Pembukaan tanah baharu untuk pertanian adalah terhad dan tertumpu di negeri Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai tanah pertanian.

Penglibatan syarikat-syarikat perladangan dalam sektor perumahan memberi cabaran kepada sektor perladangan sawit.

Oleh itu, peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit perlu dilaksanakan menerusi penggunaan baka berkualiti dan amalan baik pengurusan ladang dengan tumpuan kepada keluasan tanah pertanian yang terhad.

Sejajar dengan hasrat tersebut, penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi strategi serampang tiga mata memberi tumpuan kepada strategi peningkatan pendapatan menerusi pengguna tanah yang ditanam sawit secara optimum.

Menurut Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din, peranan dan tanggungajawab tersebut digalas oleh dua bahagian penyelidikan iaitu Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka (ABBC) dan Bahagian Penyelidikan Biologi terlibat dalam kemajuan sektor huluan, iaitu penanaman sawit.

“ABBC tertumpu kepada penyelidikan penghasilan baka sawit berkualiti melalui penyelidikan kultur tisu dan kajian genom,” ujarnya.

Menurut beliau, penyelidikan biologi pula tertumpu kepada teknik agronomi dan pengurusan ladang meliputi pembajaan, kawalan penyakit dan serangga perosak tanaman sawit dan mekanisasi ladang bagi pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada tahap tertinggi.

Dr. Ahmad Kushairi berkata, dengan teknologi yang dibangunkan dan kepakaran MPOB dalam pengeluaran bahan tanaman berkualiti dan Amalan Pertanian Baik (GAP), industri sawit tempatan mampu meningkatkan produktiviti ladang.

Pencapaian produktiviti industri yang diukur dari segi prestasi hasil buah tandan segar dan kadar perahan minyak (OER) bagi sektor ladang seperti United Plantations, Sime Darby dan IOI mencatatkan pencapaian memberangsangkan berbanding prestasi pekebun kecil yang perlu ditingkatkan.

Bahagian Integrasi dan Pengembangan (IRED) di MPOB bertanggungjawab memberi khidmat nasihat kepada pekebun kecil sawit meningkatkan produktiviti termasuk melalui penubuhan Kelompok Sawit Mampan (SPOC) dan Koperasi Penanam Sawit Mampan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.

Teknologi biak baka sawit mengorak kemajuan dengan penemuan teknologi genom yang dibangunkan oleh MPOB.

MPOB telah berjaya melakar peta genom sawit dan lebih banyak penemuan penting dalam meningkatkan pengeluaran dan kualiti minyak sawit melalui penghasilan baka yang berkualiti.

Genom sawit adalah sumber penting dalam penyelidikan pembiakan, genetik dan evolusi baka sawit yang akan membantu mengenal pasti gen yang bertanggungjawab terhadap hasil dan ciri-ciri lain seperti warna buah, ketinggian pokok dan kerintangan terhadap penyakit.

Pada tahun 2009, draf genom sawit pertama telah berjaya dilakarkan dan diumumkan semasa Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (Pipoc) 2009. Penemuan ini merupakan titik tolak kejayaan para saintis menghubungkan penemuan di makmal dengan penggunaan berskala besar dalam sektor perladangan.

Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB dapat menentukan jenis sawit yang akan dihasilkan, ciri-ciri minyak, penghasilan biojisim dan ciri-ciri pokok sawit.

Dengan maklumat sedemikian, pengusaha ladang sawit akan dapat memaksimumkan produktiviti bagi memaksimumkan keluasan ladang yang terhad.

Tanaman sawit adalah paling produktif berbanding dengan tanaman saingan lain seperti kacang soya. Dengan teknologi genom sawit yang telah berjaya dihasilkan oleh MPOB, prospek industri sawit adalah cerah.

Kajian saintifik oleh penyelidik MPOB mengenai genom sawit telah dilaporkan dalam jurnal Nature yang merupakan pencapaian yang cemerlang saintis tempatan. Dua penerbitan MPOB dilaporkan dalam Nature berturut-turut dalam satu keluaran.

Penerbitan pertama melaporkan penemuan hampir 35,000 gen genom Elaeis guineensis termasuk set 
penuh gen penghasil minyak 
dan pelbagai gen pengatur dalam buah sawit.

Penerbitan kedua kejayaan saintis MPOB mengenal pasti gen shell yang bertanggungjawab terhadap pembentukan tiga jenis tempurung iaitu Dura, Pisifera dan Tenera.

Penyelidikan MPOB berjaya menghasilkan dignostik SureSawit Shell sebagai peramal jenis buah Dura, Pisifera dan Tenera berdasarkan kehadiran tempurung yang telah diumumkan kepada pihak industri.

MPOB telah menghasilkan SureSawit VIR bagi meramal jenis buah nigrescens dan virescens berasaskan warna. Kedua-dua teknologi ini telah dilesenkan kepada syarikat luar untuk pengkomersialan.

Dignostik SureSawit Karma merupakan antara penemuan terkini MPOB yang berupaya mengesan anak klon sawit tidak normal susulan penemuan gen yang mengekod kemantelan dan ditawarkan bagi pengkomersialan.

Pensijilan bantu lestarikan industri 

ISU kemampanan sawit penting termasuk di negara kita juga. Ia bukan hak mutlak negara Barat.

Malah kelestarian industri sawit adalah matlamat jangka masa panjang negara bagi kesejahteraan generasi akan datang.

Memandangkan betapa pentingnya industri sawit kepada ekonomi negara dan penduduk luar bandar, komitmen Malaysia memastikan industri sawit dibangunkan secara mampan dan memelihara kelestarian alam sejagat yang diterapkan dalam amalan 3P (Planet, People, Profit) iaitu keseimbangan alam sekitar, masyarakat dan ekonomi.

Malaysia telah memperkenal pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sejak tahun 2013.

Pengusaha industri sawit digalakkan untuk mendapat pensijilan mampan yang akan membantu dalam memperluas pasaran produk sawit ke luar negara khususnya di Barat yang sensitif terhadap isu kemampanan.

Sebagai langkah ke hadapan dalam mengharungi cabaran luaran, kerajaan akan melaksanakan pensijilan MSPO secara mandatori pada tahun 2019.

Penanaman sawit secara komersial bermula pada tahun 1917 oleh pengusaha ladang berbangsa Perancis, Henry Foucounnier yang menanam sawit komersial di Ladang Tenammaram, Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Pokok sawit berasal dari Afrika dibawa dan ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada tahun 1848.

Anak benih yang ditanam di Bogor telah ditanam di Deli, Sumatera dan seterusnya dibawa ke Tanah Melayu ditanam di Rantau Panjang dan penanaman secara komersial di Ladang Tenammaram.

Penanaman sawit yang diusahakan secara perladangan telah berkembang melibatkan penyertaan penduduk luar bandar melalui penubuhan FELDA pada 1956 dan agensi kerajaan yang lain serta pekebun kecil yang mengusahakan secara persendirian.

Penglibatan pekebun kecil persendirian dan pekebun kecil yang berada bawah agensi kerajaan menyumbang sebanyak 40 peratus pengeluaran minyak sawit negara.

Menerusi pematuhan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan penggunaan teknologi baharu dalam penanaman sawit telah menyumbang peningkatan produktiviti hasil sawit dan pendapatan pekebun kecil.

Sebagai langkah ke hadapan dalam mengharungi cabaran luaran, kerajaan akan melaksanakan pensijilan MSPO secara mandatori pada tahun 2019.