Perubahan iklim jangka panjang akan memberi kesan ke atas aspek keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan serta menggugat pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara. Ia juga akan menyebabkan perubahan ke atas landskap dan alam semula jadi.

Mengambil iktibar daripada banjir besar yang melanda keseluruhan Malaysia pada Disember 2014, sekumpulan penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di bawah Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) mengambil inisiatif membangunkan stesen penerimaan data satelit bumi sendiri.

Menurut ketua penyelidiknya, Datuk Prof. Ir. Dr. Norashidah Md. Din, dalam mendepani cabaran bencana alam, Malaysia perlu mengorak langkah supaya sentiasa sedia menghadapi sebarang perubahan dan ancaman cuaca secara bijak.

Katanya, langkah awal yang perlu diambil adalah mendalami lebih lanjut serta memahami cuaca dan iklim di Malaysia serta kawasan serantau.

Justeru, teknologi satelit penderiaan jauh (remote sensing) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) adalah antara kaedah yang sesuai digunakan dalam proses pemantauan dan seterusnya pengurusan adaptasi dan mitigasi perubahan cuaca.

“Setelah banjir besar yang melanda negara pada Disember 2014, penyelidik mula berfikir sekiranya kita mempunyai stesen penerimaan satelit bumi sendiri, mitigasi bencana dan pemantauan aset negara dapat dilakukan dengan lebih cepat.

“Bermula dari itu, maka tercetus idea bagi membangunkan satu kemudahan penerimaan data sendiri untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan mitigasi bencana dan pemantauan aset negara,” ujarnya.

Stesen Bumi Penerimaan Data Satelit itu siap dibangunkan di Pusat Angkasa Negara (Angkasa) Sungai Lang Banting, Selangor pada 24 Mei 2018. Ia boleh menerima data daripada empat kumpulan data satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat iaitu Terra, Aqua serta data satelit teknologi terbaharu, NPP-Suomi dan JPSS-1.

Tambah Norashidah, Satelit NPP-Suomi dibina NASA sebagai satelit generasi baharu menggantikan EOS. Satelit NPP-Suomi mengorbit bumi 14 kali sehari dan laluannya menghampiri Malaysia dua kali sehari.

Untuk penelitian bumi, satelit NPP-Suomi dilengkapi dengan sistem pengimejan radiometer gelombang mikro dan interferometer untuk memantau kelembapan dan tekanan bumi serta mempunyai sekumpulan spektrometer pengimejan untuk mengukur lapisan ozon terutama di bahagian kutub.

Ia mempunyai sebuah radiometer 22 jalur untuk mengumpul data cahaya inframerah dan cahaya boleh-lihat untuk penelitian cuaca, iklim, lautan, cahaya malam, kebakaran hutan, pergerakan ais dan perubahan tumbuh-tumbuhan serta bentuk bumi.

Di samping itu, terdapat juga sebuah radiometer untuk mengesan radiasi haba termasuk radiasi solar di satelit tersebut.

Bagi Satelit JPSS-1 pula, ia merupakan satelit penelitian terbaharu NASA yang dihantar ke orbit pada 18 November tahun lalu dan boleh memberikan data alam sekitar yang lebih spesifik daripada NPP-Suomi untuk ramalan dan pemantauan iklim.

“Antara penyelidikan yang akan difokuskan adalah berkaitan teknologi penderiaan jauh dalam mengkaji perubahan iklim dunia, pengurusan mitigasi bencana, pemantauan aset dan pembangunan guna tanah.

Oleh itu, penyelidik akan dapat memanfaatkan sepenuhnya imej-imej yang dimuat turun dari satelit-satelit tersebut untuk meneliti bumi dan membentuk hasil dalam bentuk output kajian, produk dan sistem aplikasi untuk diguna pakai dalam sektor industri, kerajaan dan pendidikan di Malaysia,” jelasnya.

Pembangunan aplikasi menggunakan data satelit

Menggunakan kelebihan mempunyai stesen penerimaan data satelit sendiri, Uniten di bawah hab multidisiplin The Energy Sphere akan membangunkan aplikasi, produk serta sistem sendiri.

Selain itu, projek berkenaan juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D)berkenaan perubahan iklim, pengurusan mitigasi bencana serta pemantauan guna tanah untuk diguna pakai dalam sektor industri, kerajaan mahupun pendidikan.

Ketua Penyelidiknya, Prof. Datuk Ir. Dr. Norashidah Md. Din yang juga Dekan Kolej Pengajian Siswazah, Uniten berkata, pembangunan ini berdasarkan realiti maya, teknologi spasial satelit, dan analitik data spasial berdasarkan data dari satelit-satelit Terra, Aqua, NPP- Suomi dan JPSS-1.

“Dengan kelebihan mempunyai data sendiri, fokus penyelidik kini beralih daripada aktiviti pembangunan infrastruktur kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan aplikasi.

“Aplikasi yang akan dibangunkan nanti pastinya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dalam memantau perubahan bumi dengan lebih baik dan cekap bagi mengelakkan bencana yang tidak diingini,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap untuk menjalinkan kerjasama penyelidikan bagi membangunkan aplikasi daripada pangkalan data mereka dengan pihak yang berminat dari dalam atau luar negara.

Sementara itu Pengarah Institut Infrastruktur Tenaga IEI Uniten , Prof. Madya Dr. Rohayu Che Omar berkata, projek bernilai RM5 juta tersebut bermula daripada penglibatan penyelidik-penyelidik Uniten dalam kajian penyelidikan di bawah geran penyelidikan Sains dan Teknologi Jepun-Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JST–JICA) menerusi program Strategi Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi (SATREPS) yang bermula pada 2010 dan tamat pada 2015.

Ia seterusnya akan memanfaatkan masyarakat secara umumnya melalui pengurusan dan ramalan bencana yang lebih cepat dan mantap.

Oleh itu katanya, pembangunan aplikasi itu nanti akan digunakan sebagai alat untuk memberikan pendidikan kepada generasi muda terutama pelajar untuk memberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai ilmu angkasa.

“Sekarang kita masih kekurangan pakar untuk memajukan teknologi angkasa ke peringkat yang lebih tinggi dan mengembangkan sains teknologi di negara ini.

“Melalui pembangunan stesen ini kita juga akan memberikan kursus dan kerjasama berkaitan teknologi satelit kepada pelajar sekolah dan universiti untuk melahirkan generasi pelapis,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara usaha lain yang akan dijalankan ialah menghasilkan penulisan buku-buku atau laporan-laporan berkaitan teknologi angkasa serta pembangunan aplikasi yang berteraskan pendidikan dan umum.