Dengan termeterainya kerjasama tersebut, Infinitium akan mengguna pakai platform penentusahan biometrik ditauliahkan oleh FIDO ciptaan Raonsecure bersama khidmat pembayaran elektronik yang kini diguna pakai secara meluas.

Kerjasama tersebut membuka jalan bagi penggunaan teknologi biometrik secara lebih meluas sebagai kaedah pembayaran dan keselamatan lebih kukuh, dengan menambah ciri-ciri keselamatan selain membolehkan produk jenis baharu dibangunkan secara bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Infinitium Ho Ching Wee berkata, usaha sama tersebut membolehkan pihaknya menambah baik teknologi seperti produk penentusahan dua faktor Infinitium dengan platform biometrik Raonsecure. Ini penting bagi mempertingkat keselamatan dan melindungi maklumat kewangan dan identiti pengguna.

Dengan menambah faktor penentusahan ketiga dalam bentuk “siapakah anda”, ini akan membolehkan institusi kewangan dan pengguna memanfaatkan biometrik dalam penentusahan berbilang faktor untuk proses pengesahan identiti yang lebih pantas dan selamat.

“Langkah tersebut dijangka menggalakkan penggunaan biometrik di Malaysia dan pasaran serantau, dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Infinitium yang merangkumi lebih 40 bank dan lebih 180 juta pemegang kad di Asia,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Raonsecure, Lee Soon-hyung berkata, sebagai penyedia penyelesaian biometrik berasaskan FIDO, pihaknya gembira dapat menjalin kerjasama penting dari segi amalan terbaik yang membolehkan syarikatnya meluaskan capaian pasaran serantau.

“Matlamat penentusahan biometrik berasaskan FIDO adalah bertujuan meningkatkan tahap keselamatan bagi organisasi berkenaan dengan manfaat tambahan memberi tahap kemudahan dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna,” ujarnya.

Dalam usaha menangani aliran semasa yang semakin berkembang, keselamatan penentusahan biometrik membentuk salah satu tonggak utama kerjasama tersebut.

Kerjasama tersebut membawakan pilihan perkhidmatan berbeza kepada pelanggan, dengan salah satu daripadanya akan dilancarkan seawal suku pertama tahun ini.

Bagi inisiatif pertama, Infinitium akan mengguna pakai platform penentusahan biometrik Raonsecure untuk memperkukuh produk penentusahan dua faktor (2FA) Infinitium dan memperluas keupayaannya.

Perkembangan pesat teknologi pembayaran digital dan mudah alih pada peringkat global, mendorong kepada perlunya bagi sistem yang lebih selamat.

Kemajuan teknologi terus mencabar bank dan penyedia perkhidmatan kewangan untuk berhijrah kepada sistem penentusahan baharu yang memenuhi objektif mengetatkan keselamatan pembayaran dan menambah baik pengalaman pengguna.

Teknologi biometrik dalam sistem pembayaran bertujuan mencari cara menambah baik dalam penentusahan, dan antara pendorong utamanya adalah usaha meningkatkan kebolehgunaan dan menambah baik pengalaman pengguna, dan dalam masa yang sama mengurangkan penipuan.

Buat masa ini, penyelesaian biometrik dilaksanakan meliputi dua bentuk pembayaran, mudah alih dan dalam talian.

Teknologi biometrik digunakan bersama protokol keselamatan lain bagi penentusahan berbilang faktor (MFA) sebagai cara yang selamat untuk menentusahkan identiti pemegang akaun.

Kaedah keselamatan MFA termasuk menggabungkan perkara seperti “apa yang anda tahu,” umpamanya PIN atau kata laluan; “apa yang anda ada,” seperti telefon mudah alih atau Kata Laluan Sekali (OTP); dan “siapakah anda,” contohnya cap jari atau pengecaman suara.

Walaupun Korea merintis jalan dalam pelbagai teknologi penentusahan terutama dengan penentusahan biometrik berasaskan FIDO, kebangkitan teknologi ini kini mula dilihat di rantau Asia Pasifik.

Ini kerana penentusahan biometrik digabungkan bersama dalam pemproses pembayaran bagi tahap keselamatan yang lebih tinggi dan pengalaman pengguna yang lebih baik.

Perkembangan penentusahan biometrik di pasaran serantau bakal merangsang perkembangan e-dagang memandangkan kesannya terhadap setiap aspek ekosistem.

Dari perspektif pengguna, tahap kemudahan lebih tinggi akan menghasilkan kadar penolakan urus niaga lebih rendah dan tahap keselamatan lebih tinggi demi keselesaan dan mengurangkan kebimbangan.

Sokongan penentusahan yang lebih kukuh meningkatkan keupayaan antipenipuan dan mengelakkan penolakan oleh bank pengeluar dan bank pemeroleh, manakala inovasi produk dan perkhidmatan dapat dilaksanakan bagi pedagang dan peserta Fintech (teknologi kewangan) menerusi tahap keselamatan lebih tinggi dan pengalaman pengguna akhir yang lebih baik.