Kumpulan berkenaan menghasilkan inovasi dengan menggunakan semula barang terpakai khususnya mata gergaji untuk memotong besi. Mata gergaji ditukarkan kepada bentuk mata pisau.

Hasil kajian mendapati bahan terpakai itu sangat sesuai untuk membuat mata pisau yang tajam dan berkualiti disebabkan kekerasan bahan mata gergaji berkenaan.

Yang menariknya, mata gergaji yang telah diguna pakai ini memberikan kualiti yang lebih baik kepada mata pisau berbanding mata gergaji yang belum digunakan.

Hal ini adalah kerana proses tribologi yang berlaku semasa pemotongan besi dijalankan dengan menggunakan mata gergaji ini telah merawat susunan struktur bahan ke suatu keadaan yang lebih baik.

Menurut ketua penyelidiknya Dr. Mohd. Sayuti Ab. Karim, mata pisau yang dihasilkan menerapkan ciri-ciri reka bentuk warisan Melayu bagi memberi nilai tambah terutama dari segi estetika dan kesenian.

“Kajian yang diterapkan adalah menerusi proses simulasi menggunakan perisian kejuruteraan dan didapati bahan dan reka bentuk yang digunakan ini menunjukkan bahawa ia mempunyai kualiti yang baik dan sesuai untuk diguna pakai,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, mereka terdorong menghasilkan inovasi berkenaan berikutan terdapat permasalahan dalam proses kitar semula bahan buangan terutama mata gergaji terpakai.

Menurut Dr. Mohd. Sayuti lagi, besi buruk dijual dengan nilai yang rendah harganya sedangkan bahan tersebut sebenarnya baik dan berkualiti sekiranya diubah suai menjadi barangan lain yang berguna seperti mata pisau.

Di samping itu katanya, bahan yang sekarang ini digunakan untuk membuat mata pisau memerlukan kos pembuatan yang tinggi melalui proses tempaan dan kualitinya juga adalah sering diragui.

Pengubahsuaian semula bahan buangan tersebut kepada sesuatu barang yang berguna memberi nilai tambah kepada penghasilan barangan terpakai yang lebih berkualiti di samping kos yang rendah.

Proses fabrikasi mata pisau tersebut katanya, melibatkan proses pemotongan bahan mengikut reka bentuk yang diingini, di samping proses mencanai dan mengasah yang perlu dibuat dengan rapi dan teliti bagi menghasilkan output yang baik.

Selain penghasilan pisau ini yang boleh dipakai untuk kegunaan harian, dalam industri kesenian dan kreatif, ia berpotensi mendapat tempat dalam kalangan peminat- peminat pisau bagi tujuan koleksi.

Dengan kata lain ia mampu memberi nilai tambah yang baik kepada bahan buangan berkenaan dan mampu memberikan hasil pulangan yang baik.

Pada masa ini, kaedah untuk menambah baik lagi bahan buangan ini sedang dikaji bagi memastikan ia dapat dikembangkan ke peringkat kebangsaan.

Seterusnya kata beliau, ia diharap mampu ke peringkat antarabangsa dan dapat menarik minat pelancong asing khususnya penggemar barang-barang buatan tangan seperti ini.

Dr. Mohd. Sayuti berharap supaya industri kesenian dan teknologi warisan mendapat tempat yang lebih baik pada peringkat antarabangsa.

Inovasi itu juga diharap dapat membantu memupuk kesedaran mengenai aktiviti kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita berharap pembangunan inovasi ini dapat menambah peluang perniagaan dan pekerjaan untuk masa depan selain sebagai satu inisiatif untuk menyokong kempen Go Green.

Selain Dr. Mohd. Sayuti, seorang lagi penyelidik yang terlibat adalah Nor Amirah Mohd. Amran yang merupakan pelajar ijazah sarjana Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan, UM.