Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SATu urus air Terengganu secara sistematik

Slug: Bekalan Air SATUKuala Terengganu, 10 Julai 2016- Pekerja 2
Pekerja bahagian agihan Syarikat Air Terengganu (Satu), Mohd Sahrawardi Mohd Alwi (kiri) membantu penduduk kampung mengisi air untuk keperluan bekalan mereka setelah beberapa kawasan di Kuala Terengganu menghadapi gangguan bekalan air sejak malam tadi di Hiliran, Chabang Tiga di sini, hari ini.Lori tangki yang membawa 5000 liter dikerahkan untuk membuat perkhidmatan penghantaran air secara berkala ke kawasan yang terlibat di sekitar pusat bandar Terengganu sehingga bekalan kembali pulih.

Rakyat Terengganu boleh dikatakan bertuah kerana tidak perlu mengalami pengalaman ngeri krisis bekalan air khususnya ketika musim kemarau.

Ini kerana negeri itu mempunyai sumber air mentah yang banyak termasuk daripada jaluran sungai utama seperti Sungai Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Kemaman.

Menurut kajian Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dalam Kajian Sumber Air Negara, bekalan air mentah di Terengganu mencukupi sehingga 2050.

Kualiti air mentah di Terengganu juga dilaporkan berada pada tahap yang baik tanpa pencemaran kumbahan daripada pengusaha industri di pesisir sungai.

Tasik Kenyir di daerah Hulu Terengganu iaitu tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara juga kawasan tadahan yang sistematik untuk industri bekalan air di negeri ini dan kewujudannya menjamin kuantiti simpanan air mentah.

Walau bagaimanpun, bagi memastikan bekalan air bersih sentiasa terjamin di negeri itu, Kerajaan Terengganu menubuhkan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATu).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Atemin Sulong berkata, SATu mencatatkan keuntungan sebanyak RM12 juta pada tahun lalu, iaitu keuntungan untuk tahun kedua berturut-turut.

Atemin menyifatkan pencapaian tersebut hasil kerja berpasukan yang diberikan semua lapisan warga SATu.

Di sebalik pencapaian itu, beliau berkata, SATu juga akan berusaha meningkatkan kecekapan pengurusan aduan pengguna.

Sepanjang tahun lalu, SATu menerima sebanyak 31,993 aduan. Daripada jumlah itu, sebanyak 31,725 aduan atau 99.16 peratus berjaya diselesaikan.

“Kejayaan ini susulan maklum balas pantas membaiki kebocoran dan paip pecah yang diadukan pengguna. KPI (Indeks Petunjuk Prestasi ) yang ditetapkan adalah 24 jam bagi kes paip pecah dan 48 jam bagi aduan kebocoran.

“Kerajaan negeri juga menyalurkan RM6 juta untuk SATu menambah baik prasarana berkaitan pengurusan kehilangan hasil air terawat (NRW) iaitu membiayai peralatan berteknologi terbaharu dan berkesan untuk mengesan kebocoran di tempat yang sukar,” ujarnya.

Selain itu, kerja-kerja pengesanan kebocoran dan segala aktiviti turut dijalankan secara dalaman.

Kakitangan SATu disediakan dengan peralatan terkini dan pengetahuan yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ini bagi memastikan sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri tercapai.

Kata beliau lagi, sepanjang tahun lepas, sebanyak 634 MLD (juta liter sehari) air bersih dikeluarkan sehari berbanding 603 MLD pada 2015.

Secara kasarnya pertambahan permintaan bekalan air adalah sekitar tiga hingga lima peratus.

“Pengeluaran air bersih sebanyak 634 MLD ini mampu memenuhi permintaan pengguna seluruh negeri Terengganu,” kata Atemin.

Sehingga Disember 2016, jumlah pengguna domestik ialah 249,343 akaun, komersial (38,157 akaun), masjid atau surau (2,022), premis kerajaan (4,180), akaun bawah kod industri (465), estet (35) dan 10 pengguna perkapalan dan bot.

