Kebelakangan ini teknologi bayaran tanpa tunai e-Wallet atau dompet elektronik semakin popular dalam kalangan pengguna.

Lebih-lebih lagi aplikasi tersebut kini boleh digunakan menerusi gajet pintar yang kini sentiasa berada pada tangan penggunanya.

Aplikasi tersebut mudah, ringkas, selamat dan lebih pratikal bagi mereka yang gemar berbelanja tanpa perlu membawa sebarang kad kredit, kad debit mahupun wang tunai.

Walau bagaimanapun menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer, Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Informasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir, tiada sistem yang sempurna seratus peratus.

Ujarnya, aplikasi e-Wallet adalah sama seperti mana-mana aplikasi transaksi berkaitan pembayaran atau perbankan dalam talian sedia ada.

“Perbankan dalam talian, pembayaran menerusi kad kredit atau debit, kesemuanya memiliki idea yang sama iaitu tidak lagi memerlukan tunai dibawa ke mana-mana.

“Menerusi aplikasi e-Wallet kita hanya perlu membuka paparan aplikasi, imbas cap jari atau masukkan kata laluan, dekatkan gajet kepada mesin pengimbas di kaunter dan transaksi selesai,” katanya.

Nur Izura
Nur Izura

Oleh demikian aplikasi tersebut turut mempunyai kelemahan dan kekurangannya jika penggunanya tidak berhati-hati.

“Sama seperti penipuan perbankan dalam talian, penipuan kad kredit, penjenayah masih boleh melakukan penipuan dan mengeksploitasikan aplikasi itu.

“Tidak harus kita lupa, mereka ini juga (penjenayah) akan turut mengikuti perkembangan ini dan pastinya lebih pintar daripada anda,” ujarnya.

Aplikasi menggunakan telefon pintar juga boleh digodam jika tidak teliti dengan penggunaannya seperti menggunakan Wi-Fi awam untuk apa-apa jua transaksi pembelian.

Penggunaan Wi-Fi di kawasan awam membolehkan penggodam mencuri kata laluan anda dan menggunakannya untuk kepentingan mereka.

Transaksi perbankan dalam talian contohnya dilaksanakan menerusi dua faktor iaitu kita menggunakan komputer dan pengesahan menerusi telefon pintar (kata laluan khas). Walau bagaimanapun untuk aplikasi e-wallet hanya satu faktor, iaitu pengesahan daripada anda sahaja, sama seperti penggunaan kad kredit atau debit.

Pada pandangan anda manakah lebih selamat? Pastinya lebih banyak laluan pengesahan yang diperlukan lebih selamat transaksi itu.

Selain itu, e-Wallet juga sama seperti dompet, jika anda kehilangan telefon pintar tersebut anda perlu bertindak pantas menghalang sebarang transaksi dilakukan,” katanya.

Walau bagaimanapun Dr. Nur Izura mengakui, biarpun mempunyai kekurangan dan kebaikan, teknologi tersebut akan menjadi suatu keperluan pada masa akan datang.

“Kita perhatikan penggunaan telefon pintar yang begitu rancak masa kini yang tiada siapa pun dapat bayangkan ketika mula-mula telefon bimbit dicipta.

“Bermula sebagai alat komunikasi semata-mata kini gajet itu ibarat ‘nyawa’ bagi penggunanya, kebanyakan aktiviti harian kita hari ini bergantung kepadanya,” katanya.

Mahu atau tidak, teknologi-teknologi tersebut akan terus berkembang dan kita terdorong menggunakannya apabila persekitaran mulai berubah ke arah digital sepenuhnya.

Teknologi pembayaran mudah alih yang popular dengan Near Field Communicator (NFC) bukan baharu diperkenal di negara ini tetapi apabila banyak penyedia perkhidmatan menawarkannya, ia akan menjadi satu fenomena pada masa akan datang. - ASHRIQ FAHMY AHMAD.