Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memulakannya pada tahun 1999 dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Amalan Baik Persekitaran yang dikenali dengan TC9.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, TC9 membantu menentukan dasar dan cadangan dalam meningkatkan amalan persekitaran dalam industri pembinaan, penerbitan standards serta buku garis panduan, dan program bimbingan pensijilan ISO 14001.

Pada tahun 2003, CIDB memperkenal pula program Sistem Binaan Industri (IBS) dengan menubuhkan IBS Roadmap dan Pusat IBS.

Selain itu, CIDB juga turut memperkenal program Building Information Modelling (BIM) dan penubuhan Pusat MyBIM yang bertujuan membantu mengatasi sisa bahan binaan termasuk sisa bahan perobohan.

“CIDB juga bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam pembangunan satu sistem dalam talian bagi pengumpulan data siasa perobohan di tapak.

“Daripada data ini, kadar janaan dan kitar semula dapat diketahui serta program berkaitan dapat dirancang dan dilaksana,” ujarnya.

Beliau berkata, misi CIDB adalah selaras dengan matlamat kerajaan iaitu untuk mengurangkan kadar pembebasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahun 2005.

Justeru katanya, bermula 2016 sehingga 2020, objektif CIDB dalam melestarikan alam sekitar dipandu oleh inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam teras strategik Kelestarian Alam Sekitar, di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020.

Menerusi CITP, CIDB bermatlamat untuk menjadikan industri pembinaan Malaysia sebagai model bagi negara-negara yang sedang membangun dari aspek kelestarian alam sekitar.

Pembangunan lestari dipromosi

PEMBANGUNAN lestari didefinisikan sebagai pembangunan yang mengikut keperluan semasa tanpa kompromi atau menjejaskan peluang generasi akan datang memenuhi keperluan mereka.

Dalam maksud yang mudah, apabila melaksanakan pembangunan, ia mestilah cekap, efisyen dan tidak memberi kesan kepada alam sekitar dengan penggunaan sumber yang minimum.

Sebagai contoh, apabila penggunaan sumber seperti pasir terlalu banyak, apakah akan terjadi kepada generasi akan datang yang juga memerlukan sumber berkenaan?

Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, kaedah pembangunan yang mengamalkan konsep cekap tenaga, penggunaan air dan tenaga diperbaharui (RE) mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kualiti hidup manusia.

“Pembinaan hijau bermula pada peringkat awal termasuklah pemilihan tapak dan susur atur bangunan.

“Sebagai contoh bangunan yang dibina (sepatutnya) tidak menghadap matahari kerana ia akan menambah haba dalam bangunan, sekali gus memerlukan penyaman udara yang kuat,” ujarnya.

Satu lagi amalan penting yang kini mula diperkenal adalah kutipan air hujan yang boleh diguna semula dan juga penggunaan panel solar pada bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga RE.

Justeru, amalan hijau ini sebenarnya memberi persepsi yang baik bagi pemaju dan boleh menjadi penarik kepada pembeli.

Mengenai sama ada amalan hijau akan menyebabkan kos akan meningkat, Ahmad Asri berkata, ada dua sebab menyebabkan kenaikan kos iaitu yang pertama kos pembinaan yang sebenarnya boleh ditentukan lebih awal dan kos operasi yang boleh meningkat sehinggalah bangunan tersebut dirobohkan.

Katanya, kira-kira 40 peratus kos adalah pembinaan, manakala 60 peratus adalah kos operasi yang tinggi disebabkan oleh penggunaan tenaga semasa bangunan digunakan sehingga ia musnah atau roboh.

Kata beliau, antara contoh bangunan yang boleh dianggap hijau adalah bangunan Kementerian Kerjaraya yang baharu.

Dalam pada itu, CIDB sentiasa mempromosi amalan hijau antaranya membuat promosi menerusi pameran dan kini sebanyak 11 pameran telah dianjurkan untuk tujuan tersebut. Pihaknya juga mengadakan persidangan serta latihan kepada tenaga kerja yang terlibat.

