Masalah berkaitan tanaman mangga seperti berikut:

  • Nama biasa perosak: Kumbang pengerat daun (Mango leaf cutter weevil)
  • Nama saintifik: Deporaus marginatus (Pasc.)
  • Famili: Cucurlionidae
  • Order: Coleoptera
  • Perumah utama: Mangga (Mangifera indica L.)
  • Penyebaran: Tersebar luas di seluruh Asia Tenggara.
  • Status perosak: Salah satu perosak utama tanaman mangga di Malaysia.

Pengenalan:

Dewasa – Kumbang dewasa mempunyai kepala yang panjang dengan muncung yang tirus. Muncung, kepala dan thorak berwarna kekuningan, kepak keras (elytra) berwarna perang tua dan abdomen berwarna kekuningan. Panjang badan daripada muncung ke abdomen adalah kira-kira lima hingga lapan milimeter (mm). Biasanya kumbang betina lebih besar daripada kumbang jantan. Kumbang dewasa selalu dijumpai pada peringkat pokok mangga sedang berpucuk.

Telur – Telur berbentuk selinder serta bulat pada kedua-dua hujungnya. Saiznya sangat kecil berukuran kira-kira 0.7mm panjang dan 0.3mm lebar. Telur baharu (freshly laid egg) berwarna keputihan, bertukar menjadi kekuningan bila hampir menetas.

Larva – Larva muda berwarna keputihan. Larva dewasa (full grown larva) berwarna kekuningan atau hijau kotor.

Kepompong – Peringkat sebelum bertukar kepada kepompong (prepupa) berwarna putih berkilat. Ia beransur-ansur menjadi kekuningan selepas menjadi kepompong.

Biologi dan ekologi:

Kumbang dewasa biasanya dijumpai pada peringkat pokok mangga sedang berpucuk terutama semasa musim hujan. Mengawan (mating) berlaku sepanjang hari. Tempoh mengawan antara 0.5 hingga 30 minit. Mengawan berlaku berulang-ulang sebelum dan selepas bertelur. Kumbang betina bertelur pada pucuk muda. Dengan menggunakan muncung, lubang kecil dibuat berhampiran tulang daun (di permukaan atas dan bawah daun). Telur dibenam atau di selit ke dalam lubang tersebut. Hanya satu telur diselit dalam satu lubang. Biasanya lima atau enam telur dijumpai pada setiap daun. Tempat bertelur kelihatan bintik lebam terbenam yang kemudian berubah kehitaman.

Sepanjang hayatnya, kumbang betina berupaya bertelur sebanyak sehingga 218 telur. Selepas bertelur kumbang betina akan memotong bahagian pucuk atau daun muda yang mengandungi telur. Daun tersebut jatuh ke tanah. Telur akan menetas dalam tempoh dua atau tiga hari. Ulat membesar dengan mengorek dan memakan tisu antara epidermis atas dan bawah daun. Ulat membesar sehingga 5mm panjang dan melalui tiga instar. Larva dewasa (full grown larva) berwarna kekuningan atau hijau kotor. Tempoh peringkat larva adalah antara 10 hingga 12 hari.

Larva dewasa akan keluar daripada daun dan masuk ke dalam tanah untuk menjadi kepompong. Kepompong terbentuk di dalam tanah dalam sarang yang dibuat daripada tanah. Biasanya kepompong dijumpai pada kedalaman satu hingga 10mm dari permukaan tanah. Tempoh kepompong adalah antara sembilan hingga 12 hari. Pusingan hidup lengkap mengambil masa antara sekurang-kurangnya 17 hari. Kumbang dewasa didapati boleh hidup sehingga 140 hari.

Kerosakan:

Selain kerosakan yang dilakukan oleh kumbang betina yang memotong daun muda selepas bertelur. Potongan pada daun kelihatan seolah-olah ianya dipotong dengan pisau yang tajam. Pokok akan kehilangan daun. Ini akan membantutkan pertumbuhan pokok. Kerosakan yang lebih teruk adalah kerosakan pucuk yang disebabkan oleh kumbang jantan dan betina. Kedua-duanya memakan tisu epidermis pucuk muda sehingga epidermis bawah saja yang tinggal. Bahagian ini akan berubah menjadi perang kehitaman dan kering dengan cepat. Daun-daun muda menjadi berkerekot dan cacat. Pembesaran terbantut terutama kepada anak benih dan pokok-pokok muda. Jika serangan teruk semua pucuk akan musnah meninggalkan ranting tanpa pucuk (daun).

Kerugian:

Jika serangan teruk, semua pucuk akan musnah, meninggalkan ranting tanpa pucuk. Pembesaran pokok terbantut.

Kawalan:

(1) Kawalan kultura

Kumpul dan musnahkan daun-daun yang di kerat yang jatuh di atas tanah

Cangkul tanah disekeliling pokok untuk mendedah kepompong yang terdapat di dalamnya.

(2) Kawalan kimia

Pemeriksaan dilakukan pada peringkat awal pembentukan pucuk bagi mengesan kehadiran perosak ini. Racun kimia yang disyorkan ialah cypemetrin, deltamethrin dan dichlorvos.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

  • Nama biasa perosak: 
Kumbang belangkas
  • Nama saintifik: Hypomeces squamosus F.
  • Famili: Cucurlionidae
  • Orde: Coleoptera
  • Perumah utama:
  • Perumah gantian (lain): Rambutan, limau
  • Penyebaran:
  • Status perosak : Minor


Pengenalan:

Dewasa – Kumbang dewasa berukuran 15 mm panjang. Badan ditutupi oleh sisik (scale) berwarna keabuan atau kekuningan dan bulu-bulu pendek yang halus.

Telur – Telur berbentuk bulat bujur dan berwarna kuning pucat berkilat. Saiz telur adalah 1.8 mm.

Larva – Ulat dewasa berukuran tiga mm panjang. Badan berwarna kuning, kepala warna coklat dan mandible (rahang/mulut) berwarna hitam. Badan ditumbuhi bulu-bulu halus.

Kepompong – Biologi dan ekologi:

Kumbang ini dinamakan kumbang belangkas kerana tabiatnya seperti belangkas iaitu berdua-duaan. Jarang dijumpai kumbang tanpa pasangan. Kumbang ini bukan sahaja menjadi perosak mangga tetapi juga memakan daun rambutan dan limau. Oleh kerana ia lebih suka memakan daun matang, maka ia boleh dijumpai sepanjang masa. Serangan teruk jarang sekali berlaku.

Kumbang betina bertelur sebiji-sebiji dalam tanah. Telur berukuran 1.8 mm panjang, berbentuk bulat bujur dan berwarna kuning pucat berkilat. Ulat membesar dalam tanah. Kepompong terjadi dalam tanah.

Kerosakan:

Hanya kumbang dewasa sahaja menjadi perosak dengan memakan helaian daun. Jika populasi kumbang tinggi, maka semua bahagian daun dimakan kecuali tulang daun. Kadang-kadang juga kumbang memakan bunga dan tangkai buah.

Bahagian tepi daun yang masih tinggal kelihatan bergigi. Kumbang ini menyerang pada semua peringkat pokok.