Secara khususnya, e-dagang, e-niaga dan sebagainya yang mula diguna pakai sebagai infrastruktur dalam perniagaan menyebabkan landskap perniagaan berubah secara menyeluruh.

Bagi usahawan yang menceburi bidang perniagaan dalam talian, mereka perlulah sentiasa mengikut trend perniagaan terkini agar dapat terus kekal berdaya saing seterusnya mengukuhkan lagi perniagaan yang dijalankan seiring perkembangan teknologi semasa.

Salah satu cabaran kepada usahawan dalam talian adalah untuk memperkemaskan pangkalan data pelanggan dan dalam masa yang sama, menigkatkan komunikasi bersama pelanggan, menjual barangan, mencapai sasaran pelanggan dan sebagainya.

Oleh itu, usahawan dalam talian perlu bijak menggunakan platform teknologi terkini dalam mengurus atur perjalanan perniagaan, dan kaedah yang paling mudah untuk menguruskan semua ini adalah menerusi penggunaan aplikasi yang sesuai.

Salah satunya adalah aplikasi yang dibangunkan oleh INMA Tech Sdn. Bhd., syarikat teknologi yang berteraskan pembangunan aplikasi telefon pintar iaitu aplikasi Senang Kira yang menjadi pemacu teknologi serta perkhidmatan pintar khas untuk dunia perniagaan dalam talian.

Menurut Ketua Pegawai Teknologinya, Norazak Zaha Zainal Abidin, “Senang Kira dibangunkan oleh usahawan dalam talian (online) untuk usahawan yang beroperasi cara tersebut.

“Aplikasi ini adalah usaha berterusan kami dalam memudahkan semua urusan usahawan online di Malaysia dengan melancarkan perjalanan kerja, menjimatkan masa dan menjadikan perniagaan lebih bersistem dan dipercayai pelanggan,” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi Senang Kira di ibu negara baru-baru ini.

Jelasnya dengan lebih lanjut, Senang Kira adalah satu aplikasi mudah untuk merekod jualan dengan hanya berkonsepkan salin dan tampal (copy & paste).

“Aplikasi ini berfungsi sebagai penyimpan maklumat dan data pelanggan di samping menyemak pembayaran dan status pengeposan dari syarikat kurier.

“Bertindak sebagai penyelesaian perkhidmatan pintar, kehadiran aplikasi Senang Kira di dunia perniagaan online adalah solusi yang memudahkan proses jualan dan adalah pilihan tepat untuk usahawan yang mahukan sistem yang lebih efisien, teratur serta berkredibiliti,” ujarnya.

Disasarkan khusus untuk usahawan-usahawan online yang menguruskan jualan melalui aplikasi WhatsApp, Facebook Messenger, Telegram dan seumpamanya, Senang Kira boleh dimuat-turun secara percuma di Google Playstore & Apple AppStore.

Senang Kira boleh digunakan oleh semua usahawan-usahawan online dimana dan bila-bila masa sahaja menerusi telefon pintar mereka.