TERDAPAT EKOSISTEM YANG MERANGKUMI ENAM KRITERIA DALAM MENGGALAKKAN PEMBINAAN MESRA ALAM

  • Penetapan polisi

- Pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) tentang penggalakkan pemakaian kriteria bangunan hijau secara meluas

- Pelaksanaan CITP Teras Kelestarian Alam Sekitar dengan lebih berkesan

- Pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau (2017 – 2030)

- Pada peringkat Kementerian Kerjaraya – Mewajibkan projek bangunan Jabatan Kerjaya (JKR) bernilai RM50 juta ke atas mendapatkan pensijilan Alat Pengurangan Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) 2016.

  • Memperkenal Insentif

- Subsidi sepenuhnya yuran pendaftaran MyCREST oleh CIDB

- Pemberian insentif pengecualian cukai oleh MIDA bagi syarikat-syarikat yang melaksanakan aktiviti pembinaan mesra alam secara penuh dan pengurangan cukai bagi projek-projek yang mendapat pensijilan bangunan hijau (2016-2020). – Insentif Pengecualian Cukai Hijau.

  • Penguatkuasaan:

- Mewajibkan penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS). Ini bagi mewujudkan pembinaan yang lebih berkualiti dan terkawal serta dapat mengurangkan sisa bahan di tapak binaan, sekali gus mengurangkan pencemaran udara, bunyi, tanah dan air secara menyeluruh.

- Pematuhan mengguna pakai penuaian air hujan dan mendapatkan pensijilan bangunan hijau oleh sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT).

  • Penyelidikan dan pembangunan (R&D)

- Memperkenal teknologi-teknologi baharu serta inovasi menerusi R&D

- Menjalankan kajian Pembangunan Garis Paduan Penilaian Kebolehterancaman Tanah Runtuh dan Garis Panduan Penilaian Risiko Banjir bagi infrastruktur kritikal di Malaysia yang seterusnya akan diguna pakai oleh industri dan PBT.

  • Promosi dan jerayawara

- Khidmat nasihat serta handholding kepada penggiat industri.

- Menggiatkan program kesedaran dan promosi bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri malah pada peringkat pengguna, masyarakat bagi mewujudkan kesedaran dan kemahuan atau permintaan terhadap projek-projek mesra alam.

- Melaksanakan program besar yang dilaksana oleh CIDB seperti Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW), dan Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

  • Pembinaan kapasiti

- Menyediakan infrastruktur yang lengkap dari sudut pembangunan tenaga kerja dan pakar. Sebagai contoh, dengan membuat latihan & mengakreditasi personal MyCREST seperti Qualified Professional (QP) dan Assesssor.

- Menjalankan latihan kepada pihak perunding-perunding, yang terlibat secara langsung dalam peringkat reka bentuk agar dapat mengaplikasikan elemen-elemen hijau.

KATEGORI TEKNOLOGI SEBAGAI 
MESRA ALAM

  • Antara teknologi yang digunakan dan boleh dikategorikan sebagai mesra alam ialah penggunaan produk-produk, komponen-komponen serta teknologi hijau dalam sesebuah projek bangunan.
  • Antara ciri-ciri yang ada dalam bangunan hijau ialah penggunaan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) yang menjimatkan penggunaan tenaga, pendingin hawa jenis Inverter, bahan-bahan binaan bertaraf eco-label serta penggunaan Sistem Pengurusan Bangunan (BMS).
  • Elemen-elemen teknologi hijau telah banyak diguna pakai oleh bangunan-bangunan bertaraf hijau. Sebagai contoh, bangunan Menara Kementerian Kerjaya Raya 2 yang telah mengguna pakai sistem BMS.
  • BMS merupakan sistem kawalan berasaskan komputer yang dipasang di bangunan bagi mengawal dan memantau peralatan mekanikal & elektikal bangunan seperti pengudaraan, pencahayaan, sistem kuasa, sistem kebakaran dan sistem keselamatan. Penggunaan BMS sekali gus akan menjadi bangunan tersebut sebuah bangunan cekap tenaga dengan meminimumkan penggunaan dan pembaziran tenaga, mengurangkan perbelanjaan kos operasi serta melindungi alam semula jadi.
  • Teknologi terkini yang sedang giat dilaksanakan ialah teknologi pembangunan Building Information Modelling (BIM). BIM membolehkan pembinaan dijalankan dengan lebih cepat, selamat serta mengurangkan pembaziran bahan binaan dalam setiap peringkat kitar hidup bangunan (building life-cycle).