Menyentuh mengenai NRW, Atemin berkata, kadar kehilangan air ketika ini ialah 29.9 peratus.

Menurut beliau, kadar itu boleh dianggap cemerlang kerana berada di bawah paras NRW ditetapkan peringkat kebangsaan iaitu 35 peratus.

“Untuk menurunkan kadar NRW ke paras yang lebih rendah, peruntukan kewangan yang sangat tinggi diperlukan kerana Terengganu masih banyak menggunakan paip jenis asbestos cement (AC).

“Sepanjang 1,579 kilometer (km) paip di Terengganu masih belum ditukar sejak mula dipasang pada tahun 1960-an,” katanya.

Beliau menjelaskan, paip AC adalah penyumbang terbesar kepada isu NRW manakala kedudukan paip di bawah jalan dan di dasar laut seperti paip yang lebih tahan lasak iaitu jenis High Density Polyethylene (HDPE) di Pulau Redang pula faktor utama menyumbang kepada kos yang tinggi untuk menaik taraf saluran perpaipan ini.

Atemin bagaimanapun berkata, isu NRW bukan halangan untuk SATu memberikan perkhidmatan cemerlang.

Ini kerana pihaknya memanfaatkan sepenuhnya peralatan serta sistem yang digunakan untuk memantau dan mengesan kebocoran air terawat ini walaupun kos pembelian peralatan dan sistem ini amat tinggi di pasaran.

Ahli Lembaga Pengarah SATu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menetapkan untuk SATu mencapai sasaran NRW sebanyak 29 peratus sahaja bagi tahun 2017.

Atemin berkata, komitmen pengurusan SATu amat tinggi untuk memastikan kadar NRW dikawal secara serius antaranya dengan mengawal penggunaan air perkapita penduduk Terengganu.

“Pada masa ini penggunaan air perkapita ialah 180 liter sehari. Hasrat SATu adalah untuk mendidik rakyat negeri Terengganu mengguna air sebanyak 140 liter sehari sahaja selaras dengan kehendak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“Kawalan had pengeluaran juga diperketat dengan kadar pengeluaran air terawat dihasilkan berdasarkan kepada keperluan permintaan sahaja,” katanya sambil menambah Pressure Management juga diaplikasikan untuk membolehkan penduduk menikmati tekanan air yang optimum kerana jumlah paip pecah dan bocor dapat dikurangkan.

Pembangunan pesat terutama di sekitar Kuala Nerus, Kemaman dan Kuala Terengganu menyebabkan permintaan bekalan air meningkat dengan mendadak.

Peningkatan permintaan ini berisiko menjejaskan tekanan air di beberapa kawasan terlibat yang dikhuatiri akan mengganggu aktiviti harian pengguna.

Menurut Atemin, cabaran utama SATu ketika ini ialah kebanyakan paip air yang sedia ada dipasang pada tahun 1960-an dan saiz paip yang direka bentuk ialah untuk kegunaan kawasan berkenaan sahaja.

“Saiz paip yang kecil sudah tidak mampu lagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat berikutan pertambahan pesat kawasan perumahan, industri dan perniagaan ini.

“Kos perbelanjaan pembangunan yang semakin meningkat dan dana pembangunan infrastruktur bekalan air yang agak terhad juga cabaran besar bagi kami,” katanya.

Di sebalik cabaran itu, SATu berjaya kekal dalam kelompok antara negeri terbaik pencapaian kualiti air bersih terawat di negara ini.

“Sebagai GLC yang mementingkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami membekalkan 561,648 botol air minuman dan 13,512 botol air galian untuk kegunaan majlis kerajaan negeri serta misi bantuan banjir sepanjang tahun lepas.

“Kami juga membantu rumah orang miskin dengan menyediakan bantuan memasang paip ke rumah mereka yang melibatkan 11 unit rumah di sekitar bandar Kuala Terengganu dengan anggaran kos sebanyak RM17,000 pada tahun lalu,” katanya.

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain