Bagi memastikan teknologi bergerak selari dengan perkembangan pesat itu, saintis tempatan telah lama mengorak langkah membina infrastruktur bagi menyediakan ruang penyelidikan sebagai persediaan memasuki fasa IT yang lebih canggih.

UniversitiTeknologi Malaysia (UTM) misalnya telah bermula dengan penubuhan Makmal Komunikasi Wayarles (WCRL) pada 1989 dan dinaik taraf sebagai pusat kecemerlangan Pusat Komunikasi Wayarles (WCC) pada tahun 2003.

Ketika ini, WCC beroperasi di dua cawangan - di kampus UTM Skudai dan di UTM Kuala Lumpur.

Teras utama aktiviti WCC ketika ini sebagai pusat pengajian penyelidikan lepasan ijazah, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengkomersialan, perkhidmatan perundingan, kursus jangka pendek dan perkhidmatan komuniti.

Dalam bidang kajian pula, antara tumpuan WCC adalah menjalankan penyelidikan dan perkhidmatan dalam pelbagai bidang berkaitan komunikasi wayarles antaranya komunikasi wayarles mudah alih, komunikasi wayarles tetap dan komunikasi satelit.

Terkini WCC memfokus kepada sistem komunikasi wayarles mudah alih generasi kelima (5G) setelah diberi pengiktirafan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada akhir tahun 2014.

Antara penyelidikan utama termasuklah

  • Reka bentuk antena dan algoritma membentuk sinaran untuk 5G:
  • Pemodelan Saluran Perambatan Gelombang Radio dan kesan hujan bagi frekuensi melebihi 6GHz untuk 5G
  • Teknologi hijau untuk 5G
  • Isu keselamatan dan kesihatan awam berkaitan Pancaran Industri Wayarles.

Dengan penubuhan WCC itu UTM terus bergerak dengan penubuhan Pusat Inovasi Malaysia sebagai kesinambungan daripada apa yang telah dilaksanakan selama ini tetapi dengan tumpuan terkini untuk menyelidik dan menguji teknologi 5G dan kes penggunaannya, dengan ruang demonstrasi dan pembelajaran serta modul pembelajaran yang direka khusus.

Pusat tersebut menawarkan program pembelajaran yang dijangka membawa manfaat kepada 2,000 pelajar dalam tempoh tiga tahun bagi mempersiap mereka untuk kerjaya dalam ekonomi digital baharu.

Malaysia mengambil langkah lebih hampir ke arah mencapai wawasan Negara Digital Pintar menjelang 2020 dan menjadi salah sebuah negara utama yang menerajui transformasi ekonomi berasaskan teknologi di rantau Asia Tenggara dan Oceania.

Ditubuhkan dengan Ericsson, dan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Pusat Inovasi 5G (IC5G) UTM-Ericsson di Kuala Lumpur.

Merupakan kemudahan pertama seumpamanya di negara ini, pusat ini terletak di Kampus UTM Kuala Lumpur, dengan bangunannya menduduki kawasan seluas 280 meter persegi.

IC5G memaparkan inovasi 5G, makmal penyelidikan 5G dan ruang pembelajaran 5G, yang dijangka membawa manfaat pelajat universiti berkenaan. Pusat ini ditubuhkan selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Ericsson dan UTM menerusi WCC pada Oktober 2015.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan aktiviti yang akan menggalakkan hubungan penyelidikan, perdagangan dan pertukaran maklumat demi melaksanakan projek penyelidikan bersama, dan menzahirkan kesan 5G terhadap industri dan masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, ketika melancarkan IC5G berkata, pusat tersebut akan membantu usaha memacu negara ke arah mencapai matlamat untuk menjadi pusat keupayaan dan inovasi 5G.

Idris berkata, inisiatif seperti IC5G adalah satu perkembangan yang menggalakkan dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara Digital Pintar menjelang 2020.

Pusat ini juga sedia meletakkan Malaysia di hadapan dalam 5G dan menjadi antara negara yang menerajui transformasi ekonomi berpacukan teknologi di rantau Asia Tenggara dan Oceania,’’ ujarnya.

IC5G akan menumpukan kajian mereka kepada empat bidang utama:

  •  Kajian penyebaran
  •  Kajian antena, komunikasi tanpa wayar
  •  Kajian rangkaian dan perlindungan
  •  Kajian kelestarian dan keselamatan.