Namun, kerajaan tidak pernah berdiam, malah pantas mengambil langkah drastik dalam membanteras gejala tersebut yang dilihat menganiaya dan membebankan rakyat.

Ini termasuklah antaranya membiayai pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan varieti padi baharu dalam menampung permintaan rakyat selain menghasilkan padi yang tahan daripada ancaman masalah penyakit, cuaca dan keadaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan memberi subsidi sebanyak RM3,000 untuk 10 tan padi.

“Inilah tanda kerajaan yang baik. Kita tidak mahu melihat cerita kesengsaraan pesawah berulang dan terus berulang, kerana itu kita akan sentiasa membantu mereka termasuk tidak menerima pandangan pembangkang untuk menghapuskan permit import (AP).

“Bayangkan jika pelbagai jenis beras dibawa masuk dari negara luar yang ada lambakan di negara mereka dan dijual dengan harga murah, sudah pasti nasib 345,000 pesawah di negara ini berhadapan kesengsaraan kerana pendapatan mereka akan berkurang. Ini yang kerajaan perlu jaga.

“Jika tiada pesawah di negara ini yang mahu menanam padi, negara akan berhadapan dengan ancaman makanan kerana itu mengawal industri padi menjadi tunggak penting bagi kerajaan yang baik,” katanya. Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor baru-baru ini. Hadir sama Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar ; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zainal Dahalan; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor.

Justeru itu katanya, pesawah diminta tidak mudah berputus asa kerana kerajaan akan sentiasa menjadi tulang belakang dalam memastikan industri padi terus maju.

“Kami (kerajaan) adalah ibu bapa yang baik untuk pesawah di negara ini kerana mempercayai sebahagian masa depan negara terletak kepada peranan pesawah.

“Kami mahu melihat perubahan dalam kehidupan pesawah kerana itu mahu melihat pelbagai varieti baharu dihasilkan agar pendapatan mereka terus meningkat,” jelasnya.

Justeru dalam membolehkan aspirasi itu tercapai, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memperkenalkan Sempadan 303 dan Sebernas 307 yang mampu membantu pesawah khususnya kawasan jelapang padi di Selangor untuk meningkatkan hasilnya pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada MARDI yang sentiasa berusaha untuk memastikan kehidupan pesawah lebih baik melalui penghasilan varieti padi yang baik termasuk tahan terhadap pelbagai penyakit antaranya seperti karah daun, serangan binatang dan benah perang.

“Varieti ini dijangka meningkatkan jumlah hasil sehingga 10 tan per hektar melalui teknologi penanaman tepat yang disyorkan,” katanya.

MARDI yang merupakan institusi penyelidikan utama negara yang menjalankan penyelidikan terhadap padi dan beras.

Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu sentiasa berusaha memajukan industri pertanian dengan menghasilkan teknologi baharu untuk meningkatkan hasil pesawah dan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi mereka.

“Membekalkan benih baka sebanyak tujuh tan dan benih asas sebanyak 150 tan setahun.

“Dari sinilah syarikat pengeluar benih mendapat bekalan benih asas untuk ditanam bagi menghasilkan benih daftar dan benih sah.

“Seterusnya benih diedarkan kepada pesawah untuk ditanam bagi menghasilkan benih daftar dan benih sah yang seterusnya diedarkan kepada pesawah untuk ditanam.

“Dalam masa sama, MARDI turut menghasilkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kehilangan lepas tuai.

“Ini termasuk membangunkan varieti padi, mekanisasi ladang, pengurusan tanam dan pengairan, kawalan penyakit, kajian ekonomi dan lain-lain,” jelasnya.

Usaha MARDI itu ternyata berhasil dan dapat meningkatkan purata hasil daripada tiga tan sehektar pada 2000 kepada 3.98 tan sehektar pada masa ini.

Malah, purata hasil padi negara didapati lebih tinggi berbanding dengan beberapa negara pengeluar utama seperti Thailand, Laos dan Kemboja yang secara tidak langsung menambah pendapatan pesawah melalui peningkatan hasil padi.

Harga padi dikawal

DALAM pada itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga beras serta masih tetap di bawah harga kawalan. Namun dalam masa sama, kata beliau pihaknya akan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memantau harga bekalan input berkaitan pertanian padi seperti baja dan racun agar pengeluar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga selain meminta agar bekalan tersebut turut dijadikan barang kawalan.

Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Mohd. Satim Diman berkata, kerajaan juga tetap akan mengusahakan pelbagai bantuan termasuk memberi elaun sara hidup kepada pesawah antara musim menanam dan menuai.

“Ini kerana sekiranya harga barang input naik secara mendadak, apa jua bantuan yang dihulurkan kerajaan dalam membantu menambah pendapatan mereka tidak memberi kesan kerana kenaikan harga barang akan memberi impak besar kepada pendapatan petani,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar melihat perubahan besar dalam kehidupan petani selepas Ahmad Shabery mengambil alih tugas sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Saya melihat Ahmad Shahbery mempunyai visi yang jauh ke depan dalam membantu pesawah untuk meneruskan kehidupan. Banyak yang saya tidak dapat laksanakan ketika memegang jawatan itu (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) namun sekarang saya melihat beliau meneruskan usaha saya untuk membela nasib golongan pesawah.

“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menjadikan baja dan racun sebagai barang kawalan agar harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh pembekal untuk mengaut keuntungan,” katanya.