Ini sudah tentu menjadi tugas utama diletakkan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

Kaedah yang digunakan biasanya majlis perbandaran akan menawarkan kerja-kerja pengurusan sampah dan sisa pepejal ini dilakukan oleh kontraktor yang berpengalaman.

Walau bagaimanapun, apabila sampah yang dipungut semakin banyak dan populasi penduduk semakin bertambah, pengurusan pungutan bahan terbuang ini perlu dipantau dengan cekap dan berkesan.

Ini bagi memastikan pelaburan yang dibuat untuk membayar perkhidmatan kontraktor-kontraktor terpilih adalah suatu pulangan yang berbaloi.

Bertitik-tolak untuk mencapai matlamat penjimatan kos pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap dan berkesan, meningkat kualiti pengurusan sampah dan persekitaran, memenuhi tahap kepuasan penduduk setempat, maka Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Terengganu bawah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, yang diketuai Pengarahnya, Zulkifli Tahar telah memulakan inisiatif inovasi bawah program Komuniti Pintar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Inovasi dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai pensyarah kanan, Fakulti Komputeran, UTM, Dr. Mohammad Nazir Ahmad telah membangunkan system pengurusan pungutan sampah Smart Bin. Menurut Dr Mohammad Nazir, sistem tersebut dibangunkan hasil perbincangan awal bersama pihak SKMM dan MPK.

“Ia bermula dengan sesi sumbang saran penyelesaian menyeluruh sehingga yang mudah dan praktikal,” ujarnya.

Akhirnya, persetujuan dicapai dengan membangunkan sebuah system prototaip berfungsi penuh terlebih dahulu pada kos yang murah, berciri integrasi dengan aplikasi web dan telefon pintar serta melibatkan pelabelan sistem kod unik pada setiap tong sampah” ujarnya.

Menurutnya lagi, konsep seperti sistem kod bar di pasar raya besar menjadi asas kepada pembangunan Smart Bin ini.

Menurut penyelidiknya, Mohd Zuhaili Mohd. Rodzi, yang merupakan pelajar doktor falsafah , Smart Bin adalah hasil integrasi antara teknologi telefon pintar dan pembangunan aplikasi web.

Data pungutan sampah dapat direkodkan secara online dan offline menggunakan telefon pintar. Data ini terus dipaparkan secara info grafik yang menarik pada sistem pemantauan terpusat yang dibangunkan sebagai aplikasi web. Semua transaksi dibuat secara masa nyata, ujarnya.

Sistem Smart Bin ini merupakan satu contoh kerj sama yang baik antara universiti awam dan agensi kerajaan yang membolehkan hasil kajian di universiti dapat segera diuji, diguna pakai dan penambahbaikan dapat dibuat sebaik sahaja ia digunakan pada peringkat komuniti atau pengguna akhir. Ini menjadikan hasil kajian tidak terhenti pada bahan penerbitan akademik sahaja.

Ia seharusnya dapat diterjemahkan dengan segera bagi memastikan komuniti luar dapat manfaat langsung dari universiti dan pelaburan dalam penyelidikan juga berbaloi.

Dana pembangunan Smart Bin dibiayai sepenuhnya oleh MPK seperti diluluskan oleh Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim.

Dana disalurkan kepada UTM menerusi geran industri, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTM. Menurut pihak MPK, ia berpotensi diperluas penggunaannya nanti di semua majlis perbandaran di negeri Terengganu.

Pada peringkat ini, MPK dan kumpulan penyelidik sedang membuat pengujian fasa akhir sebelum ia dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan digunakan penuh oleh MPK kelak.