Kali ini, beliau berkongsi inisitiaf penyelidikannya bersama pasukan lain dengan tajuk “Modifikasi penjimatan tenaga bagi perumahan bandar dalam iklim panas dan lembap”.

Beliau yang bertindak sebagai penasihat pasukan tersebut yang terdiri daripada pelbagai kepakaran berkaitan penyejukan pasif untuk bangunan, strategi penjimatan tenaga untuk bangunan dan modifikasi rumah selain mendapat kerjasama dari Universiti Hiroshimam, Jepun.

Kumpulan tersebut terdiri daripada Dr. Mohd. Hamdan sebagai penasihat, Profesor Madya Dr. Tetsu Kubota dari Universiti Hiroshima selaku ketua penyelidik, Dr. Doris Toe Hooi Chyee (UTM), Dr. Mohd. Azuan Zakaria (Universiti Tun Hussein Onn) dan Makoto Ohashi serta Daiki Kanao, kedua-duanya dari Universiti Hiroshima.

Berkongsi lebih lanjut Dr. Mohd. Hamdan berkata, kajian tersebut dijalankan selepas mendapat inspirasi pentingnya kaedah atau strategi penjimatan tenaga terutama bagi sektor bangunan khususnya perumahan bandar.

“Kenaikan suhu global ditambah pula dengan reka bentuk rumah bandar pada masa kini (moden) menyebabkan penghuni rumah cenderung untuk menggunakan pendingin hawa sebagai langkah utama untuk penyejukan ruang dalaman.

“(Maka) kebergantungan sepenuhnya kepada pendingin hawa akan meningkatkan perbelanjaan bulanan bagi sesebuah isi rumah.

“Oleh itu, kajian untuk mengenal pasti kaedah atau strategi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pendingin hawa atau sekurang-kurangya mengurangkan beban penyejukan (cooling load) adalah penting untuk mengurangkan kos penyejukan ruang,” ujarnya.

Di samping itu, pengurangan kebergantungan kepada pendingin hawa juga secara tidak langsung dapat mengurangkan pencemaran disebabkan pelepasan gas rumah hijau.

Mohd. Hamdan berkata, untuk menjalankan kajian tersebut dua buah rumah uji kaji (Nichias Eco-House) dibina sebagai model berskala penuh berbentuk rumah teres untuk menguji keberkesanan strategi cadangan yang diperoleh hasil daripada penyelidikan sebelum ini, contohnya menerusi hasil kajian simulasi komputer.

Antara kajian utama adalah untuk mengenal pasti strategi penjimatan tenaga bagi perumahan bandar dalam iklim panas dan lembap seperti di Malaysia dengan mempertimbang kaedah pengudaraan yang sesuai dan modifikasi rumah.

Hasil kajian tersebut diharap dapat diaplikasikan kepada pembinaan rumah bandar jenis teres sedia ada sebagai pengubahsuaian bagi mengurangkan pemindahan haba dari luar ke dalam ruangan dalam rumah.

Kajian ini telah dimulakan sejak tahun 2015 dan masih lagi berjalan sehingga sekarang. meliputi pelbagai kajian selaras dengan penggunaan rumah ini sebagai fasiliti rumah kajian.

Menurut beliau, kajian tersebut bermula setelah mendapati jisim haba yang tinggi pada bahagian permukaan bangunan rumah teres (stok perumahan terbesar Malaysia) menimbulkan masalah untuk disejukkan, walaupun pada malam hari dalam iklim panas lembap disebabkan pelbagai faktor.

Masalah tersebut dipercayai mendorong penghuni rumah menggunakan pendingin hawa pada kadar yang lama terutama di dalam bilik tidur pada waktu malam.

Menurut beliau lagi, kajian awal mendapati dengan strategi pengudaraan malam, ia berupaya meningkatkan keselesaan terma (haba) ruang dalaman dengan membuka tingkap pada waktu malam berbanding dengan kelakuan membuka tingkap pada waktu siang sahaja.

Seterusnya kata beliau kajian susulan dijalankan setelah mendapati terdapat potensi untuk meningkatkan hasil kajian sedia ada (mendapatkan pengurangan haba yang lebih tinggi).

Secara umumnya, ia bukanlah teknologi baharu, tetapi lebih kepada mendapatkan strategi optimum untuk penyejukan ruang dalaman rumah menggunakan gabungan alat yang terdapat di pasaran semasa seperti penebat haba, pelindung matahari dan kipas ekzos serta juga teknik pengudaraan secara semula jadi.

Gabungan alat tersebut berfungsi untuk mengurangkan haba masuk ke dalam ruangan rumah yang disebabkan bukaan bangunan seperti tingkap, radiasi solar dan juga pemindahan haba dari struktur bangunan.

Bagi rumah yang menggunakan pengudaraan semula jadi seperti pengudaraan malam atau pengudaraan berterusan (siang dan malam), modifikasi optimum yang dikenal pasti adalah dengan menggunakan penebat haba bumbung, penebat haba dinding luar, peranti teduhan luar, dan pengudaraan keseluruhan rumah.

Hasil daripada kajian mendapati suhu ruangan dalaman rumah eksperimen dapat diturunkan hampir 1 darjah Celsius (oC) secara purata berbanding rumah kawalan (tanpa modifikasi).

Penggunaan penebat haba dinding dalam bilik yang menggunakan penghawa dingin dapat mengurangkan beban penyejukan hampir 70 peratus berbanding rumah tanpa modifikasi.

Harap rakyat dapat manfaat

Mengenai perancangan akan datang Prof. Dr. Mohd. Hamdan Ahmad berkata, pihaknya berkongsi hasil kajian dengan masyarakat supaya ia dapat mendidik dan dipraktikkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pengdingin hawa.

Pihaknya juga akan mencadangkan supaya piawaian atau garis panduan penjimatan tenaga berdasarkan teknik penyejukan pasif yang komprehensif untuk meningkatkan keselesaan terma ruang dalaman rumah teres Malaysia sedia ada ke arah mengurangkan penggunaan tenaga untuk penyejukan ruang dalaman.

Beliau juga menarik perhatian bahawa strategi modifikasi teknologi tersebut sangat sesuai dipertimbang dan diguna pakai terutama sekali dengan berlakunya fenomena pemanasan global masa kini.

“Dalam negara sedang membangun seperti Malaysia, kesedaran atau pengetahuan mengenai kaedah penyejukan pasif dalam kalangan penghuni rumah masih lagi rendah,” ujarnya.

Ini seterusnya akan menyebabkan penghuni rumah membuat pilihan yang salah untuk membuat modifikasi yang berkesan.

Oleh itu, dengan kajian ini, satu garis panduan dapat dikenal pasti untuk mendapatkan modifikasi yang berkesan.

“Saya berharap kajian terhadap rumah jimat tenaga dapat diperbanyak dan dipraktikkan di dalam industri perumahan di ngara inim,” ujarnya.