membolehkan padanan ibu dan bayi ditentusahkan melalui audio serta visual.

“Padanan yang betul akan menghasilkan audio (lullaby) beserta indikasi visual lampu dio pemancar cahaya (LED) berwarna hijau, manakala padanan yang salah akan menghasilkan bunyi `beep’ amaran serta indikasi LED berwarna merah,’’ ujarnya

Notifikasi amaran tersebut seterusnya akan dipaparkan pada skrin sistem (papan pemuka) yang dipantau oleh jururawat bertugas di kaunter atau stesen serta oleh keselamatan hospital untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, sistem berkenaan mampu menjejaki pergerakan bayi di dalam hospital serta membolehkan penetapan had kawasan pergerakan bayi.

Ini bagi mengelakkan cubaan penculikan dan membawa keluar bayi dari kawasan yang dibenarkan selain memberi maklumat lokasi terkini bayi di dalam wad hospital.

Berkongsi lebih lanjut, Azrul berkata, pembangunan sistem tersebut adalah ekoran daripada kes tertukar bayi dan cubaan penculikan bayi di hospital.

Ini mendorong pihaknya membangunkan sistem tersebut dengan penambahbaikan proses prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di Hospital.

Peranti penanda (tag) bayi dilengkapi dengan gegelang (tamper-proof infant strap) yang direka khas sesuai untuk digunakan pada kulit bayi yang sensitif.

Selain notifikasi padanan yang salah, cubaan mencabut serta memotong gegelang tag atau penanda bayi berkenaan juga akan mengaktifkan penggera pada papan pemuka (dashboard) sistem.

“Setakat ini, kami telah melaksanakan sistem ini di beberapa buah hospital swasta di dalam serta luar negara, namun pelaksanaan di hospital kerajaan adalah yang pertamanya dilaksanakan dan kami berharap ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh,’’ ujarnya.

Projek sistem keselamatan tersebut adalah menerusi kerjasama antara ARA TechBis Sdn. Bhd. dengan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). – LAUPA JUNUS