Umum tahu bahawa bakau adalah anugerah yang sangat bernilai dan penting kepada alam sekitar. Selain melindungi pesisir pantai daripada hakisan ombak, hutan paya bakau juga berfungsi untuk menstabilkan kawasan pantai dengan menjadi penahan semula jadi terhadap ribut taufan.

Bukan itu sahaja, hutan paya bakau turut menjadi tempat perlindungan beberapa spesis flora dan fauna seperti ketam nipah, burung-burung dan beberapa jenis ikan.

Walau bagaimanapun, di sebalik kepentingan hutan paya bakau kepada alam sekitar, ia juga amat sensitif terhadap gangguan dan boleh mendatangkan kesan kepada ekosistem.

Antara gangguan yang boleh menjejaskan fungsi paya bakau adalah masalah penukaran tanah, pencemaran air dan udara, penebangan hutan, penebusgunaan hutan dan sebagainya.

Selain itu, kegiatan seperti ternakan ikan sangkar, pembangunan perindustrian, pelabuhan, pembuangan sisa cecair oleh kapal mahupun bot nelayan juga boleh menjejaskan ekosistem paya bakau.

Justeru, pelbagai usaha perlu dilakukan agar dapat memulihara kawasan hutan paya bakau semula jadi yang menjadi pelindung kepada ekosistem daripada menjadi terancam.

Melihatkan permasalahan yang dihadapi, beberapa pihak telah tampil untuk memulih serta menanam semula pokok bakau dan dalam masa yang sama menjalankan tanggungjawab untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan hutan paya bakau kepada alam sekitar.

Hasil kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. dalam Projek Bakau Terhubung telah berjaya membangunkan teknologi objek rangkaian Internet (Internet Of Things atau IoT) dan jalur lebar mudah alih.

Projek itu turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Global Environment Centre (GEC) dan juga komuniti setempat Kg. Dato Hormat, Sabak Bernam apabila berjaya menanam 200 anak pokok sebagai usaha pemulihan hutan bakau yang semakin berkurangan.

Projek berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan menggabungkan teknologi terkini dalam membantu komuniti tempatan untuk menguruskan pertumbuhan pokok bakau baharu.

Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar (WCC) UTM, Prof. Dr. Tharek Abd. Rahman berkata, UTM berperanan untuk melaksanakan pembangunan dan penyelidikan di makmal UTM-Ericsson Innovation Centre for 5G (IC5G) di UTM.

“Salah satu penyelidikan yang dijalankan di makmal ini adalah berkaitan penggunaan IoT dalam pelbagai bidang. Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTM) juga memfokuskan kepada penyelidikan transnasional yang boleh memberikan pulangan atau faedah kepada komuniti.

“Selain itu, universiti dan industri perlu bekerjasama dan kerjasama bersama Ericsson ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam Projek Bakau Terhubung di Sabak Bernama, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton dan Penyelaras Program Hutan dan Pantai GEC, R. Nagarajan.