Penglibatan golongan muda terutama golongan belia dalam dunia perkayuan ini sangat tidak menonjol sehingga bidang ini kekurangan tenaga kerja yang pakar sekali gus tidak dapat memenuhi keperluan permintaan eksport produk perkayuan dan perabot.

Menurut Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Dr. Jalaluddin Harun, kekurangan tenaga kerja yang pakar dalam bidang ini mendorong kepada pihaknya bertanggungjawab untuk menimbulkan kembali ‘berlian’ yang dimiliki MTIB sekali gus memujuk golongan muda terutama meminati bidang ini.

Menurut beliau, faktor tersebut mendorong pihaknya mengadakan pameran Johor Wood & Lifestyle Fair 2016 iaitu sebuah pameran promosi yang berkaitan produk perkayuan selain memberi maklumat sebenar kepada orang ramai tentang industri perkayuan.

“Sebab itu kami sekali lagi menganjurkan pameran ini yang sama seperti diadakan sebelum ini, selepas ramai yang baharu menyedari tentang kehebatan dunia perkayuan terutama dalam pembuatan perabot dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya lagi, pameran itu merupakan susulan daripada acara yang pernah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.

Katanya lagi, pameran ini diadakan selaras dengan salah satu objektif MTIB iaitu menyediakan kemudahan dan mengukuhkan pembangunan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Kata beliau, pameran yang berlangsung selama empat hari itu merupakan satu inisiatif khas untuk PKS dengan objektif serampang tiga mata.

Antaranya mempromosikan kepada pengguna tempatan terhadap produk dan perkhidmatan usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan, meningkatkan penguasaan pasaran produk dan perkhidmatan mereka dalam industri perkayuan selain menggalakkan kesedaran pengguna mengenai manfaat produk kayu, ciri-ciri estetik dan kelebihan kayu berbanding dengan bahan-bahan lain.

Sementara itu, beliau menjelaskan pameran tersebut juga turut diadakan untuk memberi galakkan kepada golongan belia terutama untuk melibatkan diri dalam bidang perkayuan ini.

“Kita sebenarnya memiliki belia yang berkemampuan tinggi tetapi disebabkan kekurangan maklumat yang tepat menjadikan mereka tidak berminat untuk terlibat dengan industri ini.

“Oleh itu, menerusi pameran ini kita memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui kelebihan bidang ini,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, bidang perkayuan di negara ini banyak mendapat permintaan yang tinggi dari luar negara terutama United Kingdom (UK) berikutan kualiti kayu yang bermutu tinggi namun kerajaan kekurangan tenaga pekerja yang mahir menjadikan permintaan dan pengeluaran terhadap industri ini menjadi tidak selari.

Kata beliau, permintaan eksport kini melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mencecah RM9 bilion setahun berikutan kualiti kayu yang ada di negara ini terbaik.

Namun, masalah kekurangan tenaga pekerja menyebabkan pihaknya terpaksa mengehadkan permintaan tersebut.

Katanya lagi, sekiranya keadaan berterusan adalah tidak mustahil industri perkayuan ini lumpuh dan sekali gus terhenti pada masa akan datang.

“Sehingga kini 58 peratus tenaga kerja yang terlibat langsung dalam bidang perkayuan adalah warga asing yang mendominasikan tugas-tugas penting dalam produk perkayuan ini,” ujarnya.

Tegas beliau, industri perkayuan ini boleh melebarkan sayap ke peringkat lebih jauh jika semua pihak terutama golongan muda turut sama terlibat.

Ini kerana golongan muda ini masih aktif dan mampu memberikan idea-idea kreatif sekali gus mampu meningkatkan produk dalam industri kayu ini. - ZUHAYATI YAZID