Program tersebut ini dibuka kepada pelajar dari sekolah yang berada di sekitar Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang diuruskan oleh Digi di seluruh negara.

Satu bengkel rintis diadakan pada akhir tahun lepas di PI1M di Semambu, Kuantan melibatkan 18 orang pelajar tingkatan empat dari tiga buah sekolah.

Bengkel empat hari itu, yang dibahagikan kepada dua sesi, memberi peluang kepada pelajar mempelajari reka bentuk, memasang dan memprogramkan robot mereka sendiri bawah bimbingan jurulatih yang pakar dalam bidang robotik.

Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Digi, Eugene Teh berkata, program robotik tersebut diadakan untuk menyokong usaha pihaknya dalam mempelbagai peranan pusat PI1M untuk menjadi satu platform pembelajaran kreatif bagi masyarakat setempat.

“Dengan kerjasama ini, kami dapat tampil dengan program asas robotik melalui pendekatan hands-on dan berharap dapat menarik perhatian pelajar mewujudkan minat dalam kalangan mereka untuk menceburi aliran kejuruteraan serta sains dan teknologi.”

“Menerusi bengkel rintis ini, kami melihat bagaimana pelajar yang tiada pengalaman atau latar belakang dalam robotik telah berjaya menghasilkan projek yang memerlukan pendekatan pelbagai kemahiran,” katanya.

Pelajar juga dilatih membuat keputusan berkaitan pelbagai permasalahan teknikal, belajar bagaimana untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, berfikir secara kritikal serta menguruskan cara mereka menyelesaikan sebarang permasalahan.

Tambahnya lagi, pihaknya percaya program berkenaan akan membantu untuk memupuk kemahiran kejuruteraan, pengaturcaraan komputer, serta mencetus inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar, sejajar dengan aspirasi Digi untuk menjadikan PI1M sebagai pusat pembelajaran ilmu pengetahuan.

Bawah kerjasama itu, pihaknya menyediakan kemudahan latihan dari segi ruang dan stesen kerja di pusat-pusat PI1M, manakala Petrosains menyumbang program latihan robotik, modul yang berkaitan serta fasilitator yang berpengalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, kerjasama dengan Digi membolehkan pihaknya menyesuaikan program robotik yang menyeluruh. Ia merangkumi modul dari peringkat asas ke peringkat lanjutan dengan memberi tumpuan ke arah membina pengetahuan tentang cara pemasangan bahagian robot serta memprogramkan pengekodan dan sensor.

“Program robotik yang berasaskan sumber bebas kami berbeza daripada yang lain kerana ia mampu untuk dimiliki melalui perkongsian alat pembangunan robotik di pusat-pusat PI1M.

“Kami juga mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya peluang untuk bekerjasama dengan Digi dengan mengadakan program pembangunan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) khususnya dalam bidang robotik dan pengekodan untuk generasi muda di Malaysia.

“Sebagai wadah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dalam teras pendidikan, program seumpama ini yang diadakan di pusat-pusat PI1M diharap dapat mencetuskan minat pelajar dalam bidang sains, seterusnya menjadi inspirasi kepada mereka untuk memilih laluan kerjaya dalam bidang yang berkaitan seperti bidang teknologi robotik.

“Hal ini kerana pengetahuan dalam bidang robotik dan pengekodan akan menjadi satu keperluan yang penting dalam kehidupan kita dan dianggap kritikal bagi kemajuan manusia.

“Kami berharap kerjasama ini akan berterusan dalam jangka masa panjang kerana ia dapat menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan melalui sistem pendidikan bersepadu yang melibatkan sokongan dari pelbagai pihak korporat yang berbeza,” katanya.

Sehingga kini, Digi telah diperuntuk untuk menguruskan 104 PI1M di Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak, dan akan melancarkan 30 pusat lagi, termasuk di Perlis dan Sabah. Sementara itu, beberapa peserta memberi maklum balas positif mengenai program yang dianjurkan di Kuantan, Pahang .

Seorang guru di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, Asgharee Badru Duja Khan, berkata, beliau gembira melihat komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar.

“Saya juga teruja melihat mereka menggunakan pengetahuan yang mereka pelajari dalam pembangunan robotik untuk tampil dengan ciptaan yang inovatif.

“Sebagai seorang guru, saya juga berharap dapat membantu dan memberi peluang kepada pelajar membangunkan kemahiran dalam penciptaan robotik dan pengaturcaraan komputer.

Penolong Pengarah Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Pahang, Arman Mohamad Tojid, berkata The Discovery Centre membantu pelajar mempelajari cara mereka bentuk, pengekodan, pengaturcaraan komputer serta latihan sensor asas robotik.

Program tersebut akan dibuka kepada pelajar dari sekolah-sekolah yang berada di sekitar Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang diuruskan oleh Digi, di seluruh negara.