Azolla juga dikenali sebagai mosquito fern, duckweed fern, fairy moss dan water fern serta daripada genus tujuh spesies pakis akuatik dalam keluarga Salviniaceae.

Azolla dikenali mempunyai bentuk yang unik, tidak kelihatan seperti pakis biasa, tetapi lebih menyerupai duckweed atau beberapa lumut.

Spesies yang ada di Asia dikenali sebagai Azolla pinnata. Ciri-ciri Azolla adalah daunnya berwarna hijau dan berbentuk segi tiga atau poligon dan terapung di atas permukaan air secara padat dan tersusun menyerupai tikar. Diameter tumbuhan ini di antara satu sentimeter (cm) hingga 2.5 cm.

Azolla sejenis rumpair yang mudah membiak dan ditanam. Azolla hanya memerlukan kedalaman minimum air sebanyak tiga inci dan pembajaanya hanya menggunakan baja jenis organik seperti tahi lembu atau kambing, atau baja NPK (nitrogen, fosforus dan kalium).

Hasil penyelidikan yang dijalankan, rumpair berkenaan mengandungi protein yang tinggi iaitu 22.4 peratus berbanding dengan jagung dan amat sesuai menjadi sumber protein kepada makanan ternakan seperti ayam, itik, lembu dan kambing.

Kebanyakan penternak di daerah Kelantan telah menanam sendiri rumpair tersebut sebagai sumber makanan haiwan ternakan mereka. Walau bagaimanapun, berdasarkan kaedah pengkulturan rumpair berkenaan sekarang, ia masih tidak mencukupi untuk menampung bekalan.

Sehubungan itu, kumpulan projek yang diketuai Prof. Madya Dr. Rosnah Shamsudin dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif untuk menjalankan penyelidikan dalam mereka bentuk dan membangunkan teknologi tanaman bertingkat-tingkat yang dikenali sebagai Versmap bagi meningkatkan pengeluaran rumpair berkenaan sebagai sumber makanan haiwan.

Dengan adanya teknologi Versmap tersebut, maka pengeluaran Azolla dapat ditingkatkan kepada empat kali ganda. Dianggarkan sebanyak 900 kilogram (kg) Azolla dapat dihasilkan sebulan bagi setiap sebuah Versmap.

Jumlah tersebut dapat menampung bekalan makanan kira-kira 3,000 ekor itik sebulan. Oleh itu, dengan peningkatan pengeluaran, maka masalah bekalan makanan dapat diatasi. Begitu juga dengan kos makanan dapat dijimatkan bergantung kepada jenis haiwan ternakan.

Teknologi Versmap itu diguna pakai oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Bachok dan di Kampung Kedai Piah, Kota Bharu, Kelantan.

Projek tersebut dirasmikan oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kelantan, Rashid Awang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Turut hadir, hampir 50 orang penternak di sekitar kawasan program komuniti dibiayai bawah Skim Geran Pemindahan ilmu (KTGS), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM dengan kerjasama dari PPK, Bachok.

Secara tradisinya, rumpair tersebut ditanam oleh penternak dengan cara menggunakan takung air iaitu dengan membina kolam tanah sebesar 100 kaki persegi.

Kolam dilapik dengan plasik tebal kalis air dan diisi dengan air antara tiga hingga enam inci yang telah bercampur sedikit tanah dan baja. Ada juga diternak di dalam bekas-bekas takungan air besar .

Dengan kaedah ini, penternak hanya memperoleh 30 kg Azolla untuk setiap keluasan 10 meter persegi bagi tempoh sebulan iaitu hanya mencukupi untuk bekalan makanan bagi 200 ekor itik sahaja.

Sekiranya tanaman ini dapat dihasilkan dengan banyak dan mudah, penternak dapat memperoleh sumber protein yang mencukupi dan murah untuk dijadikan makanan ternakan itik.

Bagi kawasan 0.4 hektar (seekar) bangsal Versmap dapat dibangunkan sebanyak 152 buah dengan kadar pengeluaran sebanyak 136,800 kg/ekar atau kira-kira 137 tan sebulan.

Jika harga jualan diandaikan sebanyak 30 sen sekilogram, maka pendapatan kasar sebanyak RM41, 040.

Selepas menolak kos baja, upah pekerja, elektrik dan lain-lain sebanyak 30 peratus, dianggarkan pendapatan bersih yang akan diperoleh oleh penanam rumpai berkenaan adalah RM28,728 seekar.

Adakalanya, harga rumpai tersebut boleh meningkat sehingga RM1 sekilogram hingga RM50 sekilogram jika dijual sebagai benih.