Teknologi RFID melibatkan frekuensi gelombang radio yang digunakan untuk mengesan dan membaca sesuatu menggunakan peranti.

Justeru RFID juga digunakan sebagai alat komunikasi dan kini digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti plaza tol dan mengenal pasti harga barangan di pasar raya tanpa melibatkan fasa sentuhan.

Sesiapa juga tidak menyangka teknologi menggunakan frekuensi radio untuk mengidentifikasikan sesuatu membantu mengurangkan risiko kehilangan, penculikan mahupun ketirisan dalam apa jua lapangan.

Melihat kepada beberapa isu seperti tertukar bayi ketika di hospital dan salah guna kemudahan yang disediakan dalam sesebuah syarikat, Ara Techbis Sdn. Bhd lahir dengan idea mewujudkan alternatif yang melengkapi pelbagai skop pekerjaan di negara ini.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2001 pada mulanya berfungsi sebagai syarikat sokongan teknologi maklumat (IT) dan pembekal perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kini berkembang sebagai sebuah syarikat solution integrator yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam bidang ICT.

Merupakan syarikat bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan serta organisasi seperti antaranya Petronas, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain berdaftar dan memiliki lesen Gred G7 dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta diiktiraf sebagai syarikat ISO 9001:2015 dalam Sistem Pengurusan Kualiti.

Pembangunan teknologi pintar yang dibawanya dapat membantu penyelesaian yang berkesan dalam kos dan pada masa yang sama, memastikan pemindahan teknologi untuk mengembangkan kepintaran tempatan.

Menurut Pengurus Kanan Teknikal dan Jualannya, Azrul Muhammad, sekiranya RFID digunakan secara meluas dalam agensi kerajaan atau swasta pastinya isu seperti kehilangan, penipuan dan kesalahan padanan bayi akibat kecuaian dapat dikurangkan.

Katanya, teknologi tersebut boleh diguna pakai bagi mereka yang mengerjakan haji bagi mengurangkan risiko kehilangan.

“Sekurang-kurangnya melalui teknologi ini, jemaah haji akan dipakaikan dengan peranti dipasang pada pergelangan tangan bagi membolehkan agensi mengesan kedudukan jemaah.

Teknologi kod bar

“Namun, teknologi seperti ini memerlukan sejumlah modal yang agak besar bagi menampung jumlah jemaah haji yang banyak pada setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, RFID memiliki kelebihan berbanding teknologi kod bar yang yang sering digunakan kerana memiliki kapasiti memori untuk menyimpan data dalam peranti bagi tujuan memodulasi data untuk pelbagai tujuan.

Malah, teknologi itu juga mampu mengurangkan risiko kehilangan data kerana data-data yang dimuat naik akan disimpan melalui sistem khas.

“Teknologi RFID dianggap lebih komprehensif dibandingkan teknologi kod bar kerana dapat dibaca pada jarak yang lebih jauh. Pembaca (reader) RFID dapat mengakses informasi pada tag dari jarak sekitar 300 meter,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut pensyarah Seksyen Automasi Elektrik dan Elektronik, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dr. Azmi Hassan, industri RFID semakin mengambil tempat untuk tujuan pengenal pastian identiti secara automatik.

“Ini disebabkan saiz tag boleh diletakkan pada pelbagai objek dan kos tag elektronik semakin murah dan mudah untuk diperoleh.

“Penggunaan dalam sistem tiket kereta api di beberapa negara Eropah, Korea dan Jepun menjadikan sistem pengawasan penumpang yang sangat berkesan dan cepat.

“Di lapangan terbang, ia boleh digunakan untuk pengesanan dan kawalan bagasi penumpang.

Katanya lagi, penggunaan teknologi RFID di negara ini juga sudah mengambil tempat dalam beberapa aplikasi.

Contoh terkini adalah sistem kutipan tol di lebuh raya sekitar Lembah Klang yang masih dalam peringkat awal dan kajian keberkesanan.

Teknologi RFID juga dilaksanakan untuk mengesan sistem aset dan document penting di pejabat-pejabat kerajaan.

Dalam industri pembalakan pula, tag RFID boleh dilekatkan pada kayu balak untuk mengesan pergerakannya dari ladang hingga pemprosesan kayu potong. Beberapa aplikasi lain seperti mengesan pergerakan haiwan ternakan dari ladang, mengawal sistem simpanan senjata dan pengeluaran produk dalam stor simpanan.

Walau bagaimanapun, penggunaan RFID perlu mematuhi beberapa piawaian yang ditetapkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai beberapa peraturan standard untuk aplikasi dalam industri di negara ini terutama pada penggunaan jalur radio.

Penggunaan tag pasif contohnya perlu mengikut piawaian ISO 18000-6C dan jalur radio di antara 919–923 MHz.

Secara umumya, teknologi RFID semakin popular dan berpotensi besar untuk dibangunkan industri pengenalpastian secara automatik.

Apa itu RFID

  • Teknologi RFID menggunakan gelombang elektromagnetik untuk mengenal pasti identiti tag (tags) yang diletakkan pada sesuatu objek.
  • Tag adalah komponen mikrocip kecil yang menyimpan maklumat tertentu.
  • Dalam penggunaan teknologi RFID ini, terdapat dua jenis tag yang biasa diguna iaitu tag pasif dan tag aktif.
  • Tag pasif akan menggunakan tenaga dari pengimbas RFID untuk mengesan gelombang radio dan boleh mengesan untuk jarak yang dekat antara satu hingga tiga meter, manakala tag aktif mempunyai tenaga daripada bateri dan boleh berfungsi untuk jarak yang lebih jauh sehingga antara 100 hingga 200 meter.