Tidak terkecuali kelebihan daripada sesebuah reka cipta seharusnya dimanfaatkan demi kepentingan agama. Bukan sahaja memudahkan urusan agama tanpa ada lagi sebarang batasan, kelebihan itu juga diharap mampu memberi kemudahan terbaik kepada golongan yang memerlukan dalam skala lebih besar.

Ini sebagaimana ciptaan sebuah mesin seakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) seperti yang terdapat di syarikat-syarikat perbankan seluruh dunia. Namun apa yang membezakan mesin tersebut dengan ATM biasa adalah mengeluarkan beras dan bukannya wang kertas.

Mesin ATM beras hasil inovasi syarikat dari Indonesia itu buat julung kalinya berada di negara ini sekali gus memberi sinar baharu buat golongan asnaf mendapatkan bekalan beras mengikut keperluan masing-masing.

Sangat bermanfaat

Inovasi bermanfaat dari negara jiran itu telah dibawa masuk oleh sebuah syarikat korporat di negara ini iaitu Megasoft Network Sdn. Bhd. (Megasoft).

Dengan menggunakan kad khas dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), golongan asnaf dan kumpulan miskin bandar terutama yang berada di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur mungkin sudah boleh menarik nafas lega serta tersenyum ceria.

Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat menjadi masjid pertama di negara ini mendapat manfaat daripada mesin ATM beras tersebut sekali gus diharap menjadi perintis dan contoh terbaik kepada usaha menempatkan lebih banyak mesin ATM beras di masjid-masjid lain.

Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail berkata, cadangan menempatkan lebih banyak mesin ATM beras di masjid adalah usul terbaik yang bakal diketengahkan dalam Persidangan Pengerusi-pengerusi Masjid dijadualkan berlangsung pada awal Mac ini.

Katanya, mesin ATM beras diharap dapat memberi manfaat kepada kumpulan masyarakat memerlukan terutama golongan asnaf bagi mendapatkan bantuan beras sebagai keperluan utama menjalani kehidupan harian.

“Cadangan menyebar luas penggunaan mesin ATM beras bagi ditempatkan di masjid-masjid lain akan diketengahkan dalam Persidangan Pengerusi-pengerusi Masjid pada Mac ini seterusnya diharap mampu menjadi platform terbaik dalam mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf secara sistematik.

“Kumpulan asnaf tersebut akan dikenal pasti oleh pihak jawatan kuasa masjid di kariah masing-masing,” katanya yang ditemui selepas merasmikan mesin ATM beras di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Megasoft, Datuk Megat Sallehudin Megat Ibrahim selaku penyumbang utama mesin ATM beras di masjid tersebut.

Dalam majlis pelancaran itu, seramai 45 asnaf dari enam masjid dalam kariah Keramat menjadi penerima pertama bantuan beras tersebut.

Terdahulu sebelum majlis pelancaran tersebut telah berlangsung Forum Perdana bertajuk ‘Mencari Kunci Syurga Menutup Pintu Neraka’ yang dikendalikan oleh moderator forum, Datuk Subirin Sahan.

Mohd. Ajib merupakan panel pertama pada penganjuran Forum Perdana tersebut selain dibantu oleh pendakwah bebas yang juga personaliti terkemuka, Roslan Mohamed menjadi panel kedua.

Mohon kerjasama baitulmal

Mengulas lanjut Mohd. Ajib berkata, sekiranya cadangan menempatkan mesin ATM beras di masjid-masjid berjaya mendapat kelulusan untuk dilaksanakan, beliau berharap agenda baik itu juga akan mendapat kerjasama daripada pihak Baitulmal.

Jelasnya, penglibatan Baitulmal adalah penting bagi mengelak berlaku sebarang pertindihan asnaf yang bakal menerima kad bantuan khas daripada Jawi dan pengurusan masjid.

Menurutnya, setiap asnaf yang layak menerima bantuan khas itu akan menerima beras sebanyak dua kilogram pada setiap minggu, seterusnya boleh ditebus dari mesin tersebut pada bila-bila masa diperlukan.

Sementara itu Megat Sallehudin berkata, usaha membawa masuk mesin ATM beras ke negara ini terhasil setelah dia melihat mesin tersebut digunakan di Indonesia enam bulan lalu semasa mengendalikan urusan perniagaan di negara itu.

Menurutnya, setelah bertemu dan berbincang dengan pihak pengeluar mesin beras tersebut, Megasoft diberi peluang membawa masuk mesin yang sangat bermanfaat itu ke negara ini, namun dengan syarat tidak membuat ‘perniagaan’ daripada inovasi tersebut.

“Sejujurnya kami di Megasoft memang tidak berniat untuk menjadikan mesin ATM beras ini sebagai perniagaan dan jauh sekali sebagai sumber keuntungan syarikat, sebaliknya usaha ini adalah sebagai sumbangan kami membantu memudahkan urusan pemberian beras kepada golongan asnaf.

“Apa yang kami lihat, mesin ATM beras ini telah berjaya memberi manfaat kepada 85 masjid di Indonesia pada masa ini sejak diperkenalkan tahun lalu,” katanya.

Tambah Megat Sallehudin, mesin ATM beras inovasi syarikat dari Indonesia itu mampu menampung keperluan sehingga 500 asnaf mengikut jumlah atau kadar beras yang ditetapkan kepada setiap penerima.

Apa yang menarik katanya, mesin ATM beras itu juga boleh menerima sumbangan daripada orang ramai menerusi komponen tabung khas yang disediakan.