Walau bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Kebaikan pergerakan rukuk khususnya, melibatkan kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah berserta tamakninah telah dibuktikan memberi manfaat dari segi meninggikan sudut fasa, jisim sel badan dan bendalir dalam sel berbanding seseorang yang rukuk dalam keadaan tulang belakangnya tidak 90 darjah.

Peningkatan bendalir di dalam sel dan juga sendi-sendi dapat memudahkan pergerakan sendi seterusnya berpotensi untuk mengurangkan risiko sakit lutut atau sendi pinggul (artitis), sekali gus merawat simptom yang berkaitan dengan sakit sendi.

Pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang.

Justeru secara tidak langsung ia boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. Kajian-kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dijalankan. Hasil daripada sebahagian kajian menyimpulkan bahawa senaman ringan dapat membakar lemak badan, manakala senaman lasak pula membakar karbohidrat.

Namun begitu, bagaimana kita boleh mengetahui sama ada kita melakukan gerakan solat yang betul?

Persoalan ini telah diselesaikan dengan inovasi SmartMF. Inovasi berkenaan merupakan sebuah mesin analisis bioimpedans berbilang (MFBIA) untuk memantau komposisi badan pengguna dan pengurusan penyakit.

Individu yang ingin melakukan audit solat dikehendaki mengukur komposisi badan sebelum dan selepas solat. Perkakasan dipasang di dalam kotak 8x4.5x2 sentimeter yang boleh mengukur parameter impedans pada 5 kHz, 50 kHz, 100 kHz dan 200 kHz, dengan arus keluaran kurang daripada 1 miliampere (mA).

SmartMF adalah peranti perubatan yang bersifat tidak invasif yang digunakan oleh pengamal perubatan dengan objektif utama untuk memantau komposisi badan pengguna.

Sekiranya selepas solat, kadar lemak tidak dapat dikurangkan, maka ini bermakna individu tersebut telah mempraktikkan gerakan solat yang kurang sempurna.

Sebaliknya SmartMF dapat memberikan penilaian komposisi badan yang tepat dan modul perisiannya dapat diprogram untuk memantau penyakit kronik seperti HIV, denggi, tahap kolesterol dalam badan, terapi menguruskan badan dan pengauditan solat.

Dengan anggaran komposisi badan tersebut, para pengamal perubatan dapat merancang dan mengutamakan program kesihatan pesakit dengan lebih teratur. Selain itu, SmartMF boleh mendiagnosis penyakit dan mengukur keberkesanan rawatan.

Justeru, ia dapat membantu pengamal perubatan untuk membuat keputusan berdasarkan penilaian komposisi badan pesakit.

Produk pintar tanpa wayar ini berada di pasaran pada bulan Mei lalu. Padamasa ini, produk ini sedang giat menjalankan percubaan klinikal. Difahamkan produk telah menarik perhatian ramai doktor terutama di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang mengesahkan peranti berkenaan untuk memantau pesakit-pesakit HIV dan juga kadar kolesterol dalam kalangan warga tua.

Bukan itu sahaja, produk berkenaan juga digunakan untuk mengaudit solat dan terapi menguruskan badan sejak tahun 2012 lagi.

Kesimpulannya, produk ini telah mendapat sambutan baik daripada pihak industri yang berminat untuk sublesen dan mengkomersialkan produk ini.

Maklumat lanjut mengenai peranti dan penyelidikan ini boleh didapati dengan menghubungi [email protected]

Peranti gabungan ilmu kejuruteraan bioperubatan

Penyelidik utama dan Pengarah Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan (CIME), Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim berkata, kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) peranti yang melibatkan perkakasan dan penderia khusus ini sudah bermula sejak 2013.

Katanya lagi, penyelidikan berkaitan pergerakan solat pula sudah bermula sejak awal 2000-an lagi menerusi geran penyelidikan yang diterima dari Pejabat Perdana Menteri ketika itu.

“Penyelidikan ini lebih bersifat inovasi kerana menggabungkan elemen kejuruteraan sedia ada, dan menggabungkannya bagi kegunaan dan aplikasi yang bermanfaat.

“Perlu ditekankan di sini bahawa usaha penyelidikan ini tidak bermaksud untuk menggantikan apa juga kaedah penentusahan solat dari aspek pelaksanaan rukun atau komponen ibadat fardu yang lain,’’ ujarnya.

Pembangunan peranti berkenaan membuktikan hasil kajian saintifik juga mempunyai tempat sebagai penyelesaian kepada setiap sudut kehidupan manusia, termasuklah aspek kerohanian dan ibadat.

Peranti ini juga tidak terhad untuk digunakan bagi pergerakan solat semata-mata, malah boleh juga digunakan untuk membantu menilai keberkesanan pergerakan tubuh manusia dalam melakukan apa juga aktiviti fizikal yang dikenal pasti.