Penghasilan robot polis adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menggantikan tenaga manusia dalam melawan jenayah dengan menggunakan mesin.

Menurut pihak berkuasa Dubai jika eksperimen Robocop berhasil, robot tanpa senjata akan mengisi 25 peratus tempat dalam semua tenaga Polis Dubai pada tahun 2030. Robot ini akan diwarnakan dengan warna yang sama dengan warna unifom Polis Dubai.

Ia juga dijangka akan digunakan untuk memberi sokongan kepada perkhidmatan polis dalam mengawasi kawasan yang sibuk dalam bandar.

Robot ini bersaiz hampir sama dengan manusia ini boleh bersalam dan memberi tabik hormat dengan orang ramai. Pihak berkuasa Dubai juga mensasarkan untuk menggunakan teknologi ini untuk meningkatkan perkhidmatan keselamatan dalam menganjurkan Expo 2020.

“Robot ini boleh bekerja sepanjang hari. Ia tidak akan meminta cuti rehat, cuti sakit atau cuti bersalin. Ia boleh bekerja sepanjang masa,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Pintar, Jabatan Polis Dubai, Brigedier Khalid Nasser Al Razooqi.

Robot Polis yang pertama seumpamanya di Timur Tengah dilengkapi dengan roda, kamera dan perisian pengecaman muka. Ia boleh membandingkan muka menggunakan pangkalan data dan menanda persamaan dengan ibu pejabat.

Rakaman video dari robot Polis turut membantu pihak berkuasa mengenal pasti risiko seperti bom yang diletakkan dalam beg tanpa pemilik di dalam kawasan sibuk seperti kawasan pelancongan dan hub kewangan.

Penduduk setempat juga boleh berhubung dengan robot Polis ini untuk membuat laporan atau berkomunikasi dengan menggunakan skrin sesentuh yang ditempatkan di dada robot tersebut.

Robot Polis ini dibina oleh syarikat PAL Robotics yang berpengkalan di Barcelona dengan kos yang tidak didedahkan. “Sekarang kita melihat generasi yang menggunakan peralatan pintar, mereka suka menggunakannya. Mereka semua telah menonton Robocop mengucapkan tahniah kepada kami kerana berjaya melaksanakannya,” kata Nasser Al Razooqi.