Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Teknologi bioreaktor tanam cendawan

Zhengyutong  dari China menunjukkan tanaman cendawan kukur yang 4
Zhengyutong dari China menunjukkan tanaman cendawan kukur yang sudah boleh dituai.

Bagi warga desa, menikmati cendawan kukur masak lemak bersama daging salai mampu mengecurkan air liur, apatah lagi jika dinikmati semasa musim hujan.

Pun begitu, isu keselamatan terutama cendawan yang lebih dikenali sebagai kulat sisir atau nama saintifiknya Schizophllyum commune yang dikutip di kebun getah yang dibimbangi terdapat racun membuatkan tanaman eksotik ini agak payah ditemukan dalam pasaran komersial.

Namun, dengan teknologi terbaharu hasil inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memungkinkan cendawan kukur dipasarkan secara lebih meluas, terkawal, selamat dan berkualiti tinggi.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, inovasi terkini iaitu pembenihan secara bioreaktor mampu menghasilkan cendawan kukur dalam kuantiti yang banyak.

“Menerusi teknologi pembenihan secara bioreaktor, cendawan yang sering tumbuh di permukaan kayu reput di kawasan kebun getah semasa musim hujan kini berpotensi dikomersialkan dengan harga yang lumayan,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau.

Bagi Pengarah Bahagian NICE, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Mariamah Daud, penghasilan benih cendawan dengan penggunaan cecair atau bioreaktor adalah satu mekanisme baharu dalam pengkulturan cendawan.

“Memandangkan industri cendawan di Malaysia sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan benih, ia adalah penyelesaian terbaik dalam mengoptimum pengeluaran cendawan kerana sebelum ini kebanyakan benih cendawan di Malaysia diimport dari Thailand.

“Pun begitu, kita tetap mengalami cabaran apabila kualiti benih yang diperoleh tidak konsisten,” jelas beliau.

Memandangkan tiada syarikat di Malaysia yang fokus dalam penghasilan benih cendawan untuk menampung permintaan cendawan kukur yang sentiasa meningkat, UUM, MTDC dan MARDI berusaha dan bekerjasama menghasilkan benih terbaik.

“Kaedah teknologi penghasilan benih cendawan menggunakan cecair ini dilihat mampu menyelesaikan beberapa isu besar termasuk menghasilkan benih biji dalam kuantiti yang besar dan praktikal bagi menampung pemintaan industri cendawan negara,” ujar Mariamah.

Spesies bernilai tinggi 

Menurut Prof. Dr. Noor Azizi Ismail menerusi projek bernilai RM260,000 yang bermula Ogos tahun lalu, sebanyak tiga rumah cendawan kukur yang mampu memuatkan sehingga 5,000 bongkah cendawan dengan menggunakan sistem gantung diwujudkan di Tapak Agrofarm UUM.

Satu bongkah cendawan akan menghasilkan 80 gram cendawan dalam masa sebulan yang boleh dituai setiap dua minggu sekali.

Lebih menarik, tiga buah rumah cendawan itu boleh menjana pendapatan sehingga RM36,000 dengan purata hasil pengeluaran untuk sebuah rumah cendawan adalah sebanyak 400 kilogram (kg) sebulan.

“Harga cendawan ini lebih mahal kerana nilai eksotik iaitu mencecah RM30 sekilogram dan turut disenarai sebagai satu daripada pertanian bernilai tinggi selain sarang burung walet, akuakultur, ikan hiasan, rumpai laut, herba dan rempah ratus.

“Jadi, ia amat sesuai bagi siswazah yang mahu menjana pendapatan sampingan memandangkan cendawan ini adalah tanaman singkat,” katanya.

Justeru itu, projek ini menjadi platform kepada lebih 200 pelajar jurusan Sarjana Muda Perniagaan Tani mempelajari secara mendalam mengenai penghasilan tanaman bernilai tinggi.

“Kita mahu siswazah kita mempunyai perspektif yang meluas dalam bidang keusahawanan pertanian berlandaskan teknologi ini. Lebih menarik, kaedah penanaman cendawan ini terbukti mampu menjana pendapatan lumayan kepada golongan yang meminati bidang pertanian,” katanya.

Bukan itu saja, industri cendawan berpotensi berkembang dengan pesat di mana penggunaannya merangkumi penghasilan pelbagai produk nutraseutikal, farmaseutikal dan kosmetik. – BERNAMA

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain