Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrikal UiTM, Dr. Fadhlan Hafizhelmi Kamaru Zaman berkata, sebagai buktinya pembangunan Kenderaan Tanpa Pemandu Urban IntelligenT Mobile (Uitm) Autonomous Vehicle 1 (AV1) yang dilengkapi dengan pelbagai peranti dan kecekapan yang menjadikannya pintar dan fungsi yang pelbagai.

Sebagai contoh, sistem kepintaran buatan (AI) berasaskan perkembangan teknologi terkini yang dinamakan deep learning, yang memproses imej dari kamera point-gray yang membantu kenderaan tersebut untuk ‘sedar’ akan persekitaran laluannya dan juga memastikan ia tetap berada di dalam laluan yang telah ditetapkan melalui pengesan garisan jalan.

Tambah Fadhlan Hafizhelmi, kereta tersebut juga dilengkapi paparan pintar berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memastikan maklumat berkenaan Uitm AV1 dapat dihantar pada masa sebenar kepada paparan atas talian.

Ini bermakna, kereta tersebut berupaya untuk memandu secara automatik di laluan yang telah dipetakan terlebih dahulu menggunakan sensor-sensor seperti Inertial Measurment Unit (IMU), Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan Light Detection and Ranging (Lidar) menerusi teknik Pemetaan dan Penentuan Lokasi Secara Serentak (SLAM).

“Teknik tersebut berupaya mengesan dan mengelak objek di hadapan. Gabungan kesemua ciri-ciri ini dan juga sistem perkomputeran dan teknologi AI yang terkini membolehkan Uitm AV1 dipandu secara automatik dalam keadaan selamat pada kelajuan maksimum 25 kilometer sejam,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, Dr. Noor Fadzli Abdul Razak berkata, model AV1 yang berjaya dihasilkan itu menepati tahap pertama dan kedua mengikut piawaian antarabangsa Society of Automotive Engineers (SAE) yang membawa maksud kereta tersebut bergerak tanpa pemandu pada jalan yang ditetapkan dengan maksimum pengawalan manusia iaitu perlu ada pemandu yang akan bertindak sekiranya kereta bergerak di luar kawalan.

“Walaupun tanpa pemandu tetapi perlu berjaga-jaga dan sentiasa dalam pemantauan kerana itu kereta yang direka ini disertakan dengan brek bagi tujuan kecemasan.

“Malah sistem akan berhenti secara automatik sekiranya berlaku kecemasan,” jelasnya.

Keunikan reka bentuk kereta Uitm AV1 juga terserlah dengan rekaan yang moden, rugged, sporty, urban dan tampak selesa.

Mengangkatkan ciri-ciri yang berindentitikan Malaysia, Uitm AV1 hadir dengan rekaan yang mengarah kepada reka bentuk universal menampakkan visual, reka bentuk permukaan, ergonomik, pembuatan berasaskan pemuliharaan alam semula jadi.

Pensyarah Reka bentuk Industri, Fakulti Seni Reka, Mohd. Shaleh Munjir berkata, reka bentuk aerodinamik Uitm AV1 juga dipertingkat dengan menampilkan ciri-ciri keselamatan serta menjimatkan penggunaan tenaga oleh kenderaan tersebut.

“Konsep rekaannya pula berdasarkan penekanan elemen asas reka bentuk Malaysia terutama objek ikonik seni bina yang banyak mengambil inspirasi pucuk rebung dan menjadi motif bagi seni bina Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), bentuk Wau yang diterapkan pada facade hadapan.

“Motif bentuk keris dikembangkan pada pintu keselamatan kenderaan ini sementara bentuk heksagon yang banyak terdapat pada rekaan geometrik Islamik menjadi asas utama pada badan utama dan logo.

“Secara ringkasnya rekaan ini adalah rupa bentuk boxy pada sisi yang kian menjadi trend kenderaan konsep dengan ciri–ciri sporty pada hadapan dan struktur yang membawa pengaruh dan imej Malaysia,” jelasnya.

Mohd Shahleh menambah, rekaan kenderaan tersebut menepati sasaran pasaran penggunaan iaitu sesuai bagi kenderaan utiliti, perkhidmatan pengangkutan awam seperti teksi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kenderaan majlis perbandaran, teksi di lapangan terbang, di hotel atau institusi yang mempunyai kawasan yang luas seperti universiti atau perbandaran moden seperti Putrajaya.

“Maka reka bentuknya adalah menepati kehendak yang ringkas, ekonomi, bebas dengan konsep terbuka dan menggunakan pintu keselamatan ringkas kerana tidak memerlukan kelajuan maksimum terutama bagi siri Uitm AV1,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, konsep logo berdasarkan asas bentuk sarang lebah yang bersambung sebagai simbol kepentingan integrasi sistem keseluruhan projek dalam rekaan AV1.

Rekaan ini katanya, menepati konsep geometrik heksagon enam segi enam penjuru yang bercantum sempurna dan boleh dikembangkan secara sistematik dikenali sebagai sistem tesselation.

“Reka bentuk ini juga dikembangkan sebagai bentuk icon beep atau ping bagi simbol grafik kesan ulangan sonar, radar, navigasi GPS dan yang seumpamanya.

“Bukan itu sahaja kerusi direka khas agar boleh dipusingkan pada kedudukan berhadapan. Polisi selesa ini menepati keyakinan penumpang terhadap penguasaan pemanduan tanpa pemandu seterusnya memberi penumpang kebebasan membuat aktiviti lain,” katanya lagi.

Berdasarkan kepakaran yang dimiliki seperti robotik automasi, analisis data raya, Internet , sensor, kepintaran buatan (AI) dan IoT, jelaslah UiTM kini berada dalam landasan betul menuju Revolusi Industri 4.0. Senario itu sedang diadaptasikan di kebanyakan negara termasuk Malaysia.