Kerja memasang dan menurunkan gegantung luaran (out door bunting) pada tiang lampu setiap kali program dijalankan disekitar UPM sering mengundang kesukaran dan risiko kepada staf yang bertugas. Disebabkan kaedah pemasangan konvensional yang menggunakan medium sokongan khususnya tangga, pemasang terdedah kepada pelbagai risiko antaranya risiko terjatuh daripada tangga, tercedera disebabkan dawai yang tajam, malahan terkena renjatan elektrik.

Selain itu, kerja pemasangan dan penurunan turut mengundang masalah sampingan termasuklah kerosakan kepada tanaman sekitar tiang lampu, halangan daripada penghadang atau bahu jalan, memerlukan bilangan tenaga kerja yang ramai serta tempoh masa yang lama.

Pegawai Penyelidik Putra Science Park, Asrizam Esam yang juga Ketua kumpulan Langit Putra berkata, idea untuk menghasilkan inovasi yang bermanfaat ini adalah melalui pengalaman ahli kumpulan ini sendiri yang berhadapan dengan pelbagai risiko semasa kerja memasang gegantung luaran termasuk kecederaan akibat terkena dawai tajam dan duri pokok, risiko terjatuh kerana permukaan tanah yang tidak rata serta tempoh pemasangan yang mengambil masa yang lama.

“Sehingga kini tidak ada kaedah yang benar-benar menjamin keselamatan pemasang gegantung luaran sama ada di UPM atau kerja pemasangan oleh pihak kontraktor luar, dan tahap risiko juga amat tinggi” katanya.

“Gegantung merupakan medium untuk mempromosikan iklan, program atau aktiviti yang banyak digunakan oleh jabatan di UPM setiap kali sesuatu program dianjurkan. Terdapat dua jenis gegantung yang biasa digunakan iaitu gegantung dalaman (indoor) dan gegantung luaran (outdoor).

Gegantung dalaman digunakan di dalam bangunan, manakala gegantung luaran dipasang di luar pejabat atau bangunan dan kebiasaannya pada tiang lampu, pagar atau tempat penggantung khas yang dibina. Gegantung luaran kebiasaannya dipasang pada tiang lampu di sekitar UPM dan dianggarkan sebanyak 306 gegantung luaran dipasang sepanjang tahun lalu bagi aktiviti utama UPM.

Skytider merupakan inovasi alat penggantung gegantung luaran pada tiang. Kerja-kerja pemasangannya tanpa menggunakan tangga atau kren yang direka khas bagi memudahkan kerja-kerja penggantungan gegagantng berkenaan. Skytider dibangunkan bercirikan mudah alih, ringan, mengurangkan tempoh masa pemasangan, murah dan boleh digunakan di pelbagai permukaan kawasan tanah di sekitar tiang yang berhalangan atau tidak rata.

Inovasi Skytider ini merupakan alat pertama yang berjaya dibangunkan menggunakan bahan terpakai daripada besi gegantung dalaman yang telah rosak.

Komponen besi pada gegantung dalaman jenis t-stand, x-stand dan roll-up gegantung digunakan dalam menghasilkan inovasi ini.

Suburkan ekosistem inovasi

Pengarah Putra Sains Park (PSP) UPM, Profesor Dr. Samsilah Roslan berkata, ekosistem inovasi yang subur di pusat berkenaan membantu meningkatkan penghayatan dan pembudayaan inovasi dalam kalangan kakitangan bukan akademik.

Katanya, staf PSP mengamalkan konsep pemikiran reka bentuk (design thinking) dalam mendepani cabaran dan ini membawa kepada terhasilnya produk inovatif, praktikal dan bernilai komersial tinggi seperti Skytider.

“Ini kerana Skytider mudah digunakan dan dapat menyelesaikan masalah memasang gegantung dengan berkesan.

“Ada pihak yang telah menunjukkan minat mengkomersialkan produk ini dan pihak PSP memberikan sepenuh bantuan dan sokongan kepada pereka cipta agar berjaya menyebarluaskan produk ini kepada pengguna melalui wadah pengkomersialan,’’ ujarnya.

Produk berkenaan telah memperolehi tiga hak perlindungan harta intelek iaitu reka bentuk perindustrian, hak cipta dan cap dagangan.

Produk berkenaan disasarkan kepada golongan kontraktor, pencetak dan pemasang gegantung, kakitangan kerajaan dan swasta dan pelajar universiti atau kolej.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan ke atas tujuh buah universiti dan agensi penyelidikan tempatan, pihaknya menerima maklum balas yang positif terhadap produk berkenaan.

Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) UPM membuat penilaian ke atas ciri dan fungsi inovasi ini.

Hasil penilaian mendapati ia mempunyai ciri ergonomik dan sesuai dengan pergerakan tubuh manusia. Inovasi berkenaan dapat mengelakkan risiko bekerja di tempat tinggi, memudah cara bagi aktiviti kerja berulang dengan mengurangkan pergerakan tubuh badan secara manual berulang-ulang sewaktu memasang atau membuka gegantung yang boleh memudaratkan dan memberi risiko kecederaan kepada pemasang.

Kumpulan Langit Putra terdiri daripada tujuh orang ahli iaitu Asrizam Esam, Mohammad Hisham Omar, Muhammad Izzat Nor Adzmi, Mohd Mas’Ataillah Ismail, Norliyana Kamarudin, Hafliza Hussin, Norazlin Monir dan dibimbing oleh Shahriman Hashim sebagai fasilitator.

Ciptaan tersebut mendapat pengiktirafan pada peringkat UPM bagi dua tahun berturut-turut iaitu penarafan Emas dan tempat pertama bagi Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UPM tahun lalu, dan tempat pertama bagi Anugerah Inovasi dan Perkhidmatan UPM tahun 2016.

Dengan kejayaan itu, Langit Putra menerima hadiah masing-masing berupa wang tunai RM1,500 dan sijil. Inovasi ini terpilih untuk mewakili UPM dalam pertandingan KIK peringkat universiti awam yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini.