Penjenamaan semula tersebut dilaksanakan menerusi pengenalan Rancangan Strategik Korporat (CSP) yang baharu dikenali sebagai CSP (2018-2030).

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron berkata, CSP MARDI tersebut mengandungi satu visi, satu misi, empat matlamat, 12 strategi, 28 Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan 54 program pelaksanaan.

“Visi baharu MARDI adalah Gedung Inovasi Agromakanan, manakala misi baharu MARDI adalah Menjana Teknologi Pertanian Untuk Kesejahteraan Masyarakat,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada Malam Anugerah Inovasi Tani MARDI di Serdang, Selangor baru-baru ini .

Teks ucapannya dibacakan oleh timbalannya, Dr Mohamad Roff Mohd. Noor. Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan turut dihadiri Pengerusi Agrobank, Tan Sri Zabidi Zainal; Ahli Lembaga Pengelola dan Ahli Majlis Sains MARDI, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; dan seorang lagi Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr. Kamariah Long.

Katanya, CSP tersebut diwujudkan mengambil kira perubahan ekosistem sektor pertanian masa kini dan cabaran yang akan dihadapi pada masa hadapan. Ia juga mengambil kira aspirasi baharu kerajaan menerusi Transfromasi Nasional 2050 (TN50).

Akhirnya kata beliau, CSP MARDI itu diharap akan dapat melahirkan MARDI yang lebih cemerlang dan gemilang sehingga era pasca-2020 dan menjadi #betterMARDI.

Penjenamaan semula MARDI memberi penekanan kepada aspek perisian seperti perubahan budaya kerja, memperkasa kapasiti dalaman melalui latihan berterusan, pengukuhan jati diri warga dan memperbaharui CSP.

Oleh demikian, perubahan daripada aspek imej korporat seperti perubahan logo dan warna kurang diberikan keutamaan kerana melibatkan kos yang agak besar.

Beliau berkata, sejak tahun 2005 lagi MARDI menganjurkan Hari Inovasi dengan pengisian utama pameran inovasi dan teknologi oleh saintis.

Program tersebut dikenali sebagai Pameran Sains dan Teknologi MARDI, Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) dan pertandingan inovasi oleh warga sokongan atau dikenali dengan Pertandingan Anugerah Akar Umbi MARDI.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai matlamatnya, MARDI membentuk kerjasama bersama rakan strategiknya bagi memastikan teknologi yang dihasilkan sesuai dengan kehendak pasaran, boleh diaplikasikan dengan mudah, kos efektif dan boleh menjana kekayaan.

Sementara itu pemenang kategori Teknopreneur MARDI, Fatihah Anis Ibrahim dari Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pengiktirafan kepada kejayaan menghasilkan pelbagai inovasi dalam industri makanan.

“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana MARDI mengiktiraf (pencapaian) kita,’’ katanya yang juga merupakan usahawan bimbingan MARDI.