Walaupun terdapat pelbagai cara mudah seperti menggunakan aplikasi telefon pintar dan kompas, namun masih terdapat keraguan dan pertikaian berkaitan arah kiblat yang sebenar.

Ir. DR. NOR HANA ARSA D (kanan) dan Nur Hazlizah Ariffin menunjukkan peralatan yang dibangunkan untu
Ir. DR. NOR HANA ARSA D (kanan) dan Nur Hazlizah Ariffin menunjukkan peralatan yang dibangunkan untu 

Sekitar 2012, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijemput untuk membuat pengukuran dan penandaan arah kiblat di surau bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor.

Pengukuran dan penandaan arah kiblat dilakukan di lapangan menerusi penggunaan Teodolit dengan kaedah pencerapan matahari.

Arah utara benar perlu terlebih dahulu disahkan sebelum penentuan arah kiblat.

Kerja-kerja pengukuran berlangsung di luar bangunan dengan titik tandaan di luar dan kemudian titik tersebut dipindahkan ke dalam surau.

Proses memindahkan titik tandaan dari luar ke dalam surau dilihat bukan sahaja rumit dan memakan masa bahkan memerlukan tenaga mahir yang ramai.

Bertitik-tolak daripada kerumitan yang timbul, kumpulan penyelidik dari FKAB yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Norhana Arsad dari Pusat Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi Terkehadapan (Paket) menjalin kerjasama dengan Jakim menerusi Geran Universiti Industri dalam membangunkan satu prototaip bagi memindahkan arah kiblat ke dalam bangunan menggunakan laser.

Sepanjang pembangunan tersebut, pelbagai penambahbaikan dilakukan dan perbincangan diadakan dengan Jakim dan dibantu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), maka terhasillah InnoQibla.

Menurut Norhana, kesukaran dan kerumitan menanda titik tandaan dari luar bangunan sehingga ke bilik solat mencetus idea untuk beliau dan pasukannya mencipta satu alat yang membantu meringankan tugas Jakim dan Jabatan Mufti negeri dalam penandaan arah kiblat di dalam bangunan.

“Sistem yang dibangunkan bukanlah bertujuan mengatasi ilmu falak. Peralatan Teodolite yang sememangnya mempunyai tahap kejituan serta ketepatan yang tinggi berperanan sebagai satu inovasi baharu bagi membantu melaksanakan tugas menanda arah kiblat dengan lebih cepat.

“Jika dilihat teknik sedia ada terdapat banyak kekangan terutama dari aspek cuaca. Sekiranya cuaca mendung atau hujan, mereka tidak dapat mengesan arah matahari untuk membuktikan arah kiblat,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Norhana yang juga Penolong Dekan (Keusahawanan dan Kreativiti) FKAB memberitahu, InnoQibla menggunakan teknologi Mikroelektromekanikal (MEMS) untuk mengesan utara benar mengikut putaran bumi iaitu arah sepanjang permukaan bumi ke arah Kutub Utara.

“Malah cip yang bersaiz mikro juga membolehkan rekaan bentuk InnoQibla lebih kecil dan ringan bagi memudahkan kerja-kerja penandaan arah kiblat oleh pihak berwajib,” jelasnya.

Dalam proses mencipta InnoQibla, seorang pelajar, Nur Hazliza Ariffin yang sedang melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran (PhD) dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik, begitu komited dalam mengkaji dan menganalisis InnoQibla.

Menurutnya, sistem yang dibangunkan terbahagi kepada modul di luar dan di dalam bangunan.

“Modul luar bangunan merangkumi sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bagi mengesan lokasi dan maklumat lokasi yang dihantar ke dalam bangunan melalui medium teknologi komunikasi tanpa wayar pada gelombang frekuensi radio.

“Data lokasi koordinat dinyahkod ke dalam format yang difahami oleh pengguna dan diproses menggunakan formula untuk menjana sudut kiblat.

“Pengesan sistem MEMS yang berada di dalam bangunan akan beroperasi dan dikawal oleh mikro pengawal untuk mengukur arah utara benar yang dijadikan titik rujukan,” katanya.

Tambahnya lagi, penentu ukuran sudut dijalankan dan ditentusahkan di Makmal Sudut, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIR) Sirim Berhad, manakala teknologi komunikasi tanpa wayar yang digunakan menerusi gelombang frekuensi juga berjaya mencapai kemampuan jarak maksimum pada 500 meter untuk menghantar data lokasi di luar bangunan sementara di dalam bangunan pula adalah dalam jarak 72 meter.

InnoQibla yang telah dipatenkan berjaya melakar kejayaan dengan merangkul pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2017.

Di samping itu, InnoQibla turut tercalon untuk penilaian akhir kategori paten bagi Anugerah Harta Intelek Negara 2017 dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2018. Terkini ia memenangi Anugerah Cabaran Inovasi Islam yang dianjurkan oleh Platcom Ventures Sdn Bhd, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Aplikasi mungkin tidak tepat

Ramai dalam kalangan umat Islam memilih untuk menentukan arah kiblat melalui pelbagai aplikasi penanda kiblat yang dimuat naik dalam telefon bimbit.

Pun begitu, adakah mereka yakin bahawa aplikasi yang digunakan itu menunjukkan arah kiblat yang sebenar?

Sebelum ini terdapat keraguan mengenai penggunaan aplikasi dalam menentukan arah kiblat, namun masih digunakan secara meluas oleh masyarakat di serata dunia.

Ini kerana menurut Dr. Norhana, aplikasi pada telefon bimbit dan kompas mudah terganggu dengan medan elektromagnet dan menyebabkan ia bergerak tanpa arah sebenar.

Justeru, bagi memastikan kebolehan InnoQibla dan aplikasi, beliau bersama pelajar-pelajarnya membuat ujian lapangan di UKM dan di seluruh negara.

“Menerusi ujian lapangan tersebut, didapati aplikasi pada telefon pintar menunjukkan ralat sehingga 20 darjah.

Kejituan bacaan arah kiblat adalah sangat penting kerana pesongan satu darjah dari arah penentuan di Malaysia boleh menyebabkan pesongan 122 kilometer dari kedudukan sebenar Kaabah disebabkan jarak Malaysia yang jauh dari Mekah.

“Sebanyak tiga lokasi dipilih iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Port Dickson, Negeri Sembilan untuk dilakukan ujian di lapangan dan hasilnya amat memuaskan kedua-dua pihak iaitu Jakim dan Jupem.

“Kami juga menerima maklum balas untuk merubah reka bentuk InnoQibla agar mudah diterima, diguna pakai oleh pihak berwajib mahupun individu,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, tiga lagi ujian lapangan akan dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor tidak lama lagi.