Projek Pemerkasaan Industri Produk Hasilan Kelulut ini merupakan projek kerjasama antara SIRIM, Institut Genom Malaysia (MGI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ia bertujuan untuk memperkenal penggunaan teknologi Internet Segalanya atau Internet Kebendaan (IoT) sebagai salah satu cara untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran madu kelulut.

Menurut Jurutera Utama Pusat Perindustrian Inovasi Dalam Sensor, Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Dr. Noraishah Shamsuddin, bagi tujuan itu, SIRIM menggunakan teknologi IoT dan rangkaian sensor tanpa wayar (WSN) yang menggunakan sensor untuk mengukur suhu kepanasan dalam log (sarang) kelulut.

Katanya, satu alat peranti IoT yang dipasang pada log kelulut akan mengukur data suhu dan kelembapan di dalamnya secara berkala dan automatik.

Data tersebut kemudiannya akan dihantar ke Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut (KIIS) yang menggunakan pangkalan data yang berpusat di pelayan awanan (cloud server).

“Data-data ini perlu dipantau agar habitat kelulut berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk pembiakan yang seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dengan menghasilkan madu, propolis dan roti lebah yang lebih banyak.

“Sekiranya suhu dalaman log tinggi, penternak akan mendapat notis amaran melalui aplikasi mudah alih yang telah dibangunkan.

“Aplikasi ini juga menggunakan teknologi respons pantas (QR) untuk mendaftarkan log kelulut ke KIIS bagi tujuan perekodan dan lokasi pemetaan,” katanya ketika ditemui Mega Sains di ladang ternakan kelulut di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

Selain itu, Dr. Noraishah menjelaskan, penggunaan sensor tersebut sangat penting bagi memastikan habitat kelulut sentiasa dalam keadaan baik dan sesuai untuk proses penghasilan madu.

Katanya, penjagaan suhu yang betul sangat mempengaruhi kadar penghasilan madu oleh kelulut.

“Bila suhu tinggi, kelulut tidak begitu produktif terutama sekali ratu kelulut. Jadi harus pastikan suhu sentiasa sederhana supaya ratu kelulut dapat membiak dan bertelur dengan banyak.

“Dengan adanya sensor ini akan memberikan amaran kepada penternak sekiranya suhu mencapai tahap yang tinggi supaya penternak dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan suhu seperti memberikan perlindungan atau sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, penternak akan mendapat notis amaran melalui aplikasi berkenaan yang dibangunkan sekiranya suhu dalaman log melebihi 28 darjah Celsius yang dianggap memberi kesan terhadap tahap produktiviti kelulut.

Sensor atau dikenali sebagai peranti IoT itu diletakkan di dalam log kelulut dan menggunakan kuasa bateri yang boleh bertahan selama tiga minggu hingga sebulan dan seterusnya menggunakan kuasa solar untuk bekalan tenaga ke unit yang telah dibangunkan.

Selain itu, hasil tuaian produk kelulut sama ada madu, propolis dan roti lebah untuk setiap log juga direkodkan bersesuaian dengan keperluan Standard Malaysia Amalan Pertanian Baik (GAP) untuk kelulut.

Aplikasi mudah alih akan menghantar data-data tersebut ke KIIS yang mana analisis data dan laporan berkaitan produktiviti produk hasilan kelulut dapat dijana dengan mudah dan lancar.

Dalam pada itu, Dr. Noraishah berkata, SIRIM berhasrat untuk memperluas penggunaan peranti IoT atau sensor tersebut kepada pengusaha-pengusaha kelulut di seluruh negara sekiranya mendapat bantuan dana daripada kerajaan.

Selain itu, dalam usaha memperkasa industri kelulut, SIRIM juga telah membangunkan alat tuaian madu yang mudah alih dan ringan dengan menggunakan bateri untuk memudahkan kerja-kerja penuaian madu.

Sesuai dengan keperluan penternak, alat tuaian moden itu tidak berbuih dan menggunakan bateri Li-Ion yang ringan dan boleh dicas semula.

Oleh itu, SIRIM berharap aplikasi sistem berteknologi IoT dalam ternakan kelulut dapat membantu pengusaha meningkatkan pendapatan, di samping mengetengahkan pengeluaran madu tempatan sebagai salah satu komoditi negara.