Menyedari hakikat itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut mengambil inisiatif mewujudkan aplikasi Nbest di bawah Projek 100 Perkara Mengenai Nuklear bertujuan memberi pencerahan kepada umum mengenai teknologi nuklear yang selama ini dipandang serong.

Menurut Guru Penyelaras Projek, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar, projek itu dijalankan bersama pelajarnya dengan melakukan kempen berkaitan nuklear bersama komuniti setempat di Pulau Perhentian terutama apabila pelancong luar negara hadir ke kawasan sekitar.

Antara kempen yang dijalankan ialah mengedarkan risalah berkenaan aplikasi yang dimuatkan dalam sekeping kertas dengan cara yang menarik serta aktiviti permainan berkaitan teknologi nuklear bersama pelajar sekolah rendah dan menengah.

Katanya, segala aktiviti yang dilakukan itu kemudiannya dimuatkan dalam aplikasi berkenaan supaya ia dapat diakses oleh orang awam dan bukan sahaja tertumpu di kawasan kajian.

“Sebelum menjalankan kajian kita dapati sebanyak 93 peratus daripada responden mempunyai tanggapan yang negatif terhadap teknologi nuklear dengan menganggap ia sebagai teknologi yang berbahaya.

“Setelah kajian dijalankan dengan mengedarkan risalah kepada orang awam, pelajar sekolah dan pelancong di sekitar Besut dan Pulau Tioman, kita mendapati sebanyak 96 peratus responden telah mula memahami teknologi nuklear dengan lebih baik dan berpandangan positif,” ujarnya.

Tambahnya, walau bagaimanapun, pihaknya masih dalam usaha untuk menaik taraf aplikasi berkenaan untuk menjadi lebih praktikal dan boleh diakses dengan mudah oleh masyarakat.

“Setakat ini, aplikasi tersebut hanya boleh dimuat turun melalui Android sahaja, tetapi kita akan melakukan penambahbaikan supaya ia turut boleh dimuat turun melalui Apps Store juga.

“Selain itu, kandungan juga akan ditambah supaya menjadi lebih berinformasi, menarik serta mudah difahami semua pengguna,” jelasnya.

Menurutnya lagi, antara faktor kemenangan tersebut ialah kajian mereka secara menyeluruh dalam isu nuklear dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya rasa kelebihan kita ialah kita turut mengambil inisiatif membina sebuah aplikasi untuk memberikan kesedaran kepada awam mengenai manfaat teknologi nuklear dalam skala yang lebih besar. Jika dilihat pada pesaing-pesaing lain seperti Korea, mereka hanya menjalankan kempen atau aktiviti kesedaran tetapi tidak menggunakan teknologi dengan sepenuhnya,” ujarnya.

Johan pertandingan nuklear di Korea

Ternyata projek 100 Perkara Mengenai Nuklear ini membawa tuah kepada SMK Kuala Besut apabila berjaya muncul sebagai juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan baru-baru ini.

Tiga pelajarnya, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17; Muhammad Anuar Abd. Ghani, 17; dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16, membawa pulang trofi kemenangan setelah berjaya menewaskan para peserta dari Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea dalam pertandingan tersebut.

Menurut Pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat, kemenangan yang diraih merupakan satu penghormatan besar bagi sekolah tersebut yang merupakan sekolah harian dan terletak di kawasan pedalaman.

“Ini amat mengejutkan kerana kita bukan negara pengeluar nuklear tetapi berjaya menewaskan negara-negara yang merupakan kuasa besar nuklear.

“Kejayaan pasukan yang ditubuhkan di bawah Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut ini merupakan hasil semua pihak yang bertungkus-lumus dan menunjukkan bahawa Malaysia mampu bersaing pada peringkat dunia,” katanya.

Pasukan Malaysia itu, yang menggunakan nama KuBest Innovation Team, ditubuhkan pada Disember tahun lalu, berjaya menerusi tiga peringkat awal mengatasi 188 pasukan dari 30 negara anggota Agensi Tenaga Atom antarabangsa (IAEA).

Sementara itu, bagi ketiga tiga pelajar berkenaan, kejayaan tersebut membuka mata mereka untuk terus mendalami dunia sains terutama bidang teknologi nuklear.

“Walaupun pada awalnya kurang berminat dengan teknologi nuklear, namun dengan pendedahan yang diperoleh sepanjang pertandingan ini berlangsung, saya teruja mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ini nanti,” kata Syazwan.

Mereka juga ditawarkan peluang menjalani latihan lanjut di IAEA sekiranya cemerlang dalam pelajaran pada masa hadapan.