Kaedah tersebut menyebabkan berlakunya kes pertukaran bayi yang berlaku pada bila-bila masa kerana kesilapan dan kecuaian manusia.

Kesilapan tersebut mendatangkan trauma kepada pihak yang terlibat apabila bayi diberi ubat yang salah, bayi disusukan oleh ibu lain atau bayi dibawa pulang oleh ibu yang salah.

Justeru itu, satu daripada 
usaha mengatasi masalah tersebut, teknologi dijadikan mekanisme untuk membantu menyelesaikannya.

Sesuai dengan fungsinya membangun, mempromosi dan menggalakkan penyuburan teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa berusaha untuk mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi (STI) serta menyemarak dan membudayakan STI.

Satu daripada usaha tersebut adalah pelaksanaan Program Inovasi Sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) atau MSI.

MOSTI menerusi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menjalankan penyelidikan dan menghasilkan Peranti Keselamatan Bagi Ibu dan Bayi Yang Baharu Dilahirkan Di Hospital Kerajaan dikenali sebagai B-Tag & Track atau Penanda dan Penjejakan Bayi dengan kerjasama Hospital Banting, Selangor.

Penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang digunakan dalam peranti B-Tag & Track digunakan secara meluas dalam sektor angkasa khususnya di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi pengurusan inventori dan juga penentududukan perkakasan tertentu.

Kini, teknologi RFID diadaptasi ke peranti B-Tag & Track bagi penentu kedudukan di dalam bangunan (indoor positioning) yang menjamin keselamatan 
bayi semasa berada di dalam wad.

Selain itu, peranti tersebut juga berkeupayaan untuk membuat pengesanan sepadan antara ibu dan bayi secara automatik.

Menurut menterinya, Datuk Madius Tangau, dengan adanya peranti B-Tag &Track tersebut, ia akan meningkatkan tahap keselamatan ibu dan bayi sepanjang mereka berada di hospital.

“Saya yakin dengan adanya sistem ini, pastinya akan dapat membantu meningkatkan keyakinan rakyat dalam menggunakan perkhidmatan perubatan yang disediakan oleh kerajaan khususnya yang melibatkan kelahiran bayi,’’ ujarnya.

Teknologi tersebut merupakan sebahagian proses merakyatkan inovasi dan teknologi supaya rakyat menghargai dan menyedari kepentingannya dalam memodenkan perkhidmatan untuk dinikmati.

Ini kerana meskipun teknologi RFID bukan baharu kerana berdasarkan sejarah, ia mula digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Menerusi projek tersebut, sistem keselamatan yang lengkap telah ditempatkan di Wad 1 
dan Wad 2 Hospital Banting, Selangor.

Pemilihan Hospital Banting adalah sebagai program perintis hospital kerajaan sebagai percubaan.

Manfaatkan aplikasi angkasa

Pembangunan aplikasi daripada teknologi angkasa lepas wajar dimanfaatkan untuk menambah baik sistem perkhidmatan menerusi konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad berkata, aplikasi atau teknologi angkasa seperti B-Tag and Track telah dibangunkan sejak dahulu seperti tujuan penjejakan kanak-kanak autisme, kenderaan dan juga ambulans.

“Oleh kerana teknologi satelit tidak dapat menembusi ruang tertutup, maka Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Wi-FI digunakan untuk pembangunan ini (B-Tag and Track),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan MSI Peranti Keselamatan Bagi Ibu dan Bayi yang Baharu Dilahirkan (B-Tag & Track) di Hospital Banting baru-baru ini, yang disempurnakan oleh menteri, Datuk Madius Tangau.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Sains Teknologi dan Inovasi) MOSTI, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr.Murniati Hasan; dan Pengarah Hospital Banting, Dr. Sabrina Che Ab Rahman.

Beliau menambah, sistem tersebut secara automatik akan memastikan padanan antara tiga komponen utama iaitu bayi, ibu dan katil bayi betul setiap masa.

Semua amaran untuk pergerakan bayi tanpa kebenaran atau percubaan untuk menanggalkan peranti penanda (tag) akan dapat dikesan oleh jururawat bertugas. Amaran tersebut boleh diketahui menerusi bunyi siren dan notifikasi e-mel.

Berkongsi lebih lanjut Noordin berkata, bidang angkasa masih baharu di negara ini. Justeru pembangunan inovasi bidang tersebut perlu dipusatkan kepada apa yang memberi impak kepada rakyat.

“Walaupun kecil dan mudah, kepercayaan rakyat kepada teknologi angkasa perlu dibina. Oleh demikian inovasi yang berbentuk bottom-up iaitu meletakkan keperluan dan penyelesaian kepada rakyat perlu diutamakan,’’ ujarnya,

Beliau menambah, beberapa inovasi terdahulu seperti teknologi angkasa untuk bandar pintar dan ‘sistem penjejakan dan pengesanan secara automatik’ akan diperluaskan.

Dalam masa yang sama, kajian lain yang melibatkan penggunaan satelit seperti dalam kaji cuaca, perubahan iklim, ozon dan aspek-aspek alam sekitar akan diterokai untuk melihat kesan jangka panjang ke atas negara.