Kepelbagaian fungsinya juga menjadikan kelapa antara tanaman yang versatil dan banyak digunakan oleh semua kelompok masyarakat.

Industri perladangan kelapa di Malaysia dikatakan mempunyai potensi yang besar sebagai tanaman strategik, dan diletakkan di tempat keempat selepas kelapa sawit, getah dan padi.

Produk berasaskan kelapa adalah pelbagai, termasuklah antaranya minyak kelapa, kelapa parut segar, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa, jeli kelapa, minyak kelapa dara, makanan haiwan ternakan dan produk-produk hiliran lain.

Berdasarkan buku Dasar Agromakanan Negara, sekurang-kurangnya seluas 80,000 hektar (ha) kawasan tanaman kelapa akan dikekalkan menjelang tahun 2020 bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan global sebanyak 1.2 bilion biji setahun.

Atas kesedaran itu, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Selangor menjalankan penyelidikan ke atas sabut kelapa bersama penyelidik di Universiti Malaya (UM).

Usaha tersebut antara lainnya ingin menambah nilai bahagian tanaman kelapa yang selalunya dijadikan bahan buangan.

Seorang ahli penyelidikan tersebut, Ammar Haziq Ahmad Rizauddin, 17, berkata, walaupun sabut kelapa memang biasa digunakan dalam pelbagai industri, terutama industri perabot dan automotif, peluang untuk menambah nilai sabut kelapa sebagai sebuah inovasi baharu sentiasa terbuka luas.

“Selain itu, hasil penyelidikan ini juga cuba menyelesaikan masalah timbunan bahan buangan yang semakin kritikal,” katanya yang juga pelajar SMSAS.

Inovasi yang dihasilkan adalah bahan baharu dalam bentuk kepingan yang boleh dijadikan alternatif untuk kertas dan bahan percetakan, mahu pun dijahit dan digunakan dalam industri tekstil. Jika dipotong dalam saiz dan bentuk yang bersesuaian, bahan tersebut boleh dijadikan beg pelbagai guna yang boleh diguna semula, dan mempunyai sifat biodegradasi.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM, Dr. Raja Ariffin Raja Ghazilla berkata, sifat mekanikal bahan yang terhasil juga boleh diubah menurut komposisi sabut dan bahan-bahan kimia lain yang digunakan.

“Ini menjadikan produk ini versatil dan boleh digunakan dalam pelbagai industri baharu dan sedia ada,” katanya yang bertindak sebagai penasihat kepada kumpulan penyelidik muda SMSAS ini.

Proses penyediaan bahan baharu ini juga tidak rumit, dan hanya melibatkan penggunaan kerangka kayu dan skrin dawai halus bagi membentuk adunan sabut kayu yang digunakan.

Jumlah penggunaan bahan kimia lain adalah bergantung kepada sifat dan fungsi produk yang ingin dihasilkan, sama ada perlu mempunyai permukaan yang kasar atau tidak, atau ketahanan dari daya tekanan atau tarikan.

Kumpulan penyelidik SMSAS ini turut menyertai sebuah pertandingan inovasi barangan terbuang BEGIN Challenge 2017 anjuran Fakulti Kejuruteraan UM baru-baru ini. Produk berasaskan sabut kelapa itu diumumkan sebagai juara keseluruhan, kerana berjaya menambat hati juri dengan potensinya yang luas sebagai bahan alternatif untuk pelbagai produk dan industri.

“Saya berharap dapat melihat sebuah produk yang canggih dan bermanfaat kepada masyarakat yang dihasilkan dengan bahan berasaskan sabut kelapa yang kami hasilkan ini, satu hari nanti,” kata Ammar Haziq lagi.

Penyelidikan tersebut yang menggunakan dana RM500 sahaja dimulakan tahun lalu dan masih dijalankan sehingga kini.