Berpeluang mengikuti pengajian ijazah di Jepun dan seterusnya berkhidmat di negara itu selama tujuh tahun di syarikat Sony & Panasonic Electronic & Takaki sebagai Pegawai Kajian & Pembangunan (R&D) memberikan pengalaman berharga buat Muhammad.

Selepas menamatkan perkhidmatan, beliau pulang ke tanah air. Namun, negara matahari terbit itu terlalu dekat di hatinya. Keadaan itu mendorongnya mendalami ilmu perniagaan dalam bidang teknologi automotif dan perdagangan. Beliau kemudian kembali semula ke Jepun, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk menjadi pembekal kepada syarikat Panasonic, Proton & Perodua di Malaysia.

Beliau yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, M.A.Intelligent Holdings Sdn. Bhd. (MAIH), berkata, banyak perkara dipelajarinya hasil pengalaman hidup di sana. Antaranya beliau belajar bagaimana orang Jepun menggunakan teknologi untuk memudahkan cara dan gaya hidup seharian.

Dari situ, katanya, timbul minat untuk menceburi bidang perniagaan parkir.

“Tanpa membuang masa, saya memulakan kajian mendalam serta terperinci sebelum teknologi moden yang dipelopori di Jepun ini dibawa masuk ke Malaysia.

“Saya buat kajian bersama syarikat Tokyu Parking & Nessei Parking. Kajian berlangsung selama dua tahun,”katanya kepada Mega Rona.

Di bawah syarikat MAIH, Muhammad berjaya membina menara parkir di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tempat letak kereta moden bertingkat pertama itu adalah hasil kerjasama pihak MAIH dengan Nissei Build Kogyo Co. Ltd., yang menyediakan teknologi dan kepakaran tempat letak kereta dari Jepun.

Menurutnya, bisnes parkir adalah penyelesaian masalah semasa berkaitan kekurangan ruang letak kereta di bandar-bandar utama negara ini, terutama Kuala Lumpur. Justeru itu, beliau turut melakukan kajian

Rangkuman kerja sosial Datuk Seri Dr. Muhammad Isa Kasim meliputi pembangunan ummah, seiring dengan minat beliau yang menyukai kemajuan dan teknologi. Keadaan ekonomi dan sahsiah ummah menjadi agenda kemasyarakatan utama yang diperjuangkannya menerusi Yayasan M.A An-Najdah. Yayasan itu memperjuangkan misi kemanusiaan dan kebajikan di dalam negara dan juga beberapa negara jiran seperti Kemboja, Indonesia dan Thailand.

Berikutan itu, beliau menerima beberapa anugerah dalam bidang perniagaan dan inovasi seperti Shanghai Innovation Award 2018.

Bapa kepada lima cahaya mata itu bersyukur kerana isteri, Datin Seri Dr. Nor Hamiza Nordin sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepadanya untuk terus berusaha.

Memiliki tiga anak perempuan dan dua lelaki, Muhammad sentiasa mengutamakan keluarga dalam apa sahaja yang dilakukannya.

Anak perempuannya, Siti Nur Musfirah berkata, ayahnya seorang yang tegas dan berpendirian, namun turut bertoleransi dalam keluarga serta merupakan seorang ayah penyayang.

“Masa berkualiti adalah masa bersama keluarga yang digunakan sebaiknya untuk bersama anak-anak kerana kesibukan bidang perniagaan yang dipelopori menuntut banyak masa terutama ketika peringkat awal memulakan perniagaan,” katanya.

Mengulas sebagai pekerja, katanya, ayahnya merupakan seorang majikan yang tegas, tetapi amat mengambil berat kebajikan pekerja.

“Ayah amat memen­tingkan pengisian rohani dan nilai-nilai Islam. Jadi, sesi tazkirah, solat jemaah, tadarus di bulan Ramadan, solat duha berjemaah dan keraian bersama kakitangan dan ahli keluarga kerap diadakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Muhammad, Mohd Shahrul Adam Mohamad, pula berkata, Muhammad adalah seorang ketua yang berpendirian, bersemangat kuat dan tekad dalam mencuba serta merealisasikan misi dan sasaran syarikat.

“Beliau mementingkan brotherhood dan ukhuwah dalam perniagaan serta profesionalisme. Mempunyai figura seorang ayah dalam perwatakan kepada pekerja dengan sikap yang memahami pekerja dan mengambil berat kebajikan pekerja, beliau sangat mementingkan penjagaan imej dan kebersihan dalam penampilan dan tugasan,” katanya.

pemasaran selama kira-kira dua tahun berkaitan permasalahan parkir di seluruh negara sebelum memutuskan untuk membina menara parkir berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, pada peringkat awal iaitu sekitar 1997, beliau membuat pelaburan sebanyak RM5 juta untuk membeli sampel parkir seperti menara parkir (tower parking) dan pelbagai peringkat parkir (multi level parking) mengikut spesifikasi dan saiz sebenar.

Tambahnya, sampel itu mengambil masa dua tahun untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia di bawah jabatan berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Kementerian Sumber Manusia (DOSH) dan sebagainya.

“Sampel saiz sebenar dibeli dari beberapa negara seperti Jepun, Korea, China, Jerman dan Itali. Hanya sampel dari Jepun dan Jerman sahaja diluluskan oleh kerajaan pada penghujung tahun 90-an,”ujarnya.

Muhammad berkata, idea penggunaan teknologi parkir moden itu telah dikongsikan kepada pihak pengurusan hospital, syarikat agensi berkaitan kerajaan (GLC) serta kompleks kerajaan.

Fasa itu, katanya, menerima respons yang amat positif termasuk daripada Majlis-Majlis Perbadanan dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, menara parkir itu dilindungi insurans sebanyak RM8 juta serta menawarkan penggunaan secara bulanan atau langsung dengan kadar yuran atau bayaran berpatutan.

“Kami adalah 100 peratus syarikat milik Bumiputera dan merupakan ejen tunggal untuk Sistem Parking Tempat Letak Kereta Automatik di Asia Timur dan Rantau Timur Tengah.

“Dengan gabungan teknologi dan permintaan tinggi di Malaysia, kami percaya bahawa kami akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan tempat letak kereta dan menjadi penyelesaian nombor satu untuk masalah letak kereta.

“Lebih mengujakan, kami menawarkan perkhidmatan sistem mekanikal automatik tempat letak kereta,” tambahnya.